Jumaat, 13 November 2009

Anak Mama Main Bedak

2 ulasan
Ini bukan iklan bedak Shurah. Tapi ada kisah di sebalik bedak ini...:)



Aha, mama jumpa tapak kaki yang penuh dengan bedak..



Oh, rupanya ada si kecil tengah buat kerja..rajin betul. :)




Hai sayang! Sayang nak tolong mama wangikan rumah kita yer..


"Mama..Na nak tu." Lubna merengek sambil meminta saya mengambil bedak yang saya telah simpan.
"Sayang tak bolehlah main dengan bedak tu. Nanti lantai licin, jatuh.." Saya memujuk Lubna.


Lihatlah, Lubna dah mula memprotes dengan cara menangis bila saya tidak menunaikan hajatnya. "Alahai sayang..janganlah macam ni." Saya cuba mencari alternatif lain untuk mengalihkan perhatiannya.



Saya terpaksa mengalah. Terpaksa jugalah saya on kan komputer untuk Lubna. Suka sangat bila dapat main keyboard dan tengok gambar baby dalam komputer tu. Gambar Lubna masa kecillah tu. Sekurang-kurangnya saya dapat menyelesaikan masalah Lubna nak main dengan bedak.
SEKADAR TIPS UNTUK DIKONGSI BERSAMA

Ibu bapa yang mempunyai anak-anak berumur 1-5 tahun biasanya akan berhadapan dengan kerenah anak yang mula buat hal sekiranya hajat mereka tidak dipenuhi. Memandangkan kanak-kanak di usia ini masih belum berupaya menyatakan secara lisan kepada ibu bapa, cara yang mereka gunakan adalah dengan menangis dan mengamuk untuk mengekspresikan apa yang terbuku di hati mereka. Ibu bapa perlu menyedari bahawa inilah komunikasi anak-anak yang perlu difahami dalam proses perkembangan mereka.

Sebagai ibu bapa, jangan sampai kita terpengaruh dengan kerenah ini. Menuruti semua hajat mereka tanpa batas akan membuatkan anak-anak terus menggunakan cara yang sama iaitu dengan menangis dan mengamuk untuk mendapatkan sesuatu. Mereka akan lebih kerap memancing ibu bapa mereka dengan cara ini untuk menyelesaikan masalah mereka. Jadilah ibu bapa yang bijaksana. Gunakan pendekatan mengalihkan tumpuan mereka terhadap sesuatu yang lebih menarik. Sebagai ibu bapa, kita lebih tahu akan kecenderungan anak-anak. Buku bergambar, komputer dan melihat haiwan-haiwan yang berada di sekeliling rumah adalah antara teknik yang boleh digunakan.

Sekadar berkongsi tips berhadapan dengan kerenah anak-anak. Semoga anak-anak membesar dalam didikan yang sempurna. Insya Allah.

*Anak-anak adalah anugerah dan amanah. :)



Free Template Blogger collection template Hot Deals BERITA_wongANteng SEO

Tugasan Terakhir Sebelum Cuti

1 ulasan

Buku-buku teks seharusnya dijaga dengan baik.


Pemberian secara percuma kadang-kadangkala membuatkan mereka tidak menghargainya.

Saya menanti hari-hari persekolahan tahun 2009 berakhir. Bukan bererti saya sudah jemu berhadapan dengan tugasan di tempat kerja, tetapi menanti masa dan kesempatan yang panjang untuk saya memulakan 'PROJEK PERKEMBANGAN ILMU' yang telah saya aturkan sekian lama. Projek terbengkalai? Tidak...kerana belum pun bermula. Mungkin 'projek beku' kerana belum pun berjaya dimulakan. Belum tiba masa yang sesuai barangkali. Mudah-mudahan akan berjaya dilaksanakan sepanjang cuti sekolah nanti.

Tugasan terpenting sedang saya uruskan di sekolah sekarang adalah BUKU TEKS. Sebelum berakhir sesi persekolahan, urusan ini perlu diselesaikan. Jadi guru kanan buku teks ni, sememangnya bergelumang dengan buku-buku. Saya minat buku. Tetapi, yang agak pening sikit apabila kali ini terpaksa mengadap buku-buku yang 'sakit' dan 'uzur'. Buku free. Jadi, ramai yang ambil mudah. Maka terjadilah kes buku rosak, buku hilang, buku diconteng, buku terburai..isyh..isyh.. kesian pelajar yang akan mewarisi buku-buku ini.

