Memaparkan catatan dengan label Bicara Fiqh. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Bicara Fiqh. Papar semua catatan

Sabtu, 20 Februari 2010

Fiqh al-Mar'ah: Hukum Pendarahan Semasa Kehamilan (Kandungannya masih selamat)

17 ulasan


Sebelum ini saya pernah menulis secara ringkas tentang perbahasan Hukum Pendarahan Sebelum Kelahiran. Kali ini saya cuba untuk membicarakan tentang Hukum Pendarahan Semasa Kehamilan. Baru-baru ini saya menerima panggilan daripada sahabat sekerjaya saya Nadia Afifi bertanyakan tentang pendarahan ketika hamil (Namun kadungannya masih selamat). Dia mengalami keadaan itu ketika kandungan masuk bulan ke 3. Keliru tentang hakikat kedudukannya dalam melaksanakan kewajipan sebagai Muslimah, dia meminta pendapat daripada ramai orang. Memandangkan saya juga pernah melalui pengalaman seperti itu (Pendarahan ketika hamil 2 bulan. Tetapinya akhirnya gugur ketika kandungan masuk bulan ke 3), saya bercadang untuk berkongsi maklumat akan hal itu.

Saya mulakan daripada peristiwa bagaimana saya melalui saat itu. Tanggal 31hb Ogos 2009, setelah melakukan pregnancy test di rumah, jelas kelihatan dua garisan pada alat ujian itu. Saya tahu, kini saya mengandung anak kedua. Ketika itu anak pertama saya Lubna berusia 1tahun 6 bulan. Saya sampaikan berita gembira itu kepada suami, dan kami gembira kerana Lubna bakal mendapat teman baru tidak lama lagi. Mengikut perkiraan, kandungan saya ketika itu baru mencecah minggu ke 5. Masih terlalu awal untuk memaklumkan berita baik itu kepada semua kerana saya juga belum mengesahkan kandungan itu melalui pemeriksaan doctor di hospital.

Saat-saat gembira yang saya lalui bersama suami tidak lama apabila pada 4hb September 2009 iaitu pada minggu ke 6 kehamilan, saya mengalami pendarahan di trimester pertama kehamilan. Saya agak panik kerana saya tidak melalui situasi seperti itu pada kandungan pertama saya yang lalu. Lantas, suami segera membawa saya menjalani pemeriksaan di Hospital Kepala Batas. Memandangkan tiada doktor pakar yang bertugas pada malam itu, kes saya akhirnya dirujuk ke Hospital Seberang Perai.

Saya ditahan di wad dan disarankan agar berpuasa. Keputusan awal scan mendapati saya benar-benar mengandung tetapi kandungan saya tidak dapat dipastikan sama ada selamat atau sebaliknya. Menurut doktor pakar di situ, kandungan saya masih terlalu awal dan kerana itu saya diberikan cuti selama seminggu untuk berehat. 2 minggu berikutnya, saya hadir ke appointment di hospital.

Pendarahan terus berlaku sepanjang saya bercuti itu iaitu ketika kandungan saya berada pada minggu ke 6 dan 7. Ketika pemeriksaan dibuat pada appointment itu, kandungan saya masih ‘selamat’ . Persoalan di sini, apakah tergugur kewajipan solat dan puasa saya serta ibadah-ibadah yang lain? Apakah kedudukan darah itu? Haid? Istihadhah?

Dalam masalah ini, penyelesaiannya adalah berdasarkan pandangan ulama’ yang mengatakan bahawa wanita mengandung yang mengalami pendarahan semasa hamil darahnya dikategorikan sebagai darah istihadhah selagi mana kandungannya masih selamat atau belum gugur. Maka, seseorang wanita itu wajib solat dan menunaikan ibadah-ibadah fardhu yang lain.

Nabi saw bersabda:
لا توطأ حامل حتى توضع ولا غير ذات حمل حتى تحيض حيضة
Wanita tawanan perang yang dijadikan hamba dan hamil tidak boleh dijimak sehinggalah dia melahirkan anak. Tidak dijimak wanita tersebut yang tidak hamil sehinggalah dia berhaid dan habis haidnya.”
(Hr Abu Daud – 2157)

Hadis ini menunjukkan kepada wanita yang hamil tidak berhaid. Darah yang keluar ketika hamil adalah darah istihadhah.

2. Nabi saw bersabda yg ditujukan utk lelaki yang menceraikan isterinya ketika haid:

مره فليراجعها ثم ليطلقها طاهرا او حاملا
Suruhlah dia rujuk semula dan ceraikan wanita itu dalam keadaan suci atau hamil.”
(Hr Muslim)

Hadis ini menunjukkan hukum hamil adalah sama dgn suci. Iaitu boleh dijatuhkan cerai. Ini menunjukkan darah yang keluar ketika hamil bukanlah darah haid.

Ini dikuatkan lagi dari segi perubatan moden. Dr Muhyiddin Kahalah pakar bedah dan pakar penyakit puan dan peranakan O&G menyatakan bahwa darah tersebut bukanlah darah haid.
Walaupun begitu, ada juga di kalangan ulama'-ulama' fiqh yang mu'tabar yang mengkategorikan pendarahan tersebut sebagai darah haid. Namun pendapat itu akhirnya diakui kurang tepat selepas kajian perubatan dibuat.
Adapun sebab-sebab darah keluar pada masa hamil adalah berdasarkan sebab-sebab berikut:

1. Darah keluar dari organ wanita hamil mungkin disebabkan kerana pecahnya kantung ovum yang berlaku ketika 2 minggu kandungan.

2. Darah keluar kerana ia merembeskan ovum di dinding rahim sehingga memberi kesan kepada dinding rahim yang menyebabkan pendarahan. Ini berlaku selepas 3 minggu kandungan.

