Sabtu, 7 November 2009

Pilihlah Jalan Mana Yang Mahu Diikuti

0 ulasan
Dunia saya setiap hari adalah alam rumah tangga dan sekolah. Mahu tidak mahu, saya perlu berhadapan dengan tanggungjawab ini. Inilah taklifan yang perlu saya tunaikan dengan sebaiknya. Bergelar isteri semestinya merupakan satu amanah yang besar buat saya. Alam rumah tangga mematangkan dan mendewasakan saya. Perubahan ‘alam’ dan perbezaan ‘budaya’ masyarakat sekeliling mengajar saya akan warna-warna kehidupan yang perlu dilalui. Sebenarnya cukup indah!

Manakala, di sekolah tugasan menyampaikan ilmu dan mendidik insane bukan hanya berlegar di kalangan pelajar, malah juga melibatkan masyarakat warga sekolah. Mereka sering menjadikan guru-guru agama sebagai rujukan dalam hal yang kurang pasti. Seorang pembantu tadbir pernah meminta pandangan untuk menamakan cucunya yang baru lahir. Pernah juga saya ditanya tentang procedure mahkamah tentang urusan rumah tangga yang bergolak. Malah, sepanjang Ramadhan baru-baru ini, ramai juga guru-guru yang mengutarakan persoalan tentang hukum tajwid untuk memastikan bacaan al-Quran betul dan sempurna.

Bagi guru-guru perempuan pula, persoalan fiqh wanita sering dilontarkann untuk mendapatkan penjelasan. Sekiranya saya mempunyai jawapan yang pasti, saya akan menerangkan kepada mereka. Tetapi seandainya sebaliknya, saya akan KIV kan jawapan untuk kembali merujuk kepada mereka yang pakar dalam hal berkenaan atau merujuk kitab-kitab fiqh yang muktabar. Terkini, setelah peristiwa Dr. Asri ditahan, timbul pula persoalan tentang mazhab.
Seorang guru bertanya: “Ustazah, mazhab tu apa sebenarnya?”

Sebenarnya mazhab itu bukan agama. Ramai yang salah faham apabila membicarakan soal mazhab. Mazhab sebenarnya aliran pemahaman dan ijtihad. Majoriti umat Islam hari ini hanya mengenali 4 mazhab iaitu Mazhab Imam Abu Hanifah, Imam Malik, Imam Syafie, Imam Ahmad bin Hanbal.

Begini kisahnya tentang kemunculan mazhab dalam dunia Islam ini. Saya ceritakan secara ringkas. Di zaman Baginda Rasulullah s.a.w, semua urusan diselesaikan oleh Baginda s.a.w. Sebarang permasalahan para Sahabat r.hu diselesaikan oleh Baginda s.a.w melalui wahyu secara langsung dari Allah s.w.t. Walaupun begitu, setelah kewafatan Baginda s.a.w, semua permasalah diambil alih oleh para Sahabat yang diiktiraf oleh Baginda s.a.w. Nabi s.a.w pernah bersabda yang bermaksud: “Sahabatku adalah seperti bintang”. Mereka turut mengikut jejak Baginda s.a.w berpandukan kepada nas-nas al-Quran dan kaedah-kaedah yang telah diperakui oleh Baginda s.a.w ketika hidup. Bukti yang memperakui bahawa Sahabat-sahabat adalah orang yang menjejaki sunnahnya, Baginda Rasulullah s.a.w pernah menyoal sahabat baginda Muaz bin Jabal yang akan diutuskan ke negeri Yaman sebagai pendakwah dan juga sebagai Qadi. Sabdanya yang bermaksud :