Satu lagi, terpaksa berhadapan dengan karenah ibu bapa yang datang merayu untuk menggantikan buku-buku anak-anak yang hilang dengan wang tunai. Katanya buku di kedai buku sudah kehabisan stok. Tahun ini, saya sudah berbincang dengan pihak pengurusan sekolah untuk tidak menerima wang tunai sebagai ganti. Buku yang hilang perlu diganti dengan buku yang sama. Susah senang mencari buku-buku sebagai ganti akan mengajar mereka untuk menjaga buku-buku pelajaran dengan baik. Pengalaman di awal tahun 2009 memberikan saya idea untuk menyelesaikan masalah pelajar yang memandang remeh dengan cara penjagaan buku. Tahun hadapan saya tidak lagi mahu ke sana ke mari lantaran sikap pelajar yang sengaja tidak mahu menghargai pemberian untuk kemudahan pembelajaran mereka. Saya masih ingat bagaimana susahnya mencari stok buku-buku di sekolah-sekolah lain, di stor spbt daerah dan di kedai-kedai buku. Pernah sehingga ke luar negeri. (Kedah.. hehehe.)

Sekadar melakarkan catatan pengalaman untuk dikongsi bersama..terutamanya para guru. Mereka lebih memahaminya. ;)


Free Template Blogger collection template Hot Deals BERITA_wongANteng SEO

Khamis, 12 November 2009

Try And Arrow

1 ulasan
Sejak dari awal perkahwinan saya, saya memegang prinsip agar tugasan di tempat kerja tidak dibawa pulang ke rumah. Bagi saya, waktu di rumah adalah waktu yang amat berharga bersama keluarga. Setiap detik berlalu, adalah kebahagiaan dan ketenangan.

Fikiran juga begitu. Di tempat kerja, memikirkan pelbagai cara dan uslub terbaik mendidik generasi Islam di masa hadapan. Tetapi, sebaik sahaja kaki melangkah pulang, saya perlu meminggirkan seketika semuanya untuk memberi laluan kepada urusan rumah tangga. Membina Villa Jannah dalam rumah tangga bukan sesuatu yang mudah. Suami Isteri perlu bergandingan mengekalkan kebahagian yang dikecapi.

Pengajaran
Ntah mengapa hari itu emosi saya kurang stabil. Kecelaruan fikiran ketika di tempat kerja terbawa-bawa hingga ke rumah. Otak ligat berpusing memikirkan pelbagai cara menyelesaikan masalah yang timbul dalam pengurusan di sekolah. Macam-macam yang berlaku.

Hari itu juga, Lubna semakin aktif. Saya terlupa bahawa perkembangan seorang kanak-kanak 1 tahun 7 bulan sememangnya mempunyai sikap ingin tahu yang tinggi . Setiap hari Lubna sentiasa mencuba perkara yang baru. Satu lagi sikap anak-anak di usia ini, mereka semakin berdikari. Semuanya mahu dilakukan sendiri. Bermula daripada makan, minum, pakai kasut, memberus gigi, memakai baju dan sebagainya. Sebut sahaja makan sendiri, sebagai ibu-ibu pasti terbayang bagaimanakah keadaan itu. Makanan yang dimakan banyak bertaburan daripada yang masuk ke dalam mulut. Begitu juga dengan minum di dalam cawan orang dewasa, banyak yang tumpah daripada yang diminum. Hari itu, akibat emosi yang tidak dikawal, saya memarahi Lubna hanya kerana dia menangis ketika dimandikan.
"Mama, cejuk. Takut ayaq!" Kata Lubna sambil meronta-ronta tidak mahu dimandikan.

Bila tiba masa memakai pampers, Lubna sekali lagi tidak mahu dipakaikan. Dia meronta-ronta agar dilepaskan. Kemudian, Lubna mengambil satu persatu pampers lalu dikeluarkan dari tempatnya. Tanpa sedar, saya hilang kesabaran sehingga meninggikan suara memarahi Lubna. Lubna terpaku. "Baba..." Katanya dalam keadaan keliru. Lubna terus berlari ke arah babanya.