3. Turun darah berterusan dari 3 hingga 9 minggu di awal kandungan dengan sebab janin tidak memenuhi ruang rahim.

4. Pendarahan berlaku dengan sebab berlaku radang leher rahim.

5. Pendarahan berlaku dengan sebab pendagingan di leher rahim.

6. Luka pada uri janin yg menyebabkan pendarahan.

7. Kanser.

8. Pendarahan berlaku apabila kandungan tabung uji dan rahim menjadi kosong.


Kesimpulannya:

Sebagaimana wanita istihadhah yang lain, wanita yang mengalami pendarahan ketika hamil (kandungannya masih selamat), perlulah menyucikan diri terutamanya sebelum menunaikan ibadah solat dan memakai tuala wanita yang bersih. Seandainya darah terus menerus keluar sepanjang wanita itu solat, ianya adalah sesuatu yang tidak dapat dielakkan dan ianya adalah perkara yang dimaafkan. Seandainya berada di Bulan Ramadhan, maka wanita itu perlu menunaikan ibadah berpuasa (selagi mana tidak memudharatkan diri dan kandungan) sebagaimana wanita-wanita istihadhah yang lain. Wallahua’lam. :)


Free Template Blogger collection template Hot Deals BERITA_wongANteng SEO

Jumaat, 19 Februari 2010

Fiqh al-Mar'ah: Hukum Wanita Haid Memegang dan Membaca Al-Quran

1 ulasan

Hukum wanita haid memegang dan membaca al-Quran
Perempuan-perempuan yang didatangi haid seringkali mengalami kekeliruan dalam menghadapi hari-harinya itu. Al-Quran yang sering dilaziminya menjadi masalah bagi mereka. Bolehkah membacanya? Bagaimana mahu membacanya? Bolehkah Al-Quran itu dipegang? Najiskah wanita yang berada dalam haid itu? Sama-sama kita meneliti bicara tentang persoalan-persoalan yang sering bermain di minda wanita.

Pertama: Hukum wanita yang didatangi haid memegang al-Qur’an.

Umumnya terdapat dua pendapat.

1. Yang pertama mengatakan tidak boleh

2. Manakala yang kedua berkata boleh.



Pendapat yang pertama merujuk kepada firman Allah:

Yang tidak disentuh melainkan oleh makhluk-makhluk yang diakui bersih suci.
[al-Waqiah 56:79]

Diikuti dengan sabda Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam:

Tidaklah menyentuh al-Qur’an dan tidak juga mushaf melainkan orang yang suci.

Manakala bagi pendapat kedua, mereka berpegang kepada kaedah bahawa seseorang wanita yang sedang haid boleh melakukan semua perkara seperti biasa melainkan wujud dalil tepat (qathi) yang melarangnya. Dalam hal ini, yang jelas dilarang adalah bersolat, berpuasa, melakukan tawaf dan bersetubuh.
Adapun hukum memegang al-Qur’an, tidak ada dalil tepat yang melarang seseorang yang sedang haid daripada memegangnya.

Ayat al-Qur’an yang dijadikan rujukan oleh pendapat pertama adalah tidak tepat untuk dijadikan hujah kerana perkataan al-Mutatahharun sebenarnya merujuk kepada para malaikat sebagaimana yang boleh dilihat daripada keseluruhan ayat yang berkaitan:

Bahawa sesungguhnya itu ialah Al-Quran yang mulia, Yang tersimpan dalam Kitab yang cukup terpelihara, Yang tidak disentuh melainkan oleh makhluk-makhluk yang diakui bersih suci; Al-Quran itu diturunkan dari Allah Tuhan sekalian alam.
[al-Waqiah 56:77-80]

Berkata Ibnu Abbas radhiallahu 'anh, ayat “fii Kitabim-maknun” bererti di langit, yakni di al-Lauh al-Mahfuz manakala al-Mutatahharun adalah para malaikat yang suci.

Justeru keseluruhan ayat al-Quran sebenarnya menerangkan tentang kitab al-Qur’an yang sebelum ini tersimpan dalam al-Lauh al-Mahfuz. Di sana ia tidak disentuh oleh sesiapa kecuali para malaikat sehinggalah ia diturunkan ke bumi kepada manusia.

Hadis yang dijadikan dalil melarang juga adalah tidak tepat sandarannya kerana perkataan al-Taharun yang bererti suci adalah satu perkataan yang memiliki banyak erti (lafaz Mushtarak) dan mengikut kaedah Usul Fiqh: Sesuatu perkataan yang memiliki banyak erti tidak boleh dibataskan kepada satu maksud tertentu sahaja melainkan wujud petunjuk yang dapat mendokongi pembatasan tersebut.

Perkataan suci dalam hadis di atas boleh bererti suci daripada najis seperti tahi dan air kencing. Boleh juga bererti suci daripada hadas besar seperti haid dan junub, dan suci daripada hadas kecil yakni seseorang yang dalam keadaan wudhu’.

Ia juga boleh bererti suci dari sudut akidah sepertimana firman Allah terhadap orang-orang musyrik:

Sesungguhnya orang-orang musyrik itu najis.
[al-Taubah 9:28]

Oleh itu perlu dicari maksud sebenar kepada perkataan suci dalam hadis di atas. Salah satu caranya ialah dengan mengkaji keseluruhan hadis di mana ia sebenarnya adalah sepucuk surat yang dihantar oleh Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam kepada seorang sahabat di Yaman. Pada saat itu Yaman adalah sebuah wilayah yang penduduknya masih terdiri daripada campuran orang bukan Islam dan Islam, justeru kemungkinan yang besar adalah surat tersebut bertujuan melarang al-Qur’an daripada disentuh oleh orang bukan Islam. Himpunan antara asal usul hadis dan rujukan al-Qur’an kepada orang musyrik sebagai najis dapat mengarah kepada satu petunjuk yang tepat bahawa erti suci dalam hadis di atas sebenarnya merujuk kepada orang Islam. Justeru keseluruhan hadis sebenarnya melarang orang-orang bukan Islam daripada memegang kitab atau mushaf al-Qur’an.

Akhirnya jika dianalisa antara dua pendapat di atas, yang lebih tepat adalah pendapat kedua yang membolehkan seorang wanita yang sedang haid untuk memegang al-Qur’an.

Kedua: Hukum wanita yang didatangi haid membaca al-Qur’an.