“Wahai Muaz, bagaimana engkau menyelesaikan sesuatu masalah, jika engkau ditanya orang?”. Jawab Muaz “Aku akan menghukum dengan hukuman yang didapati dalam al-Quran.” Tanya Rasulullah SAW lagi, “jka tidak ada hukum dalam al-Quran?” Muaz menjawab, “Aku akan berpandukan dengan sunnah Rasulullah SAW (Al-Hadith).” Kemudian Rasulullah SAW bertanya lagi, “ Jika sekiranya tidak terdapat dalam hadith?”. Jawabnya “Aku akan berijtihad”. Kemudain Rasulullah SAW menepuk-nepuk dada Muaz sambil bersabda “Segala puji bagi Allah SWT yang telah memberikan petunjuk kepada utusan Rasulullah SAW (Muaz) dengan perkara yang diredhai oleh Allah SWT dan Rasulnya.”
(Riwayat Imam Ahmad & Tirmizi)

Setelah berlalunya zaman para Sahabat, maka muncullah permasalah yang baru yang tidak dijumpai pada zaman Rasulullah s.a.w dan para sahabat tentang permasalahan fiqh. Maka, ulama’-ulama’ di zaman itu mula mengeluarkan ijtihad perseorangan masing-masing (dengan kelayakan sebagai alim ulama’). Maka di situlah bermulanya aliran mazhab yang lahir daripada ijtihad dan pendapat perseorangan daripada ulama’-ulama’ tersohor.

Namun, mazhab-mazhab berkenaan akhirnya ada yang lenyap akibat pelbagai faktor yang tidak menyokong seperti tidak dikumpulkan dan hilang ditelan zaman. Pun begitu, masih ada mazhab-mazhab yang masih hidup dan bertahan sehingga ke hari ini seperti Mazhab Imam Abu Hanifah, Imam Malik, Imam Syafie, Imam Ahmad bin Hanbal. Menurut (Thaha Jabir Fayyadh Al-‘Alnawi), semenjak kurun keempat hijrah, terhentilah ijtihad dan tempatnya digantikan dengan taqlid yang tersebar luas. Umat Islam mula semakin hilang cahaya ilmu dan perkembangan ilmu secara sihat. Malah ada yang mula beranggapan bahawa berpegang kepada mazhab yang satu itu adalah suatu kewajipan tanpa memberi sedikit pun ruang perbincangan meluaskan ilmu-ilmu Allah yang terlalu luas berdasarkan kepada nas-nas yang dibenarkan untuk berijtihad.

Lebih mendukacitakan lagi apabila munculnya golongan yang membincangkan soal mazhab, masyarakat memandang serong terhadap pendapat yang pada mereka amat janggal dan pelik sedang mereka amat cetek tentang ilmu ijtihad dan hukum Islam. Namun, sebagai umat Islam yang tidak mempunyai kelayakan berijtihad, kita digalakkan berpegang kepada mazhab yang satu agar tidak tersasar dari landasan kebenaran Islam. Namun, pegangan itu dianggap fleksibel seandainya terdapat nas-nas yang lebih kuat dan mantap untuk diikuti. Satu Ucapan Imam Syafie (iaitu pengasas mazhab syafi’e) yang cukup popular iaitu:
“Apabila kamu menemui dalam kitabku sesuatu yang berlainan atau berlawanan dengan hadis Rasulullah SAW, peganglah hadis baginda dan tinggalkan pendapatku itu,” Ini jelas bermakna bahawa pandangan itu akan berubah-ubah seandainya ada nas yang lebih kuat.

Begitulah indahnya Islam. Tidak membelenggu ummatnya. Malah mengamalkan keterbukaan yang dipandu dengan nilai-nilai al-Quran dan as-Sunnah. Seandainya dipatuhi, Islam akan terus berkembang dan menuju ke puncaknya. Namun, seandainya ditolak, manusia akan menuju kehancuran. Pilihlah jalan mana yang mahu diikuti. Wallahua’lam.


Free Template Blogger collection template Hot Deals BERITA_wongANteng SEO

Khamis, 5 November 2009

Melentur Buluh Biar Dari Rebungnya

2 ulasan
Post menarik seorang kanak-kanak perempuan yang mahu solat berjamaah. Bagusnye..Tapi ada yang tak kena ni... CUBA TEKA ;)


Inilah kanak-kanak perempuan yang dimaksudkan tu. Hai..ni nak ikut imam ke tak? Tengok..Tok Wan ngan Pak Tam, duduk tahiyyat, LUBNA?