Baru saya sedar, Lubna terkejut sebenarnya. Cepat-cepat saya mendapatkannya dan mendakap Lubna lalu memujuknya. Lubna seperti biasa akan memasukkan ibu jari tangannya ke dalam mulutnya. Kesian betul anak mama hari ini. Saya menciumnya.
"Mama sayangkan Lubna." Bisik hati kecil ini.

Insident itu berlalu tanpa saya menyedari kesilapan yang telah saya lakukan sehinggalah suami tersayang membuka kembali kisahnya. Nasihatnya agar banyakkan bersabar. Marahkan anak tidak salah. Tetapi, jangan sampai menjadikan mereka keliru. Antara marah dan sayang, jangan sampai tercalit rasa takut sekaligus menanamkan rasa inferiority complex dalam hidup mereka. Lebih mendukacitakan lagi seandainya selepas ini, Lubna akan memarahi mama dan babanya dengan nada yang sama kerana padanya itu adalah perkara yang tidak salah.



Bila bermain, Lubna akan keluarkan semua 'kawan-kawan' yang di susun di atas rak. Berselerak semuanya. Lubna tahu tak, penat mama kemas sebelum Lubna bangun pagi tadi.



Sayang nak buat apa pulak ni? Ooo..nak tolong mama lipat baju yea.



Aik, ni nak buat apa pulak?




Berehat sebentar setelah penat bermain. Seperti biasa, macam nilah Lubna.



Kesimpulannya

Selepas insident itu, saya ada melakukan sedikit kajian ringkas tentang cara yang baik membentuk dan mendidik anak-anak ketika menghadapi situasi yang saya alami dua tiga hari yang lepas. Antara kesimpulan yang dapat saya lakukan adalah sebagaimana berikut:


1. Sebagai ibu bapa, hulurkan bantuan kepada anak-anak yang sedang berusaha untuk 'berdikari'. Bantulah anak-anak kerana itulah antara cara ibu bapa boleh menunjukkan kasih sayang kepada anak-anak.


2. Puji juga usaha anak-anak yang melakukan sesuatu secara berdikari, walaupun hakikatnya mereka tidak dapat menyempurnakan 'tugas' itu dengan sempurna. Pujian akan meningkatkan motivasi anak-anak untuk menghadapi hari-hari kehidupannya.


3. Semakin anak-anak dapat menguruskan sesuatu perkara dengan baik, mereka akan merasakan harga diri mereka semakin bertambah, dan menjadikan mereka sebagai anak-anak yang ceria dan gembira.


4. Berdoalah agar Allah sering memelihara dan melindungi anak-anak kita.

*Anak-anak adalah anugerah dan amanah. :)




Free Template Blogger collection template Hot Deals BERITA_wongANteng SEO

Rabu, 11 November 2009

Kuantiti vs Kualiti

0 ulasan


Menukilkan kata-kata Imam Hassan Al-Banna di dalam wasiatnya:

Kewajipan kita lebih banyak daripada waktu yang ada.

Di hari-hari terakhir sesi persekolahan tahun ini, barulah kata-kata ini kembali diingatan. Pun begitu, saya bukanlah menyalahkan MASA, kerana masa akan terus berjalan sebagaimana yang diaturkan. 24 sehari semalam! Tiada masa tambahan sebagaimana masa tambahan yang diperuntukkan dalam perlawanan bola sepak.

Dalam hal ini, bolehlah dimaksudkan dengan time management. Lihatlah, list tugasan yang semakin memanjang. Bagaimana mahu menguruskannya? Ikut priority..ikut siapa yang mahu cepat.. ikut mana yang mudah.. ikut suka hati lah..
1. Markah PKSR murid
2. Analisa keputusan peperiksaan kertas bahasa arab
3. Laporan ketua panitia
4. Laporan guru penasihat kelab/persatuan
5. SKT
6. Perancangan Strategik Kurikulum/Kokurikukulum
7. Head Count matapelajaran Bahasa Arab
8. Pengurusan pemulangan dan pembahagian buku teks murid
9. Menyiapkan brochure sambutan hari kanak-kanak peringkat sekolah
10.Persiapan bagi majlis menyambut pasangan wedding of the year di sekolah...dll.
Semuanya harus diselesaikan sebelum sesi persekolahan tamat. Hanya tinggal lebih kurang seminggu sahaja lagi. Sesekali, saya merasakan semua ini tidak adil! Namun menyedari bahawa tujuan kelahiran ini adalah sebagai khalifahNya, cepat-cepat beristighfar. Inilah antara cabaran yang harus disahut. Ayuh, laksanakan dengan sebaiknya. Percayalah, apa yang dinilai olehNya bukanlah berdasarkan kuantitinya, tetapi kualitinya. Dengan kata lain, hadirkan IKHLAS di dalam hati. :)

*Menulis merehatkan fikiran..meringankan beban.