Dalam persoalan ini terdapat sebuah hadis Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam:

Tidak boleh membaca sesuatu apa jua daripada al-Qur’an seorang yang dalam keadaan junub atau haid.

Hadis ini memiliki beberapa jalan periwayatan namun setiap darinya adalah dha‘if.
Berkata Imam al-Nawawi rahimahullah (676H).

"Adapun hadis Ibn Umar: “Tidak boleh membaca sesuatu apa jua daripada al-Qur’an seorang yang dalam keadaan junub atau haid”.

Ia diriwayatkan oleh al-Tirmizi, Ibn Majah, al-Baihaqi dan selainnya. Ia adalah hadis yang dha‘if, didha‘ifkan oleh al-Bukhari, al-Baihaqi dan selainnya. Kedha‘ifan yang terdapat padanya adalah jelas.

Namun sebahagian ahli fiqh tetap melarang seorang wanita yang sedang haid daripada membaca al-Qur’an kerana diqiyaskan keadaan haid kepada keadaan junub.

Namun hal ini dianggap tidak tepat kerana dua sebab:

1. Peranan qiyas ialah mengeluarkan hukum bagi perkara-perkara yang tidak wujud pada zaman Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam. Apa-apa perkara baru yang wujud selepas itu, maka hukumnya disandarkan secara analogi kepada sesuatu yang sudah sedia dihukumkan pada zaman Rasulullah berdasarkan kesamaan sebabnya (‘illat). Adapun haid, maka ia adalah sesuatu yang wujud secara lazim pada zaman Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam. Apabila pada zaman itu Allah dan Rasul-Nya tidak menjatuhkan hukum melarang wanita yang haid daripada membaca al-Qur’an, maka tidak perlu bagi orang-orang terkemudian membuat hukum yang baru.

2. Haid dan junub adalah dua keadaan yang jauh berbeza. Junub adalah satu keadaan di mana seseorang itu memiliki pilihan untuk berada dalamnya atau tidak, dan seseorang itu boleh keluar daripada keadaan junub pada bila-bila masa melalui mandi wajib atau tayamum. Berbeza halnya dengan haid, ia bermula dan berakhir tanpa pilihan. Sebahagian lain melarang atas dasar memelihara kesucian dan keagungan al-Qur’an. Justeru mereka berpendapat tidak boleh membaca (mentilawahkan) al-Qur’an kecuali beberapa perkataan atas dasar zikir dan memperoleh keberkatan.

Pendapat ini juga dianggap kurang tepat kerana seseorang wanita, sama ada dalam keadaan haid atau tidak, tetap dianggap suci dan dihalalkan bagi mereka semua yang dihalalkan melainkan wujudnya dalil yang sahih yang melarang sesuatu ibadah seperti solat, puasa, tawaf dan bersetubuh. Adapun pensyari‘atan mandi wajib selepas berakhirnya tempoh haid, ia adalah penyucian atas sesuatu yang sedia suci dan bukannya penyucian atas sesuatu yang sebelum itu bersifat najis. Oleh itu tidaklah berkurang sedikitpun kesucian dan keagungan al-Qur’an apabila ia dibaca oleh seseorang wanita yang sedang dalam keadaan haid.

Pernah sekali Abu Hurairah radhiallahu 'anh mengasingkan diri daripada Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam. Beliau balik ke rumah untuk mandi wajib dan kemudian kembali. Rasulullah bertanya kenapakah dilakukan sedemikian, lalu Abu Hurairah menerangkan bahawa tadi beliau sebenarnya dalam keadaan junub. Mendengar itu Rasulullah bersabda:

Subhanallah! Wahai Abu Hurairah! Sesungguhnya orang mukmin tidaklah ia menjadi najis.

Kata-kata Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam di atas bersifat umum, menunjukkan bahawa seorang mukmin tidaklah ia sekali-kali akan berada dalam keadaan najis sekalipun dia dalam keadaan junub. Termasuk dalam keumuman hadis ini ialah wanita yang sedang haid. Sebagai rumusan kepada kupasan ini, berikut dinukil kata-kata Syaikh al-Islam Ibn Taimiyyah rahimahullah (728).

Sesungguhnya para wanita mereka mengalami haid pada zaman Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam, maka seandainya membaca al-Qur’an diharamkan ke atas mereka (ketika haid) sepertimana solat, pasti baginda Nabi shallallahu 'alaihi wasallam akan menjelaskannya kepada umatnya. Baginda akan mengajarnya kepada para Ummul Mukminun (para isteri baginda) dan akan dinukil daripada mereka oleh orang ramai. Akan tetapi tidak ada satupun (riwayat) yang melarang yang dinukil daripada Nabi. Oleh itu hal ini tidak boleh dianggap terlarang padahal telah diketahui bahawa baginda tidak melarangnya. Justeru jika baginda tidak melarangnya padahal ramai wanita yang haid di zamannya, maka sesungguhnya ketahuilah bahawa ia sememangnya tidak haram.

Kesimpulan:

Allah Subhanahu wa Ta‘ala berfirman:

Alif-Lam-Mim. Kitab Al-Quran ini, tidak ada sebarang syak padanya; ia pula menjadi petunjuk bagi orang-orang yang (hendak) bertaqwa.
[al-Baqarah 2:1-2]

Setiap individu Muslim yang bertaqwa memerlukan al-Qur’an sebagai kitab yang memberi petunjuk kepada mereka. Petunjuk ini diperlukan pada setiap masa dan tempat, termasuk oleh para wanita ketika mereka didatangi haid. Tidak mungkin untuk dikatakan bahawa ketika haid mereka tidak memerlukan petunjuk dalam kehidupan sehari-harian mereka. Atas keperluan inilah al-Qur’an dan al-Sunnah yang sahih tidak melarang para wanita yang didatangi haid daripada memegang dan membaca al-Qur’an seperti biasa. Adapun pendapat yang mengatakan ianya haram, ia adalah pendapat yang lemah sekalipun masyhur.