Ooo..ikut imam rupanya. Tapi betul ke makmum perempuan duk sebelah tok wan? :)



Free Template Blogger collection template Hot Deals BERITA_wongANteng SEO

Isnin, 2 November 2009

Nostalgia Ayam

3 ulasan

“Mama…”
“Aha, Lubna…dah balik pun.”
“Alammm..” Lubna menghulurkan tangan mahu bersalam.
Saya menyambutnya. “Solehah betul anak mama ni.”
Suami saya yang mengambil Lubna hari ini. Hampir dua minggu suami saya mengambil alih tugasan saya. Menghantar dan mengambil Lubna ke rumah pengasuhnya.
“Ada berita baik!” Suami saya berkata dengan senyum yang lebar.
Itulah ayat yang membuatkan saya berasa begitu teruja.
“Ada apa abang?” Tanya saya.
“Ayam dah mati.”
“Hahh?” Terbeliak mata saya mendengar berita itu.
Saya tersenyum.
“Selamat.. “Itulah kata-kata yang terkeluar dari mulut saya.
“Kenapa? Bila mati?” Saya bertanya lagi, mahu mengetahui lebih lanjut.
“Tuan Haji kata mungkin termakan racun. Mati kelmarin.” Suami menjelaskan.
“Oooo…”

Tiba-tiba, rasa gembira dan sedih tiba-tiba berbaur.
Gembira kerana saya tidak lagi dibelenggu rasa takutkan ayam itu.
Manakan tidak, ayam itulah yang selalu menghambat saya apabila saya melalui kawasan rumah Tuan Haji menghantar anak ke rumah pengasuh. Tidak pernah saya mengganggu ayam itu, tetapi pantang ayam itu melihat saya. Dari jauh lagi, ayam itu akan ‘berlari’ untuk menyerang. Apa salahku..Lubna pula, setiap kali saya mendukungnya melalui kawasan itu, dia akan memeluk saya dengan erat.
“Takut ayam…” Katanya dengan penuh rasa cemas.

Sedih juga kerana baru kelmarin saya nampak ayam itu di hadapan rumah. Tetiba dah mati. Tuan haji tu pun tahu saya dah lama tidak melewati rumahnya kerana takut diserang ayam. Bimbang juga saya kalau-kalau kematian ayam itu difikirkan kerana saya yang meracuni ayam itu. Saya tak bersalah, kenapa rasa takut? Saya memujuk hati yang mula membuat pelbagai andaian.

Lubna pula hari ini, walaupun ayam dah mati, dia tetap hilang keyakinan untuk bersama saya ke rumah pengasuhnya. Lubna tetap mahu didukung babanya kerana berasa lebih selamat dan yakin. Saya terpaksa mengambil inisiatif memulihkan keyakinan Lubna selepas ini.

Kenangan bersama ayam jantan Tuan Haji pasti menjadi nostalgia indah di dalam hidup saya sepanjang membesarkan Lubna. Kami pernah sama menjerit meminta pertolongan. Dipatuk beberapa kali di kaki. Ketika itu saya mendukung Lubna. Dua-dua menjerit. Kebetulan suami saya masuk ke dalam rumah. Terkejut juga apabila mendengar Lubna menjerit kuat memanggil Baba. Alhamdulillah, suami saya datang membantu menghalau ayam yang pening itu.

Sebenarnya, Allah menciptakan ayam jantan dengan kewajipannya di Subuh hari mengejutkan insan-insan yang masih berselimut. Terlalu ramai manusia yang lena dibuai mimpi sehingga matahari terbit di ufuk timur. Syaitan membelenggu mereka. Subuh entah ke mana… Lena lebih diutamakan daripada menunaikan kewajipan kepada Allah s.w.t. Pagi ini, saya tidak lagi terjaga kerana mendengar kokokan ayam Tuan Haji kerana ayam itu sudah mati. Moga Tuan akan membela ayam yang soleh untuk kembali berkhidmat untuk kami semua. :)



Free Template Blogger collection template Hot Deals BERITA_wongANteng SEO

Sabtu, 31 Oktober 2009

Mama Lubna Ice Blended

2 ulasan
Mama Lubna Ice Blended... dapatkan segera!