Free Template Blogger collection template Hot Deals BERITA_wongANteng SEO

Sabtu, 7 November 2009

Pilihlah Jalan Mana Yang Mahu Diikuti

0 ulasan
Dunia saya setiap hari adalah alam rumah tangga dan sekolah. Mahu tidak mahu, saya perlu berhadapan dengan tanggungjawab ini. Inilah taklifan yang perlu saya tunaikan dengan sebaiknya. Bergelar isteri semestinya merupakan satu amanah yang besar buat saya. Alam rumah tangga mematangkan dan mendewasakan saya. Perubahan ‘alam’ dan perbezaan ‘budaya’ masyarakat sekeliling mengajar saya akan warna-warna kehidupan yang perlu dilalui. Sebenarnya cukup indah!

Manakala, di sekolah tugasan menyampaikan ilmu dan mendidik insane bukan hanya berlegar di kalangan pelajar, malah juga melibatkan masyarakat warga sekolah. Mereka sering menjadikan guru-guru agama sebagai rujukan dalam hal yang kurang pasti. Seorang pembantu tadbir pernah meminta pandangan untuk menamakan cucunya yang baru lahir. Pernah juga saya ditanya tentang procedure mahkamah tentang urusan rumah tangga yang bergolak. Malah, sepanjang Ramadhan baru-baru ini, ramai juga guru-guru yang mengutarakan persoalan tentang hukum tajwid untuk memastikan bacaan al-Quran betul dan sempurna.

Bagi guru-guru perempuan pula, persoalan fiqh wanita sering dilontarkann untuk mendapatkan penjelasan. Sekiranya saya mempunyai jawapan yang pasti, saya akan menerangkan kepada mereka. Tetapi seandainya sebaliknya, saya akan KIV kan jawapan untuk kembali merujuk kepada mereka yang pakar dalam hal berkenaan atau merujuk kitab-kitab fiqh yang muktabar. Terkini, setelah peristiwa Dr. Asri ditahan, timbul pula persoalan tentang mazhab.
Seorang guru bertanya: “Ustazah, mazhab tu apa sebenarnya?”

Sebenarnya mazhab itu bukan agama. Ramai yang salah faham apabila membicarakan soal mazhab. Mazhab sebenarnya aliran pemahaman dan ijtihad. Majoriti umat Islam hari ini hanya mengenali 4 mazhab iaitu Mazhab Imam Abu Hanifah, Imam Malik, Imam Syafie, Imam Ahmad bin Hanbal.

Begini kisahnya tentang kemunculan mazhab dalam dunia Islam ini. Saya ceritakan secara ringkas. Di zaman Baginda Rasulullah s.a.w, semua urusan diselesaikan oleh Baginda s.a.w. Sebarang permasalahan para Sahabat r.hu diselesaikan oleh Baginda s.a.w melalui wahyu secara langsung dari Allah s.w.t. Walaupun begitu, setelah kewafatan Baginda s.a.w, semua permasalah diambil alih oleh para Sahabat yang diiktiraf oleh Baginda s.a.w. Nabi s.a.w pernah bersabda yang bermaksud: “Sahabatku adalah seperti bintang”. Mereka turut mengikut jejak Baginda s.a.w berpandukan kepada nas-nas al-Quran dan kaedah-kaedah yang telah diperakui oleh Baginda s.a.w ketika hidup. Bukti yang memperakui bahawa Sahabat-sahabat adalah orang yang menjejaki sunnahnya, Baginda Rasulullah s.a.w pernah menyoal sahabat baginda Muaz bin Jabal yang akan diutuskan ke negeri Yaman sebagai pendakwah dan juga sebagai Qadi. Sabdanya yang bermaksud :