Wallahua'lam.
P/s: Artikel ni saya sediakan khusus buat ummu nashwa yang pernah meminta saya menyediakan artikel tentang tajuk di atas. Saya sempat menulis secara ringkas. Namun, satu pagi ketika saya gooling , saya menemui ada satu artikel yang lengkap dan mudah difahami. Lantas saya mengambil keputusan untuk menjadikan artikel itu sebagai point utama untuk membincangkan topik ini. Semoga kita semua mendapat manfaat daripadanya.


Free Template Blogger collection template Hot Deals BERITA_wongANteng SEO

Ahad, 13 Disember 2009

Apa Ada Pada Nama?

7 ulasan
Gambar Hiasan

ADAB MEMBERI NAMA KEPADA ANAK
Oleh: Mama Lubna & Baba Lubna

Situasi 1
Orang Arab: Masmuka ya akh? (Apa nama kamu wahai saudara?)
Orang Malaysia: Ahmad Kamarul Arif Fahmi Bin Abdul Latif
Orang Arab: Masya Allah towill jiddan ya Ahmad.. (Masya Allah, panjangmye.. wahai Ahmad..)

Situasi 2
Orang Arab: Masmuki ya ukht? (Apa nama kamu wahai saudari?)
Orang Malaysia: Ismi Wan Nur Maisarah Farhana Binti Othman (Nama saya Wan Nur Maisarah Farhana Binti Othman)
Orang Arab: Masya Alllah, jamillah jiddan.. Ya Wan Nur.. err, Nur maaza..? (Masya Allah, cantiknya (nama). Wahai Nur.., err, Nur apa..?)

* contoh nama adalah secara spontan daripada penulis. Sekadar contoh semata-mata. Tiada berkaiatan dengan mereka yang hidup atau yang sudah meninggal dunia ;)

Begitulah situasi yang biasa dilalui oleh pelajar-pelajar Malaysia di tanah arab. Saya masih ingat ketika mula-mula saya berada di sana satu ketika dulu, tergeliat orang Arab bila menyebut nama orang-orang Malaysia. Kata mereka, orang Malaysia namanya cantik-cantik dan juga panjang-panjang. Susah untuk disebut. Orang-orang Arab pula namanya ringkas saja sebagaimana yang dianjurkan.

Sewaktu di kuliah banat jamiah al-azhar bil kaherah, betapa ramainya pelajar Arab yang bernama Asma’, Syaima’, Fatimah, Hajar dan beberapa lagi nama yang agak glamour di kalangan orang Arab. Nama-nama itu ringkas dan memiliki makna yang baik. Nama itulah digunanakan sepenuhnya dalam perbualan harian mereka. Lihat sahaja nama-nama para Sahabat dan Sahabiah di zaman Baginda s.a.w. Nama Abu Bakar, Umar, Uthman, Ali, Ja’afar, Bilal, Mus’ab, Mu’az, Marwan dan banyak lagi menjadi pilihan. Bagi Sahabiah pula, Asma’, Aisyah, Fatimah, Zainab, Ruqayyah dan lain-lain. Semua pilihan adalah ringkas, mudah dan paling penting mempunyai makna yang baik.

Lain pula dengan masyarakat kita. Namanya panjang-panjang. Bermurakkab-murakkab (berganda-ganda). Kadang-kadang sedih apabila nama itu mempunyai makna yang kurang baik. Nama-nama yang panjang-panjang juga, kalau ada tiga gandaan contohnya, panggilan seharian hanya ringkas sahaja; Na, Ma, Jah, Sit, Zah dan lain-lain. Apa ada pada nama sebenarnya?
Kini sudah menjadi trend di kalangan masyarakat kita menamakan anak-anak dengan nama-nama yang bermurakkab secara keterlaluan. Semakin panjang murakkabnya, semakin diminati. Memang tidak haram tetapi biarlah berpada-pada kerana bimbang terjerumus ke arah makruh lantaran mengejar glamour pada nama. Ikutilah jejak yang diajar oleh Baginda s.a.w yang diutuskan untuk menjadi panduan kepada seluruh umatnya. Lihatlah, tidak ada negara-negara Islam yang menamakan anak-anak secara bermurakkab secara keterlaluan sebagaimana yang dilakukan oleh masyarakat di negara kita sejak kebelakangan ini.

Hakikatnya, Islam mengalakkan umatnya memilih nama yang baik untuk dinamakan kepada anak-anak kita sebagai tanda pengenalan dan perbezaan antara orang Islam dan Orang yang bukan Islam. Nama yang baik juga sangat mustahak kerana panggilan yang sering dipanggil adalah doa yang dapat memperngaruhi keperibadian anak tersebut. Dan sebaiknya anak itu diberi nama pada hari ketujuh kelahirannya berdasarkan hadith:

عَنْ سَمُرَةَ بْنِ جُنْدُبٍ عَنْ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ كُلُّ غُلاَمٍ رَهِينٌ بِعَقِيقَتِهِ تُذْبَحُ عَنْهُ يَوْمَ سَابِعِهِ وَيُحْلَقُ رَأْسُهُ وَيُسَمَّىRasulullah s.a.w bersabda: “Setiap yang dilahirkan tergadai dengan aqiqahnya yang disembelih pada hari ketujuh dari kelahirannya dan dicukur rambutnya serta diberi nama.”
(hadith riwayat Ahmad dan Ashabus Sunan).

Contoh Nama-Nama Yang Baik.

1. Abdullah atau Abd. Rahman.
“أحب الأسماء إلى الله: عبد الله وعبد الرحمن“
Nama yang paling disukai oleh Abdullah: Abdullah dan Abd. Rahman”
(hadith riwayat Muslim).

2. Nama Dari Asma’ Al-HusnaSeperti Abd. Al-Aziz, Abd. Karim, Abd. Malik dan lain-lain.

3. Nama Para Nabi dan Rasul

4. Nama Para Sahabat dan Orang Soleh.

“أنهم كانوا يسمون بأسماء أنبيائهم والصالحين من قبلهم”
“Adalah mereka menamakan (anak-anak mereka) dengan nama para nabi dan orang soleh sebelum mereka
(hadith riwayat Muslim).

