Isnin, 23 November 2009

Iktibar Untuk Si Kecilku :)

1 ulasan
Hari ini, ada perkembangan yang baik dengan Lubna. Dia semakin kurang menyakat sepupunya Rushda. Hari ini, ada aktiviti lain yang lebih menarik minat Lubna. Ada sesuatu yang dicarinya dari atas rak baju di rumah. Sejak pagi lagi, Lubna bertanya macam-macam tentang barang-barang yang di susun di atas rak berkenaan.
"Mama..tu kakak." Sambil tangannya menunjuk ke arah gambar Kak Ulin yang berada di atas rak itu.
"Mama.. bedak kakak." Kata Lubna dengan patah kata yang masih pelat.
"Mama.. bat dik Da (ubat adik Rushda). " Lubna terus bercakap menerangkan sesuatu yang saya sudah tahu.
"Ya.. Lubna nak ubat tu yer. " Saja saya melayan kata-kata Lubna.
"Mama..Na nak loleng (conteng). " Kata Lubna lagi sambil tangannya menunjuk ke arah pencil warna di atas rak itu.
"Hancet mama (handset mama)". Lubna terus bercakap tanpa berhenti.
Terlintas di fikiran saya akan telatah Lubna hari ini. Mulut banyak. Em..ni mesti ada apa-apa ni.
Selepas beberapa ketika Lubna sering ke tempat rak itu. Tiba-tiba Lubna membuka laci bawah rak itu lalu memijak laci itu. Saya tahu, Lubna cuba mendapatkan barang-barang yang ada di atas rak itu. Mula-mula, langkah satu laci.
Kemudian, Lubna memanjat semakin tinggi. Saya melarangnya, tetapi tidak diendahkan. Tercapai juga hajat Lubna apabila pencil warna dapat diambilnya. Lalu, terus turun dan mula menconteng. Tanpa sedar, Lubna menconteng skrin kamera saya. Alahai Lubna...Sekali lagi Lubna cuba memanjat, saya menjaganya dari belakang agar tidak terjadi apa-apa yang tidak diingini. Kali ini lebih drastik. Tetapi, Lubna akhirnya turun tanpa disuruh. Jari kecilnya tersepit di celah-celah laci itu. Aha.. barulah Lubna tahu bahaya panjat rak itu. :) Lain kali jangan buat lagi yer.

Lihatlah, Lubna mula memanjat untuk mendapatkan barang-barang di atas raki baju. Laci bawah rak itu dibukanya.

Kali ini semakin berani, semakin tinggi Lubna memanjat. Barangkali inilah akibatnya baba yang mahu anak sulung lelaki. Dapat perempuan, tapi lasak macam lelaki :)


Free Template Blogger collection template Hot Deals BERITA_wongANteng SEO

Sabtu, 21 November 2009

Lubna Sakat Rushda..Kesian Rushda

0 ulasan
Semalam, hari pertama cuti sekolah saya lalui dengan penuh cabaran bersama Lubna. Pelbagai kerenah Lubna saya perlu hadapi dan layani. Pada mulanya bermain bersama sepupu-sepupunya (Ulin Nuha, Fudla dan Rushda) dengan baik. Main sama-sama, belajar sama-sama, menconteng sama-sama.. sehinggalah menangis pun sama-sama. Rupa-rupanya, Lubna ni suka menyakat Rushda. Dengan kata lain, suka kenakan Rushda. Tengah main elok-elok, tetiba dipukulnya Rushda yang berusia setahun 2 bulan itu. Kesian Rushda. Menangislah kerana sakit. Nasib baik ada Ulin yang memujuknya.

Macam ni lah anak mama.. membaca dan menulis sama-sama dengan kak Fudhla.

Ni dah letih ni... ni nak buat apa pulak lepas ni? Risau betul mama.

Pada malamnya, Rushda yang dihiaskan dengan sepit rambut di kepala, ditariknya Lubna. Lubna mengambil sepit rambut Rushda, lalu dibawa lari. Terkejut juga saya dan suami dengan insiden itu. Lebih mengejutkan bila Lubna menghampiri babanya lalu meminta babanya menyepit sepit rambut yang diambil itu ke rambutnya. Alahai Lubna..janganlah macam ni.

Sepanjang hari, Lubna bermain. Langsung tak tidur. Saya berikan susu, tepuk, pujuk dan macam-macam lagi saya lakukan untuk memujuknya tidur, Lubna langsung tak mahu. Malah semakin aktif bermain. Barangkali teruja dengan ‘kawan-kawan’ yang ramai.