“Wahai Muaz, bagaimana engkau menyelesaikan sesuatu masalah, jika engkau ditanya orang?”. Jawab Muaz “Aku akan menghukum dengan hukuman yang didapati dalam al-Quran.” Tanya Rasulullah SAW lagi, “jka tidak ada hukum dalam al-Quran?” Muaz menjawab, “Aku akan berpandukan dengan sunnah Rasulullah SAW (Al-Hadith).” Kemudian Rasulullah SAW bertanya lagi, “ Jika sekiranya tidak terdapat dalam hadith?”. Jawabnya “Aku akan berijtihad”. Kemudain Rasulullah SAW menepuk-nepuk dada Muaz sambil bersabda “Segala puji bagi Allah SWT yang telah memberikan petunjuk kepada utusan Rasulullah SAW (Muaz) dengan perkara yang diredhai oleh Allah SWT dan Rasulnya.”
(Riwayat Imam Ahmad & Tirmizi)

Setelah berlalunya zaman para Sahabat, maka muncullah permasalah yang baru yang tidak dijumpai pada zaman Rasulullah s.a.w dan para sahabat tentang permasalahan fiqh. Maka, ulama’-ulama’ di zaman itu mula mengeluarkan ijtihad perseorangan masing-masing (dengan kelayakan sebagai alim ulama’). Maka di situlah bermulanya aliran mazhab yang lahir daripada ijtihad dan pendapat perseorangan daripada ulama’-ulama’ tersohor.

Namun, mazhab-mazhab berkenaan akhirnya ada yang lenyap akibat pelbagai faktor yang tidak menyokong seperti tidak dikumpulkan dan hilang ditelan zaman. Pun begitu, masih ada mazhab-mazhab yang masih hidup dan bertahan sehingga ke hari ini seperti Mazhab Imam Abu Hanifah, Imam Malik, Imam Syafie, Imam Ahmad bin Hanbal. Menurut (Thaha Jabir Fayyadh Al-‘Alnawi), semenjak kurun keempat hijrah, terhentilah ijtihad dan tempatnya digantikan dengan taqlid yang tersebar luas. Umat Islam mula semakin hilang cahaya ilmu dan perkembangan ilmu secara sihat. Malah ada yang mula beranggapan bahawa berpegang kepada mazhab yang satu itu adalah suatu kewajipan tanpa memberi sedikit pun ruang perbincangan meluaskan ilmu-ilmu Allah yang terlalu luas berdasarkan kepada nas-nas yang dibenarkan untuk berijtihad.

Lebih mendukacitakan lagi apabila munculnya golongan yang membincangkan soal mazhab, masyarakat memandang serong terhadap pendapat yang pada mereka amat janggal dan pelik sedang mereka amat cetek tentang ilmu ijtihad dan hukum Islam. Namun, sebagai umat Islam yang tidak mempunyai kelayakan berijtihad, kita digalakkan berpegang kepada mazhab yang satu agar tidak tersasar dari landasan kebenaran Islam. Namun, pegangan itu dianggap fleksibel seandainya terdapat nas-nas yang lebih kuat dan mantap untuk diikuti. Satu Ucapan Imam Syafie (iaitu pengasas mazhab syafi’e) yang cukup popular iaitu:
“Apabila kamu menemui dalam kitabku sesuatu yang berlainan atau berlawanan dengan hadis Rasulullah SAW, peganglah hadis baginda dan tinggalkan pendapatku itu,” Ini jelas bermakna bahawa pandangan itu akan berubah-ubah seandainya ada nas yang lebih kuat.

Begitulah indahnya Islam. Tidak membelenggu ummatnya. Malah mengamalkan keterbukaan yang dipandu dengan nilai-nilai al-Quran dan as-Sunnah. Seandainya dipatuhi, Islam akan terus berkembang dan menuju ke puncaknya. Namun, seandainya ditolak, manusia akan menuju kehancuran. Pilihlah jalan mana yang mahu diikuti. Wallahua’lam.


Free Template Blogger collection template Hot Deals BERITA_wongANteng SEO

Khamis, 5 November 2009

Melentur Buluh Biar Dari Rebungnya

2 ulasan
Post menarik seorang kanak-kanak perempuan yang mahu solat berjamaah. Bagusnye..Tapi ada yang tak kena ni... CUBA TEKA ;)


Inilah kanak-kanak perempuan yang dimaksudkan tu. Hai..ni nak ikut imam ke tak? Tengok..Tok Wan ngan Pak Tam, duduk tahiyyat, LUBNA?