Bersempena Hari Kokurikulum di sekolah, Persatuan Agama Islam dan Bahasa Arab membuka satu gerai. Rupa-rupanyanya seronok juga berniaga ni di samping mencari pendapatan tambahan untuk persatuan. Tahun depan banyaklah sedikit peruntukan untuk menjalankan program-program agama di sekolah.

Ketika membincangkan apa yang akan diniagakan, saya memberikan cadangan menjual jagung rebus (buah kegemaran Lubna) dan ice blended. Manakala seorang lagi sahabat kami, mencadangkan bihun sup. Semuanya bersetuju sebulat suara!

Ustazah Khadijah sedia merebus Jagung Rebus Special.

Pelajar-pelajar turut membantu di gerai. Rajin betul pelajar ustazah ni..


Ya, kami jual Jagung Rebus Special, Bihun Special Ustazah dan Mama Lubna Ice Blended! Nama ice blended sempena nama anak kami, LUBNA. Alhamdulillah, semuanya mendapat sambutan yang menggalakkan. Tidak disangka-sangka, sebelum jam sepuluh, jagung habis, ice cream untuk ice blended dan cup ice belended pun habis! Bihun sup pulak macam goreng pisang panas! Kelam kabut kami semua mencari bekalan tambahan menampung jumlah permintaan yang amat menggalakkan.

Ustazah Hidayah sibuk menyediakan bahan untuk Bihun Sup Special Ustazah
Inilah Bihun Sup special Ustazah yang dijual.
Aha..inilah Ustazah Nashirah, taukey Bihun Sup kami...Kacau ustazah, kacau!!! :)

Mama Lubna Ice Blended pun tidak disangka-sangka mendapat sambutan yang hangat. Biasalah, murid-murid yang penat bermain, mestinya haus. Tekak yang kering mahu dibasahi dengan ice blended yang menyegarkan.

Di samping tu, macam-macam permainan ada, playland, horse ride, clown show dan ada juga cabutan bertuah. Murid-murid apa lagi, bermainlah! Lagipun exam baru habis. (Teringat zaman sekolah dulu)..

Seronok juga dapat naik kuda. Berkuda ni sebenarnya antara sukan yang dianjurkan oleh Nabi s.a.w untuk dipelajari.

Inflatable Play Land antara permainan yang mendapat sambutan yang amat meriah. Lihatlah mereka bermain..:)

Sebenarnya, Ice Blended ni saya dapatkan idea daripada suami. Resepinya diminta daripada seorang pelajarnya di sekolah. Lalu saya namakan dengan Mama Lubna Ice Blended untuk dikomersialkan. Nak rasa? Boleh cuba resepi ni.

MAMA LUBNA ICE BLENDED


Bahan-bahan

Ais
Susu pekat manis
Perisa
Air gula
Air
Ice cream
Chocolate rice

Cara membuat

Masukkan ais , 4 sudu besar susu pekat manis, 2 sudu air gula, 2 sudu perisa, dan sedikit air ke dalam blender.

Kisar semuanya hingga hancur

Tuang ke dalam cup/gelas

Hiaskan dengan ice cream dan chocolate rice


Senang saja. Cubalah..:)

Akhir sekali, acara mengira jumlah pendapat hasil jualan. Agak lumayan. :)



Free Template Blogger collection template Hot Deals BERITA_wongANteng SEO

Isnin, 26 Oktober 2009

Betul Ke Hobi Kita Membaca?