Adab-Adab Menamakan Anak:

1. Nama-nama yang terdapat dalam bahasa Arab.

2. Nama yang ringkas dan pendek, tidak murakkab (berganda).

3. Mudah untuk disebut.


Nama-Nama Yang Diharamkan:

1. Nama sembahan (Abd.) selain dari Allah dan NamaNya, seperti Abd. Al-Rasul, Abd. Al-Hasan, Abd. Al-Walid dan sebagainya.

2. Nama-nama yang khusus untuk Allah seperti al-Rahman, al-Rahim, al-Qayyum dan sebagainya.

3. Nama-nama bukan Arab yang dikhususkan kepada orang kafir seperti George, Ariel, Sharon, Hitler, Hillary, Subramaniam dan sebagainya.

4. Nama-nama berhala seperti al-Latta, al-Manat, al-‘Uzza, Tok Pek Kong, Vishnu dan sebagainya.

5. Nama-nama syaitan seperti Khanzab, al-A’war, dan sebagainya.


Nama-Nama Yang Dimakruhkan:

1. Nama-nama menarik ke arah nasfu seperti Fatin (فاتن) yang bermaksud penggoda (فاطن = orang yang cerdik) dan sebagainya.

2. Nama-yang tidak elok maknanya seperti Sarraq bin Zalim (pencuri bin penzalim) dan sebagainya.
3. Nama-nama binatang seperti baqarah (lembu bentina), himar (keldai) kharuf (kambing) dan sebagainya.

4. Nama-nama orang-orang fasiq, zalim, sombong, kufur dalam sejarah seperti Fir’uan, Hamman, Qarun, Namrud dan sebagainya.

5. Nama-nama murakkab (gandaan) seperti (Ahmad Muhammad (2 nama) bin…, Ahmad Saiful Anuar (3 nama) bin…, Mohd Nor Syazwan Akif (4 nama) bin… dan sebagainya.

6. Nama-nama malaikat seperti Jibril, Mikail, Israfil dan sebagainya.

Kesimpulannya:

Tanggungjawan ibu bapa adalah memberikan nama yang baik untuk anak-anak kerana ianya akan menjadi doa yang akan digunakan sepanjang hidupnya. Pilihlah mana-mana nama yang sesuai untuk anak-anak bersandarkan panduan yang telah diajar oleh Nabi kita agar anak-anak dapat hidup dengan doa dan panggilan yang bermakna buat mereka. :)


Free Template Blogger collection template Hot Deals BERITA_wongANteng SEO

Rabu, 9 Disember 2009

Fiqh al-Mar'ah: Menyusukan Bayi Sehingga 2 Tahun

2 ulasan
Adik saya yang bertugas di Hospital Sandakan pernah memberitahu saya bahawa susu formula, jika kerap diberikan kepada anak-anak walaupun tanpa dibancuh bersama gula, ianya akan tetap mendatangkan kesan kepada gigi anak-anak. Peranannya sebagai sumber kalsium, sememangnya diketahui umum. Namun, kandungan susu formula itu sendiri sudah tersedia gula jika tidak dijaga, gigi anak-anak boleh rosak akibat pengambilan susu tanpa penjagaan gigi yang baik. Kini, gigi anaknya yang baru berusia dua tahun katanya sudah mula nampak kurang sihat walaupun adik saya jarang memberi gula-gula mahupun coklat kepadanya. Susu formula memang baik untuk tumbesaran namun, akibat bahan campurannya yang terkandung di dalamnya, menjadikannya mempunyai kesan sampingan kepada anak-anak.

Lantas, saya mengambil jalan tengah dengan menyusukan Lubna bermula saat dilahirkan sehinggalah ke hari ini (1tahun 8bulan ++). Alhamdulillah. Kerjaya saya tidak saya jadikan alasan untuk Lubna membesar dengan susu formula semata-mata. Oleh yang demikian, tugas utama saya adalah menyusukan Lubna. Pulang dari kerja, tugas saya menyusu dan mengepam susu untuk bekalan Lubna di rumah pengasuh setiap hari. Sebenarnya, terlalu banyak halangan dan cabaran untuk menyusukan anak tanpa di’cemari’ dengan susu formula. Kadang-kadang, kepenatan membuatkan saya berputus asa untuk mengepam. Alhamdulillah, saya bertuah kerana suami memberikan sokongan yang penuh. Kadang-kadang, ada juga yang mencadangkan susu-susu yang hebat di pasaran kerana kata mereka susu tersebut mengandungi DHA, Omega 3 dan bermacam-macam lagi kandungan yang lengkap. Kami mengiyakan, tetapi kami lebih percaya bahawa susu ibu adalah yang terbaik. Itulah yang mahu kami berikan kepada anak kami.

Pengasuh anak saya sendiri kurang faham kenapa saya tidak membelikan susu formula untuk anak saya. Namun saya terangkan bahawa saya akan bekalkan susu ibu untuk bekalan Lubna setiap hari. Alah bisa tegal biasa. Pada mulanya memang agak sukar menyediakan bekalan, lama kelamaan, ianya menjadi rutin yang biasa. Cuma setelah berusia 6 bulan ke atas barulah saya berikan makanan pepejal dan makanan tambahan buat Lubna. Tetapi, susu formula, masih tidak diberikan kepada Lubna. Kami bercadang melengkapkan penyusuan ibu sehingga cukup 2 tahun tanpa susu formula. Sesetengah golongan menyangkan ibu yang menyusukan anak tanpa memberikan susu formula, alasannya kerana save budget. Salah sama sekali. Saya yakin terlalu banyak keistimewaannya. Kerana itu Allah s.w.t berfirman:


وَٱلۡوَٲلِدَٲتُ يُرۡضِعۡنَ أَوۡلَـٰدَهُنَّ حَوۡلَيۡنِ كَامِلَيۡنِ‌ۖ لِمَنۡ أَرَادَ أَن يُتِمَّ ٱلرَّضَاعَةَ‌ۚ وَعَلَى ٱلۡمَوۡلُودِ لَهُ ۥ رِزۡقُهُنَّ وَكِسۡوَتُہُنَّ بِٱلۡمَعۡرُوفِ‌ۚ لَا تُكَلَّفُ نَفۡسٌ إِلَّا وُسۡعَهَا‌ۚ لَا تُضَآرَّ وَٲلِدَةُۢ بِوَلَدِهَا وَلَا مَوۡلُودٌ۬ لَّهُ ۥ بِوَلَدِهِۦ‌ۚ وَعَلَى ٱلۡوَارِثِ مِثۡلُ ذَٲلِكَ‌ۗ فَإِنۡ أَرَادَا فِصَالاً عَن تَرَاضٍ۬ مِّنۡہُمَا وَتَشَاوُرٍ۬ فَلَا جُنَاحَ عَلَيۡہِمَا‌ۗ وَإِنۡ أَرَدتُّمۡ أَن تَسۡتَرۡضِعُوٓاْ أَوۡلَـٰدَكُمۡ فَلَا جُنَاحَ عَلَيۡكُمۡ إِذَا سَلَّمۡتُم مَّآ ءَاتَيۡتُم بِٱلۡمَعۡرُوفِ‌ۗ وَٱتَّقُواْ ٱللَّهَ وَٱعۡلَمُوٓاْ أَنَّ ٱللَّهَ بِمَا تَعۡمَلُونَ بَصِيرٌ۬
(٢٣٣)

Dan ibu-ibu hendaklah menyusukan anak-anak mereka selama dua tahun genap iaitu bagi orang yang hendak menyempurnakan penyusuan itu dan kewajipan bapa pula ialah memberi makan dan pakaian kepada ibu itu menurut cara yang sepatutnya. Tidaklah diberatkan seseorang melainkan menurut kemampuannya. Janganlah menjadikan seseorang ibu itu menderita kerana anaknya dan (jangan juga menjadikan) seseorang bapa itu menderita kerana anaknya dan waris juga menanggung kewajipan yang tersebut (jika si bapa tiada). Kemudian jika keduanya (suami isteri) mahu menghentikan penyusuan itu dengan persetujuan (yang telah dicapai oleh) mereka sesudah berunding, maka mereka berdua tidaklah salah (melakukannya). Dan jika kamu hendak beri anak-anak kamu menyusu kepada orang lain, maka tidak ada salahnya bagi kamu apabila kamu serahkan (upah) yang kamu mahu beri itu dengan cara yang patut dan bertakwalah kamu kepada Allah, serta ketahuilah, sesungguhnya Allah sentiasa melihat akan apa jua yang kamu lakukan.” al-Baqarah 233

Percayalah, susu ibu adalah makanan terbaik bayi anda sehingga berumur 2 tahun. Jangan terlalu terpedaya dengan iklan di pasaran tentang kebaikan susu-susu formula di pasaran berbanding susu ibu. Di samping mengandungi antibodi dan kesan imunisasi untuk menghalang jangkitan kuman, komposisi SUSU IBU boleh berubah-ubah bergantung kepada keperluan bayi. Bagaimana?

Kandungan susu ibu berubah dengan usia bayi: susu ibu untuk bayi pra-matang mempunyai kandungan protein yang tinggi manakala susu ibu untuk bayi 8 bulan adalah tinggi kandungan kalorinya berbanding bagi bayi 1 bulan.

Susu ibu berubah dengan cuaca: susu ibu mempunyai lebih banyak kandungan air apabila cuaca panas dan tinggi kandungan lemak apabila cuaca sejuk.

Rasa susu ibu berubah-ubah bergantung kepada makanan yang dimakan ibu: anak anda didedahkan kepada rasa yang berbeza-beza pada peringkat awal usianya lagi.


Begitulah Allah menjadikan susu ibu sebagai sebaik-baik makanan untuk anak-anak yang baru lahir sehinggalah berumur 2 tahun. Itu hanya sebahagian daripada keistimewaan susu ibu. Selebihnya, lihatlah sendiri dengan menyusukan bayi anda sehingga 2 tahun. Walaupun hanya berbentuk keHARUSan, namun ia mempunyai kelebihan yang sukar untuk diungkapkan.


Free Template Blogger collection template Hot Deals BERITA_wongANteng SEO

Jumaat, 4 Disember 2009

Fiqh al-Mar'ah: Pendarahan Sebelum Kelahiran

0 ulasan
Beberapa kali pengalaman saya masuk wad, memanggil saya untuk melakarkan sesuatu untuk tatapan semua. Pengalaman pertama ketika saat-saat bersalin anak pertama Lubna di Hospital Sungai Petani, Kedah begitu meninggalkan kesan yang mendalam. Kenapa ketika azan berkumandang, wad bersalin masih gelap. Sesekali terdengar derap kaki nurse yang bertugas. Namun, ramai pesakit yang masih dibuai mimpi. Setahu saya, ibu-ibu yang berada di wad berkenaan, masih ramai yang belum bersalin termasuklah saya.

Saya bingkas bangun. Darah masih belum kering. Sepanjang malam saya tidak dapat tidur dengan nyenyak kerana sakit yang datang sekejap-sekejap mengganggu saya. Namun, perlahan-lahan saya menuju ke bilik air membersihkan diri. Usai Solat Subuh, nurse datang menjenguk untuk memeriksa tahap tekanan darah dan denyutan baby dalam kandungan. Alhamdulillah, kandungan saya sihat.

Di sini, barulah saya percaya bahawa pembelajaran secara teori semata-mata masih belum dikira benar-benar menguasai. Lupa dan 'tidak nampak'. Ketika di alam pengajian, saya pernah menghabiskan beberapa kitab fiqh termasuk kitab fiqh “Fiqh ‘Ala Mazaahibil Arba’ah” dan “Fiqh Manhaji” dalam “Kitaabul Haidh” dalam beberapa siri daurah dan kuliah di jamiah. Tetapi di saat-saat yang memerlukan saya mengaplikasikan hukum yang dipelajari, ternyata saya masih ragu-ragu. Terbukti bahawa ilmu dan amal adalah sesuatu yang saling berkait. Setelah bertahun-tahun lamanya, ketika ianya terpaksa laluinya, barulah saya kembali mengadakan muraajaah.