Aha, satu lagi Lubna ni, suka tengok iklan di tv. Masalahnya suka tengok iklan je. Itu yang pening tu. Bila ada iklan scotts ke, iklan susu ke, iklan oligo coco ke, iklan syampoo ke, dan apa jua iklan… dia akan mengalihkan tumpuan ke situ. Tercegat di depan tv. Selesai iklan, mulalah merengek kerana iklan dah habis. Alahai Lubna..

Kesimpulan terhadap apa yang berlaku semalam masih belum ada penyelesaiannya. Saya masih dalam mencari jawapan. Namun, kesimpulan awal yang saya perolehi hasil daripada berfikir sendirian adalah sebagaimana berikut:

1. Anak-anak kecil juga dilahirkan dengan perasaan ingin bersaing dan cemburu. Lubna barangkali merasakan Rushda sebagai saingan. Oleh yang demikian, Lubna sentiasa kenakan Rushda. Jadi, langkah yang perlu diambil oleh saya sebagai mama, bagaimana yer?



(pandangan dan idea daripada sahabat-sahabat semua amatlah dialu-alukan :) )

2. Lubna teruja dengan kawan-kawan yang ramai. Sebelum ni Lubna berseorangan di rumah. Hanya mama dan baba teman bermain di rumah. Sesekali kami membawa juga Lubna ke playground. Itulah sebabnya kali ini Lubna bermain sampai tak mahu tidur. Biarkanlah buat sementara waktu. Saya rasa ini tidak salah.

3. Kanak-kanak sememangnya cenderung terhadap sesuatu yang menarik perhatian deria pendengaran dan penglihatan mereka. Iklan adalah sesuatu yang berbeza dengan film dan cerita-cerita yang lain. Saya perlu mencari alternative yg sesuai untuk memberikan pendidikan kepada Lubna melalui pendekatan ini. CD nasyid kanak-kanak, dan cd pembelajaran awal kanak-kanak melalui nyanyian mungkin boleh membantu.

Itu sahaja untuk pagi ini. Jumpa lagi nanti. :)


Free Template Blogger collection template Hot Deals BERITA_wongANteng SEO

Jumaat, 20 November 2009

Cuti Sekolah Bermula

3 ulasan
Hari ini cuaca di Kuala Perlis mendung. Suasana pagi begitu menyamankan. Baru kelmarin saya melalui hari-hari terakhir di tempat kerja. Hari ini, semuanya sudah berubah. Cuti sekolah bermula. Kebiasaannya, cuti sekolah inilah masanya untuk saya pulang ke kampung halaman di Gong Badak, Terengganu. Tapi tahun ini, saya mengambil keputusan berada di sisi suami yang perlu menghadiri kursus di UUM. Saya tahu, tempat isteri adalah di sisi suaminya. Lagipun, saya tahu bahawa telatah Lubna akan membuatkan suami tidak begitu tertekan dengan kursus yang dilalui sepanjang cuti sekolah ini. Bersabarlah abang, ini kursus terakhir kan? :) Kelmarin, usai solat Jumaat, kami mula berangkat ke Kuala Perlis ke rumah kakak ipar saya. Saya akan 'menyewa' di sini kerana jaraknya tidaklah berapa jauh ke UUM Sintok. Sementara suami berada di tempat kursus, saya perlu merancang untuk memanfaatkan cuti ini di sini. Inilah masa yang saya nanti-nantikan saban tahun.


Jam sudah menunjukkan pukul 9.00 pagi. Lubna masih lena diulit mimpi. Malam tadi banyak kali terjaga, mengigau barangkali. Malam tadi bermain sakan dengan sepupu-sepupunya. Maklumlah, hampir sebaya. Akhirnya ketika seronok bermain, Lubna memaksa mama membawanya masuk tidur. Lubna menarik rambut sepupunya Rushda yang baru berusia setahun 2 bulan. Kesian Rushda, jatuh terlentang. Bincut juga kepalanya. Nasib baiklah tidak menangis panjang. Lubna, Lubna.. ni mesti kes nak bergurau, tapi silap cara. Lain kali saya perlu mengawasinya sepanjang masa. Em, Suami barangkali sudah sampai di tempat kursus. Katanya kelas bermula jam 8.30. OK, Selamat Berkursus abang! :)


Free Template Blogger collection template Hot Deals BERITA_wongANteng SEO

Jumaat, 13 November 2009

Anak Mama Main Bedak

2 ulasan
Ini bukan iklan bedak Shurah. Tapi ada kisah di sebalik bedak ini...:)



Aha, mama jumpa tapak kaki yang penuh dengan bedak..



Oh, rupanya ada si kecil tengah buat kerja..rajin betul. :)




Hai sayang! Sayang nak tolong mama wangikan rumah kita yer..