2 ulasan

Saya sering menulis hobi saya adalah membaca. Rupa-rupanya, setelah saya merenung kembali, saya sepatutnya malu untuk mengakui bahawa saya minat membaca kerana saya jarang membaca. Saya hanya membaca bahan-bahan yang agak ringan. Surat khabar, majalah, bahan-bahan bacaan yang santai dan beberapa buah buku yang agak nipis. Dalam masa sebulan, saya tidak tahu apa yang saya baca kerana saya tidak berusaha mencari bahan-bahan membina minda dan fikiran saya untuk dibaca. Kalau mahu dikira jumlah buku yang dibaca dalam sebulan, saya rasa saya bukanlah orang yang layak untuk menghitungnya.

Bagi saya, minat dan hobi adalah = (baca: bersamaan) dengan sebatian yang ada dalam diri. Tidak dapat dipisahkan. Pertama, seumpama sebatian garam. Unsur-unsur natrium dan klorida disebatikan lalu menjadi natrium klorida iaitu garam. Jika unsur-unsur ini terpisah, maka kita tidak boleh menamakannya garam. Kedua, umpama orang yang minat memasak. Dia bukan sahaja akan memasak apa yang dia tahu, tetapi dia turut akan mencari resepi-resepi baru untuk dicuba. Malah, lebih menarik jika dia tidak akan melepaskan peluang menghadiri kursus-kursus masakan yang dianjurkan oleh mana-mana pihak. Masakan yang dimasak lalu dihidangkan akan mendatangkan kepuasan buat dirinya. Sungguh menarik, bukan?

Saya cuba mendatangkan satu contoh yang paling dekat dengan saya. Suami saya berkata bahawa membaca itu lazat. Dia dapat ‘menikmati’ sebuah buku yang dibacanya dengan senang hati. Barangkali ibarat makan ikan bakar dan ikan kukus agaknya. Bila sahaja buku dibuka untuk dibaca, dia akan terus membaca dan terus membaca sehinggalah ada gangguan yang memaksanya berhenti membaca. Walaupun kadang-kadang dia hanya sekadar ingin membelek buku yang dibacanya, tetapi akhirnya buku itu akan dihabiskan sehingga ke muka surat yang terakhir. Begitu juga ketika menaiki bas, tiada apa yang dirisaukannya sekiranya ada sebuah buku yang boleh dibaca. Sebuah buku yang kira-kira 200-300 muka surat boleh dinikmati sepanjang perjalanan dari Penang-Kuala Lumpur. Bagi saya, itu barulah dikatakan hobi membaca.

Pun begitu, saya percaya minat itu boleh dipupuk. Seseorang boleh melatih dirinya sendiri untuk meminati sesuatu. Menetapkan jumlah buku yang akan dibaca dalam seminggu dan memilih buku-buku yang agak menarik adalah antara usaha yang boleh dilakukan untuk memupuk budaya membaca. Jika masyarakat Jepun boleh melakukannya, kenapa tidak kita? Sebenarnya Islam adalah agama yang amat indah dan sempurna. Lihatlah bahawa wahyu pertama yang diturunkan adalah Iqra’ (bacalah). Seruan membaca itu adalah seruan pertama yang disebarkan kerana al-Qiraah (membaca) itu pintu segala ilmu dan ma’rifat. Firman Allah s.w.t. di dalam al-Quran:

اقْرَأْ بِاسْمِ رَبِّكَ الَّذِي خَلَقَ
Bacalah dengan nama TuhanMu yang menciptakan.

Kemunculan tamadun terawal dunia seperti pembinaan Tamadun Mesopotamia yang terletak di antara Sungai Tigris dan Euphrates sememangnya berdiri di atas pembinaan asas-asas ilmu yang kuat. Yang paling hebat, pembinaan Tamadun Islam yang unggul sehingga umat Islam berjaya menakluki 2/3 dunia satu ketika dahulu, semuanya berlandaskan kepada keimanan dan ketaqwaan kepada Allah s.w.t. Inilah asas ilmu yang perlu dihayati dan diterokai oleh umat Islam hari ini.