Saya juga sering mendengar dan membaca kisah-kisah ibu yang berada di wad menanti kelahiran bayi yang dikandung. Saya juga pernah melalui kisah yang sama. Di saat-saat kesakitan yang datang berselang seli dan darah yang tidak berhenti turun, semua ibu akan berasa tidak selesa. Namun, sebagai ibu yang bakal melahirkan generasi pewaris kemuliaan Islam, seharusnya cekal dan tabah mengharungi saat-saat yang getir itu terutamanya dalam urusan melaksanakan ibadah sebagai wanita mu’minah yang taat dan patuh kepadaNya. Jika kita mengimpikan anak yang soleh dan solehah, seharusnya kita juga perlu memastikan diri kita sebagai ibu yang solehah. Mentaati perintah Allah walau di mana berada..bila-bila masa.

Sebenarnya, wanita-wanita yang sedang menanti saat-saat melahirkan anak, akan mengalami pendarahan sebelum kelahiran. Itu adalah lumrah yang akan dialami oleh kebanyakan ibu-ibu. Pendarahan ini akan kadang-kadang bercampur lendir. Apakah hukum darah yang keluar sebelum bersalin? Sebenarnya, pendarahan ini tidak termasuk dalam darah nifas. Ini bermakna, belum tergugur kewajipan ibadah terutamanya solat fardhu.


Ini kerana nifas menurut ta’rifan jumhur Ulama’ adalah sebagaimana yang saya nukilkan daripada kitab fiqh seperti berikut:
"الدم الخارج عقب الولادة…"
Darah yang keluar (dari rahim perempuan) akibat melahirkan anak

Sedikit huraian: Hukum Darah Sebelum Kelahiran

Memandangkan darah yang keluar itu bukanlah disebabkan oleh kelahiran, maka ia termasuk dalam kategori darah istihadhah (penyakit) ataupun darah fasad (rosak). Dalam hal ini, ini bermakna belum tergugur kewajipan solat kepada ibu-ibu yang masih belum bersalin. Walaupun Ulama’ Syafi’iyyah mengatakan ia adalah termasuk dalam kategori darah haid tetapi jumhur ulama’ berpendapat bahawa ia bukanlah darah haid tetapi ia adalah darah istihadhah (penyakit) atau darah fasad (rosak).

Ini amat bertepatan dengan kajian saintifik yang menunjukkan bahawa proses haid tidak akan berlaku ketika seseorang wanita itu mengandung kerana telah berlakunya persenyawaan dan kehamilan. Maka dalam hal ini, pendapat jumhur paling tepat diguna pakai iaitu darah berkenaan adalah darah istihadhah atau darah fasad.

Dalam hal berlaku perselisihan pendapat di kalangan fuqaha', Imam Syafiie sendiri pernah berkata:
Apabila kamu menemui dalam kitabku sesuatu yang berlainan atau berlawanan dengan hadis Rasulullah SAW, peganglah hadis baginda dan tinggalkan pendapatku itu..

Maka dapatlah disimpulkan bahawa seandainya darah keluar akibat kelahiran, barulah darah itu dikira sebagai darah nifas dan wiladah.

Kesimpulannya:
Jelas bahawa jumhur ulama’ (majoriti) bersepakat mengatakan bahawa darah nifas adalah darah yang keluar atas sebab kelahiran. Maka darah yang keluar sebelum kelahiran itu bukanlah darah nifas. Diharapkan semoga ibu-ibu yang mengalami pendarahan di saat-saat menantikan kelahiran bayi agar tetap menunaikan solat tanpa ragu-ragu kerana ia adalah kewajipan yang belum lagi tergugur.




Sila rujuk Kitab:

روضة الطالبين وعمدة المفتين
(Jilid 1 muka surat 64)-mewakili kitab Ulama’ Syafi’iyyah

بدائع الصنائع في ترتيب الشرائع (Jilid 1 muka surat 189)-mewakili kitab Ulama’ Hanafiyyah

المغني (Jilid 1 muka surat 352)-mewakili kitab Ulama’ Hanabilah

الفواكه الدواني على رسالة ابن أبي زيد القيرواني (Jilid 1 muka surat 471)-mewakili kitab Ulama’ Malikiyyah

عون المعبود (Jilid 1 muka surat 359-)-Kitab Hadith Imam Abu Daud







Free Template Blogger collection template Hot Deals BERITA_wongANteng SEO

Sabtu, 7 November 2009

Pilihlah Jalan Mana Yang Mahu Diikuti

0 ulasan
Dunia saya setiap hari adalah alam rumah tangga dan sekolah. Mahu tidak mahu, saya perlu berhadapan dengan tanggungjawab ini. Inilah taklifan yang perlu saya tunaikan dengan sebaiknya. Bergelar isteri semestinya merupakan satu amanah yang besar buat saya. Alam rumah tangga mematangkan dan mendewasakan saya. Perubahan ‘alam’ dan perbezaan ‘budaya’ masyarakat sekeliling mengajar saya akan warna-warna kehidupan yang perlu dilalui. Sebenarnya cukup indah!

Manakala, di sekolah tugasan menyampaikan ilmu dan mendidik insane bukan hanya berlegar di kalangan pelajar, malah juga melibatkan masyarakat warga sekolah. Mereka sering menjadikan guru-guru agama sebagai rujukan dalam hal yang kurang pasti. Seorang pembantu tadbir pernah meminta pandangan untuk menamakan cucunya yang baru lahir. Pernah juga saya ditanya tentang procedure mahkamah tentang urusan rumah tangga yang bergolak. Malah, sepanjang Ramadhan baru-baru ini, ramai juga guru-guru yang mengutarakan persoalan tentang hukum tajwid untuk memastikan bacaan al-Quran betul dan sempurna.