"Mama..Na nak tu." Lubna merengek sambil meminta saya mengambil bedak yang saya telah simpan.
"Sayang tak bolehlah main dengan bedak tu. Nanti lantai licin, jatuh.." Saya memujuk Lubna.


Lihatlah, Lubna dah mula memprotes dengan cara menangis bila saya tidak menunaikan hajatnya. "Alahai sayang..janganlah macam ni." Saya cuba mencari alternatif lain untuk mengalihkan perhatiannya.



Saya terpaksa mengalah. Terpaksa jugalah saya on kan komputer untuk Lubna. Suka sangat bila dapat main keyboard dan tengok gambar baby dalam komputer tu. Gambar Lubna masa kecillah tu. Sekurang-kurangnya saya dapat menyelesaikan masalah Lubna nak main dengan bedak.
SEKADAR TIPS UNTUK DIKONGSI BERSAMA

Ibu bapa yang mempunyai anak-anak berumur 1-5 tahun biasanya akan berhadapan dengan kerenah anak yang mula buat hal sekiranya hajat mereka tidak dipenuhi. Memandangkan kanak-kanak di usia ini masih belum berupaya menyatakan secara lisan kepada ibu bapa, cara yang mereka gunakan adalah dengan menangis dan mengamuk untuk mengekspresikan apa yang terbuku di hati mereka. Ibu bapa perlu menyedari bahawa inilah komunikasi anak-anak yang perlu difahami dalam proses perkembangan mereka.

Sebagai ibu bapa, jangan sampai kita terpengaruh dengan kerenah ini. Menuruti semua hajat mereka tanpa batas akan membuatkan anak-anak terus menggunakan cara yang sama iaitu dengan menangis dan mengamuk untuk mendapatkan sesuatu. Mereka akan lebih kerap memancing ibu bapa mereka dengan cara ini untuk menyelesaikan masalah mereka. Jadilah ibu bapa yang bijaksana. Gunakan pendekatan mengalihkan tumpuan mereka terhadap sesuatu yang lebih menarik. Sebagai ibu bapa, kita lebih tahu akan kecenderungan anak-anak. Buku bergambar, komputer dan melihat haiwan-haiwan yang berada di sekeliling rumah adalah antara teknik yang boleh digunakan.

Sekadar berkongsi tips berhadapan dengan kerenah anak-anak. Semoga anak-anak membesar dalam didikan yang sempurna. Insya Allah.

*Anak-anak adalah anugerah dan amanah. :)



Free Template Blogger collection template Hot Deals BERITA_wongANteng SEO

Tugasan Terakhir Sebelum Cuti

1 ulasan

Buku-buku teks seharusnya dijaga dengan baik.


Pemberian secara percuma kadang-kadangkala membuatkan mereka tidak menghargainya.

Saya menanti hari-hari persekolahan tahun 2009 berakhir. Bukan bererti saya sudah jemu berhadapan dengan tugasan di tempat kerja, tetapi menanti masa dan kesempatan yang panjang untuk saya memulakan 'PROJEK PERKEMBANGAN ILMU' yang telah saya aturkan sekian lama. Projek terbengkalai? Tidak...kerana belum pun bermula. Mungkin 'projek beku' kerana belum pun berjaya dimulakan. Belum tiba masa yang sesuai barangkali. Mudah-mudahan akan berjaya dilaksanakan sepanjang cuti sekolah nanti.

Tugasan terpenting sedang saya uruskan di sekolah sekarang adalah BUKU TEKS. Sebelum berakhir sesi persekolahan, urusan ini perlu diselesaikan. Jadi guru kanan buku teks ni, sememangnya bergelumang dengan buku-buku. Saya minat buku. Tetapi, yang agak pening sikit apabila kali ini terpaksa mengadap buku-buku yang 'sakit' dan 'uzur'. Buku free. Jadi, ramai yang ambil mudah. Maka terjadilah kes buku rosak, buku hilang, buku diconteng, buku terburai..isyh..isyh.. kesian pelajar yang akan mewarisi buku-buku ini.