Saya masih ingat bahawa pernah pernah berlaku statistik yang menjelaskan kepada kita bahawa purata rakyat Malaysia membaca hanya satu muka surat dalam setahun. Tetapi saya tidak pasti statistik tahun berapakah yang saya catatkan di sini. Namun diharapkan, ada peningkatan terhadap statistik ini. Amat rugilah bagi masyarakat yang malas membaca. Jika masyarakat Jepun boleh membudayakan membaca dalam kehidupan, mengapa tidak kita? Saya juga perlu melakukan transformasi terhadap minat saya. Bukan bermakna mencari hobi yang lain, tetapi mencari jalan menjana minat yang saya katakana selama ini iaitu membaca.

Menyentuh sedikit tentang memupuk minat membaca di kalangan anak-anak kecil. Melentur buluh biarlah dari rebungnya. Sebagai ibu bapa, saya dan suami juga cuba menerapkan amalan membaca terhadap anak kecil kami Lubna. Kami merasa gembira apabila impian kami menjadi kenyataan. Usia seawal 1 tahun 7 bulan, Lubna sudah merasai kelazatan membaca. Begini ceritanya.


Ketika Lubna ralit melihat buku bacaannya tentang buah-buahan yang diberikan kepadanya, Lubna tiba-tiba menyebut: “Mama...gagung (jagung)” Kemudian, dia dia tersengih. Lalu diambilnya jagung itu (dengan gaya berlakon), lalu dimasukkan jagung itu ke dalam mulutnya: “Emmmmm…cedapnyee” Lubna menikmati kelazatan jagung itu. Ya, kini Lubna yang belum pun mencecah umur 2 tahun, tetapi sudah pun merasai kelazatan membaca seperti yang kami harapkan. :) Selamat membaca buat semua.



Free Template Blogger collection template Hot Deals BERITA_wongANteng SEO

Khamis, 22 Oktober 2009

Nostalgia Pulau Sayak

0 ulasan
Subhanallah. Damai dan tenang.


Sudah lama suami saya menyuarakan hajat mahu melihat mentari senja terbenam di ufuk barat. Saya tahu suami menunggu masa dan hari yang sesuai untuk membawa saya dan anak ke Pulau Sayak. Kekangan daripada saya yang masih berada dalam pantang menyebabkan hajatnya ditangguhkan seketika.

Petang semalam, perjalanan menelusuri sawah padi yang menghijau menyejukkan minda dan mata yang sekian lama keletihan. Setiap hari, saya sering menonton sketsa kehidupan yang sudah semakin jauh daripada norma-norma kesopanan dan kesusilaan. Jalan raya ibarat litar lumba F1. Menyelit di sana sini. Langsung tidak memikirkan keselamatan pengguna yang lain. Nyawa manusia semakin menyusut nilainya sedangkan agama mengangkat nilai nyawa setaraf dengan nilai akal dan agama. Semuanya berbalik kepada penghayatan agama. Manusia sudah lupa atau buat-buat lupa?

Kedamaian angin yang bertiup sepoi-sepoi bahasa petang itu sungguh menyamankan. Kami kini sudah berada jauh dari hiruk pikuk sebuah kota yang menghadapi masalah konflik jati diri dan budi. Pagi tadi saya gusar memikirkan nasib pelajar muslim hari ini. Kes disiplin pelajar di sekolah, amat membimbangkan. Saya masih ingat satu peristiwa pada minggu lepas. Seorang bapa menyerang guru di sekolah lantaran menegur anaknya yang mencukur kening dan mencuri duit guru. Pelik! Sesuatu yang agak terbalik, bukan? Bercelaru semuanya. Guru pula yang diherdik. Ah, lupakan buat sementara! Minda ini mahu beristirehat.