Bagi guru-guru perempuan pula, persoalan fiqh wanita sering dilontarkann untuk mendapatkan penjelasan. Sekiranya saya mempunyai jawapan yang pasti, saya akan menerangkan kepada mereka. Tetapi seandainya sebaliknya, saya akan KIV kan jawapan untuk kembali merujuk kepada mereka yang pakar dalam hal berkenaan atau merujuk kitab-kitab fiqh yang muktabar. Terkini, setelah peristiwa Dr. Asri ditahan, timbul pula persoalan tentang mazhab.
Seorang guru bertanya: “Ustazah, mazhab tu apa sebenarnya?”

Sebenarnya mazhab itu bukan agama. Ramai yang salah faham apabila membicarakan soal mazhab. Mazhab sebenarnya aliran pemahaman dan ijtihad. Majoriti umat Islam hari ini hanya mengenali 4 mazhab iaitu Mazhab Imam Abu Hanifah, Imam Malik, Imam Syafie, Imam Ahmad bin Hanbal.

Begini kisahnya tentang kemunculan mazhab dalam dunia Islam ini. Saya ceritakan secara ringkas. Di zaman Baginda Rasulullah s.a.w, semua urusan diselesaikan oleh Baginda s.a.w. Sebarang permasalahan para Sahabat r.hu diselesaikan oleh Baginda s.a.w melalui wahyu secara langsung dari Allah s.w.t. Walaupun begitu, setelah kewafatan Baginda s.a.w, semua permasalah diambil alih oleh para Sahabat yang diiktiraf oleh Baginda s.a.w. Nabi s.a.w pernah bersabda yang bermaksud: “Sahabatku adalah seperti bintang”. Mereka turut mengikut jejak Baginda s.a.w berpandukan kepada nas-nas al-Quran dan kaedah-kaedah yang telah diperakui oleh Baginda s.a.w ketika hidup. Bukti yang memperakui bahawa Sahabat-sahabat adalah orang yang menjejaki sunnahnya, Baginda Rasulullah s.a.w pernah menyoal sahabat baginda Muaz bin Jabal yang akan diutuskan ke negeri Yaman sebagai pendakwah dan juga sebagai Qadi. Sabdanya yang bermaksud :

“Wahai Muaz, bagaimana engkau menyelesaikan sesuatu masalah, jika engkau ditanya orang?”. Jawab Muaz “Aku akan menghukum dengan hukuman yang didapati dalam al-Quran.” Tanya Rasulullah SAW lagi, “jka tidak ada hukum dalam al-Quran?” Muaz menjawab, “Aku akan berpandukan dengan sunnah Rasulullah SAW (Al-Hadith).” Kemudian Rasulullah SAW bertanya lagi, “ Jika sekiranya tidak terdapat dalam hadith?”. Jawabnya “Aku akan berijtihad”. Kemudain Rasulullah SAW menepuk-nepuk dada Muaz sambil bersabda “Segala puji bagi Allah SWT yang telah memberikan petunjuk kepada utusan Rasulullah SAW (Muaz) dengan perkara yang diredhai oleh Allah SWT dan Rasulnya.”
(Riwayat Imam Ahmad & Tirmizi)

Setelah berlalunya zaman para Sahabat, maka muncullah permasalah yang baru yang tidak dijumpai pada zaman Rasulullah s.a.w dan para sahabat tentang permasalahan fiqh. Maka, ulama’-ulama’ di zaman itu mula mengeluarkan ijtihad perseorangan masing-masing (dengan kelayakan sebagai alim ulama’). Maka di situlah bermulanya aliran mazhab yang lahir daripada ijtihad dan pendapat perseorangan daripada ulama’-ulama’ tersohor.

Namun, mazhab-mazhab berkenaan akhirnya ada yang lenyap akibat pelbagai faktor yang tidak menyokong seperti tidak dikumpulkan dan hilang ditelan zaman. Pun begitu, masih ada mazhab-mazhab yang masih hidup dan bertahan sehingga ke hari ini seperti Mazhab Imam Abu Hanifah, Imam Malik, Imam Syafie, Imam Ahmad bin Hanbal. Menurut (Thaha Jabir Fayyadh Al-‘Alnawi), semenjak kurun keempat hijrah, terhentilah ijtihad dan tempatnya digantikan dengan taqlid yang tersebar luas. Umat Islam mula semakin hilang cahaya ilmu dan perkembangan ilmu secara sihat. Malah ada yang mula beranggapan bahawa berpegang kepada mazhab yang satu itu adalah suatu kewajipan tanpa memberi sedikit pun ruang perbincangan meluaskan ilmu-ilmu Allah yang terlalu luas berdasarkan kepada nas-nas yang dibenarkan untuk berijtihad.

Lebih mendukacitakan lagi apabila munculnya golongan yang membincangkan soal mazhab, masyarakat memandang serong terhadap pendapat yang pada mereka amat janggal dan pelik sedang mereka amat cetek tentang ilmu ijtihad dan hukum Islam. Namun, sebagai umat Islam yang tidak mempunyai kelayakan berijtihad, kita digalakkan berpegang kepada mazhab yang satu agar tidak tersasar dari landasan kebenaran Islam. Namun, pegangan itu dianggap fleksibel seandainya terdapat nas-nas yang lebih kuat dan mantap untuk diikuti. Satu Ucapan Imam Syafie (iaitu pengasas mazhab syafi’e) yang cukup popular iaitu:
Apabila kamu menemui dalam kitabku sesuatu yang berlainan atau berlawanan dengan hadis Rasulullah SAW, peganglah hadis baginda dan tinggalkan pendapatku itu,” Ini jelas bermakna bahawa pandangan itu akan berubah-ubah seandainya ada nas yang lebih kuat.

Begitulah indahnya Islam. Tidak membelenggu ummatnya. Malah mengamalkan keterbukaan yang dipandu dengan nilai-nilai al-Quran dan as-Sunnah. Seandainya dipatuhi, Islam akan terus berkembang dan menuju ke puncaknya. Namun, seandainya ditolak, manusia akan menuju kehancuran. Pilihlah jalan mana yang mahu diikuti. Wallahua’lam.


Free Template Blogger collection template Hot Deals BERITA_wongANteng SEO