Ooo..ikut imam rupanya. Tapi betul ke makmum perempuan duk sebelah tok wan? :)



Free Template Blogger collection template Hot Deals BERITA_wongANteng SEO

Isnin, 2 November 2009

Nostalgia Ayam

3 ulasan

“Mama…”
“Aha, Lubna…dah balik pun.”
“Alammm..” Lubna menghulurkan tangan mahu bersalam.
Saya menyambutnya. “Solehah betul anak mama ni.”
Suami saya yang mengambil Lubna hari ini. Hampir dua minggu suami saya mengambil alih tugasan saya. Menghantar dan mengambil Lubna ke rumah pengasuhnya.
“Ada berita baik!” Suami saya berkata dengan senyum yang lebar.
Itulah ayat yang membuatkan saya berasa begitu teruja.
“Ada apa abang?” Tanya saya.
“Ayam dah mati.”
“Hahh?” Terbeliak mata saya mendengar berita itu.
Saya tersenyum.
“Selamat.. “Itulah kata-kata yang terkeluar dari mulut saya.
“Kenapa? Bila mati?” Saya bertanya lagi, mahu mengetahui lebih lanjut.
“Tuan Haji kata mungkin termakan racun. Mati kelmarin.” Suami menjelaskan.
“Oooo…”

Tiba-tiba, rasa gembira dan sedih tiba-tiba berbaur.
Gembira kerana saya tidak lagi dibelenggu rasa takutkan ayam itu.
Manakan tidak, ayam itulah yang selalu menghambat saya apabila saya melalui kawasan rumah Tuan Haji menghantar anak ke rumah pengasuh. Tidak pernah saya mengganggu ayam itu, tetapi pantang ayam itu melihat saya. Dari jauh lagi, ayam itu akan ‘berlari’ untuk menyerang. Apa salahku..Lubna pula, setiap kali saya mendukungnya melalui kawasan itu, dia akan memeluk saya dengan erat.
“Takut ayam…” Katanya dengan penuh rasa cemas.

Sedih juga kerana baru kelmarin saya nampak ayam itu di hadapan rumah. Tetiba dah mati. Tuan haji tu pun tahu saya dah lama tidak melewati rumahnya kerana takut diserang ayam. Bimbang juga saya kalau-kalau kematian ayam itu difikirkan kerana saya yang meracuni ayam itu. Saya tak bersalah, kenapa rasa takut? Saya memujuk hati yang mula membuat pelbagai andaian.

Lubna pula hari ini, walaupun ayam dah mati, dia tetap hilang keyakinan untuk bersama saya ke rumah pengasuhnya. Lubna tetap mahu didukung babanya kerana berasa lebih selamat dan yakin. Saya terpaksa mengambil inisiatif memulihkan keyakinan Lubna selepas ini.

Kenangan bersama ayam jantan Tuan Haji pasti menjadi nostalgia indah di dalam hidup saya sepanjang membesarkan Lubna. Kami pernah sama menjerit meminta pertolongan. Dipatuk beberapa kali di kaki. Ketika itu saya mendukung Lubna. Dua-dua menjerit. Kebetulan suami saya masuk ke dalam rumah. Terkejut juga apabila mendengar Lubna menjerit kuat memanggil Baba. Alhamdulillah, suami saya datang membantu menghalau ayam yang pening itu.

Sebenarnya, Allah menciptakan ayam jantan dengan kewajipannya di Subuh hari mengejutkan insan-insan yang masih berselimut. Terlalu ramai manusia yang lena dibuai mimpi sehingga matahari terbit di ufuk timur. Syaitan membelenggu mereka. Subuh entah ke mana… Lena lebih diutamakan daripada menunaikan kewajipan kepada Allah s.w.t. Pagi ini, saya tidak lagi terjaga kerana mendengar kokokan ayam Tuan Haji kerana ayam itu sudah mati. Moga Tuan akan membela ayam yang soleh untuk kembali berkhidmat untuk kami semua. :)



Free Template Blogger collection template Hot Deals BERITA_wongANteng SEO