Petang itu kami ke Pulau Sayak. Sambil melihat keagungan kuasa Tuhan dalam mengatur sistem pertukaran siang dan malam, dapat jugalah suami saya menikmati sepinggan mee udang Pulau Sayak. Udangnya besar-besar dan segar. Saya pula masih belum berani menyentuh mee. Mengikut petua orang-orang tua di utara, pantang mee sehinggalah membawa kandungan yang seterusnya. Bagi saya tidak salah mengikut petua ini kerana demi kebaikan diri saya juga. Seandainya sakit, saya jualah yang akan menanggungnya.


Jam 6.50 petang, cahaya mentari berselerakan di kaki langit. Subhanallah. Sungguh indah..Inilah bukti adanya Tuhan! Saya merasa pelik apabila ada akal yang dapat menerima bahawa segala perjalanan ini berjalan dan berlaku dengan sendirinya. Pasti akan berlaku perlanggaran yang dahsyat sehingga membawa kemusnahan dari awal lagi. Tetapi tahukah kita bahawa sistem cakarewala ini telah hidup berbilion-bilon tahun lamanya. Malah bergerak melalui satu perjalan yang cukup teratur dan tersusun. Dalam surah Yaasin ayat 40 disebut bahawa:

"(Dengan ketentuan yang diberikan oleh Allah) Matahari tidak mudah baginya mengejar bulan dan malam pula tidak dapat mendahului siang kerana tiap-tiap satunya beredar terapung-apung di tempat edarannya masing-masing.”

Malah sungguh mengasyikkan apabila direnungi dan dikaji dengan lebih mendalam. Umat Islam terdahulu seperti al-Biruni, al-Farabi, al-Khawarizmi dan al-Kindi adalah antara golongan ulul albab yang amat dikagumi. Mereka memerhati, mengkaji dan mengaitkan semuanya dengan kekuasaan Tuhan. Nah, akhirnya iman di hati bertambah dan mereka semakin tunduk dan tawadhu’ kepada Yang Esa.

Saya memerhatikan sekumpulan burung-burung berterbangan di udara menuju ke sarang masing-masing. Mereka memahami seruan alam. Siang mencari rezeki, sedangkan malam adalah waktu beristirehat dan bermunajat. Fitrah alam itu sesuatu yang indah. Namun, kini ramai manusia yang menongkah arusnya. Bagi mereka, malam adalah pesta yang perlu diraikan. Merempit, berdisko, melanggan perempuan murahan menjadi sesuatu yang tidak lagi jelik. Malah amat menyedihkan apabila ada segelintir manusia yang merasa bangga dengan melanggar hukum dan perintah Allah tanpa mengambil kira dosa dan pahala. Mereka lupa akan kehidupan di alam sana.

Suara kecil anak kecil saya Lubna menyedarkan saya yang kian jauh mengelamun. “Mama..cantiknya!” jerit Lubna. Lubna teruja dengan bunyi desiran air laut yang memukul lembut pinggiran pantai. Lubna berlari gembira menuju ke gigi air. Saya dan suami tahu, Lubna mahu bermain dengan air. Kami membiarkan Lubna dengan pengawasan dalam jarak yang dekat. Sekali ombak menghempas pantai, Lubna menjerit lagi sambil berlari, “Takutnya..!” Dia memegang erat babanya. Walaupun baru berusia 1 tahun 7 bulan, setiap sebutan yang keluar dari mulut kecilnya itu, saya kagumi. Jelas dan difahami.

Saya gembira melihat kepuasan di wajah suami yang dapat melihat dan merasai suasana senja di Pulau Sayak. Katanya, di situlah nostalgia pahit manisnya sewaktu kanak-kanak membantu ayah mencari rezeki di perairan itu demi sesuap nasi. Di situlah sesekali apabila menahan bubu anak ikan kerapu, hasilnya dijual kepada penternak ikan dalam sangkar di muara Sungai Merbok. Itulah antara hasil yang agak lumayan untuk membeli keperluan harian dan menanggung persekolahan anak-anak ayah. Hanya mereka yang melaluinya sahaja yang merasai keperitan dan kesusahan yang berputar di atas roda kehidupan. Semuanya menjadi pengalaman hidup yang kini menjadi lipatan sejarah kehidupan yang tidak ternilai harganya.


Free Template Blogger collection template Hot Deals BERITA_wongANteng SEO

Rabu, 21 Oktober 2009

Kembali Membuka Lembaran Baru

0 ulasan
Saya kadang-kadang berinteraksi dengan minda saya sendiri. Mencari kata-kata, menyusun ayat-ayat untuk dilakarkan di atas selembar kertas. Berselerakan di kepala saya idea-idea yang saya ciptakan sendiri berdasarkan pengamatan, mahupun pengalaman yang pernah saya lalui. Semuanya saya ingin adunkan menjadi satu hasil yang boleh dilihat dengan mata kasar ini. Tetapi semuanya kosong! Ibarat imaginasi di alam fantasi. Saya tidak mendapat sebarang hasil kerana saya tidak melakukan apa-apa. Bila sahaja tangan ini ‘gatal’ untuk memulakan ‘lakaran’ kata, saya akan berperang dengan hati dan perasaan sendiri. Boleh ke? Perlu ke? Siapa nak baca? Betul ke?..dan pelbagai lagi hasutan dan rungutan dari suara batin ini menjerit. “Hentikan.!!!!” Akhirnya saya terus memilih untuk tidak berbuat apa-apa.

Oleh sebab itulah, pena ini sudah lama tidak menari riang di lembaran kehidupan. Tempoh menyepi adalah satu tempoh kegelapan. Barangkali dakwat pena yang pernah saya miliki pun sudah kering. Pena pun entah ke mana menghilang. Saya kini meraba-raba mencari sekeping hati yang kuat dan tidak mengenal erti jemu dan putus asa. Saya perlu memulakan langkah yang baru. Seperti seorang bayi yang baru mengenali alam ini. Begitulah diri saya, terpaksa belajar untuk meniarap, merangkak, bertatih untuk berjalan dan diharapkan dapat berlari semula bersama teman-teman seangkatan. Tidaklah mengharapkan menjadi yang terbaik, sekurang-kurangnya dapat merasai keseronokan dan kepuasan yang pernah dirasai suatu ketika dahulu.

Kini, saya menggambarkan satu medan yang sangat luas perlu saya terokai. Memerlukan kesabaran yang bukan sedikit. Kenapa tidak saya menggambarkan medan Mu’tah yang pernah saya lewati suatu ketika dahulu di bumi Syam sebagai gambaran keluasan yang tidak berpenghujung. Penuh keunikan dan kehebatan yang perlu diterokai sendiri. Keunggulan Zaid bin Harithah sebagai panglima angkatan Islam, keberanian Jaafar bin Abi Thalib menentang musuhnya, dan keunggulan Abdullah bin Rawaahah memimpin pasukannya. Itu semua perlu saya renungi.

Panggilan hati untuk membina blog adalah antara usaha awal yang menarik saya untuk berlatih meniarap di alam penulisan ini. Semoga jari-jari ini akan berupaya menyusun ayat-ayat ringkas bagi memanaskan kesejukan yang sekian lama menyengat jari-jari ini. Seumpama ‘krem’ di musim syitaa’.

Dan kelmarin, setelah sekian lama mengimpikan sebuah laptop, Allah s.w.t mengabulkan impian saya. Biarpun hanya sebuah laptop kecil yang bisu, ianya cukup bermakna buat diri saya setelah hampir 4 tahun laptop di alam pengajian ‘mati’ ditelan zaman. Kali ini, saya mahu menjadikan ia sebagai bahan pembakar kepada bara kelesuan yang mencengkam diri saya selama ini. Sebelum ini, saya sering ‘mengganggu’ laptop suami walaupun saya tahu suami saya memang tidak pernah menghampakan saya. Buat suami tercinta, terima kasih di atas semangat yang ditiupkan dan memahami diri ini. Terima kasih juga dipanjatkan ke hadrat Ilahi kerana di alam inilah, kita ditemukan dan disatukan.:)



Free Template Blogger collection template Hot Deals BERITA_wongANteng SEO