Satu lagi, terpaksa berhadapan dengan karenah ibu bapa yang datang merayu untuk menggantikan buku-buku anak-anak yang hilang dengan wang tunai. Katanya buku di kedai buku sudah kehabisan stok. Tahun ini, saya sudah berbincang dengan pihak pengurusan sekolah untuk tidak menerima wang tunai sebagai ganti. Buku yang hilang perlu diganti dengan buku yang sama. Susah senang mencari buku-buku sebagai ganti akan mengajar mereka untuk menjaga buku-buku pelajaran dengan baik. Pengalaman di awal tahun 2009 memberikan saya idea untuk menyelesaikan masalah pelajar yang memandang remeh dengan cara penjagaan buku. Tahun hadapan saya tidak lagi mahu ke sana ke mari lantaran sikap pelajar yang sengaja tidak mahu menghargai pemberian untuk kemudahan pembelajaran mereka. Saya masih ingat bagaimana susahnya mencari stok buku-buku di sekolah-sekolah lain, di stor spbt daerah dan di kedai-kedai buku. Pernah sehingga ke luar negeri. (Kedah.. hehehe.)

Sekadar melakarkan catatan pengalaman untuk dikongsi bersama..terutamanya para guru. Mereka lebih memahaminya. ;)


Free Template Blogger collection template Hot Deals BERITA_wongANteng SEO

Khamis, 12 November 2009

Try And Arrow

1 ulasan
Sejak dari awal perkahwinan saya, saya memegang prinsip agar tugasan di tempat kerja tidak dibawa pulang ke rumah. Bagi saya, waktu di rumah adalah waktu yang amat berharga bersama keluarga. Setiap detik berlalu, adalah kebahagiaan dan ketenangan.

Fikiran juga begitu. Di tempat kerja, memikirkan pelbagai cara dan uslub terbaik mendidik generasi Islam di masa hadapan. Tetapi, sebaik sahaja kaki melangkah pulang, saya perlu meminggirkan seketika semuanya untuk memberi laluan kepada urusan rumah tangga. Membina Villa Jannah dalam rumah tangga bukan sesuatu yang mudah. Suami Isteri perlu bergandingan mengekalkan kebahagian yang dikecapi.

Pengajaran
Ntah mengapa hari itu emosi saya kurang stabil. Kecelaruan fikiran ketika di tempat kerja terbawa-bawa hingga ke rumah. Otak ligat berpusing memikirkan pelbagai cara menyelesaikan masalah yang timbul dalam pengurusan di sekolah. Macam-macam yang berlaku.

Hari itu juga, Lubna semakin aktif. Saya terlupa bahawa perkembangan seorang kanak-kanak 1 tahun 7 bulan sememangnya mempunyai sikap ingin tahu yang tinggi . Setiap hari Lubna sentiasa mencuba perkara yang baru. Satu lagi sikap anak-anak di usia ini, mereka semakin berdikari. Semuanya mahu dilakukan sendiri. Bermula daripada makan, minum, pakai kasut, memberus gigi, memakai baju dan sebagainya. Sebut sahaja makan sendiri, sebagai ibu-ibu pasti terbayang bagaimanakah keadaan itu. Makanan yang dimakan banyak bertaburan daripada yang masuk ke dalam mulut. Begitu juga dengan minum di dalam cawan orang dewasa, banyak yang tumpah daripada yang diminum. Hari itu, akibat emosi yang tidak dikawal, saya memarahi Lubna hanya kerana dia menangis ketika dimandikan.
"Mama, cejuk. Takut ayaq!" Kata Lubna sambil meronta-ronta tidak mahu dimandikan.

Bila tiba masa memakai pampers, Lubna sekali lagi tidak mahu dipakaikan. Dia meronta-ronta agar dilepaskan. Kemudian, Lubna mengambil satu persatu pampers lalu dikeluarkan dari tempatnya. Tanpa sedar, saya hilang kesabaran sehingga meninggikan suara memarahi Lubna. Lubna terpaku. "Baba..." Katanya dalam keadaan keliru. Lubna terus berlari ke arah babanya.


Baru saya sedar, Lubna terkejut sebenarnya. Cepat-cepat saya mendapatkannya dan mendakap Lubna lalu memujuknya. Lubna seperti biasa akan memasukkan ibu jari tangannya ke dalam mulutnya. Kesian betul anak mama hari ini. Saya menciumnya.
"Mama sayangkan Lubna." Bisik hati kecil ini.

Insident itu berlalu tanpa saya menyedari kesilapan yang telah saya lakukan sehinggalah suami tersayang membuka kembali kisahnya. Nasihatnya agar banyakkan bersabar. Marahkan anak tidak salah. Tetapi, jangan sampai menjadikan mereka keliru. Antara marah dan sayang, jangan sampai tercalit rasa takut sekaligus menanamkan rasa inferiority complex dalam hidup mereka. Lebih mendukacitakan lagi seandainya selepas ini, Lubna akan memarahi mama dan babanya dengan nada yang sama kerana padanya itu adalah perkara yang tidak salah.



Bila bermain, Lubna akan keluarkan semua 'kawan-kawan' yang di susun di atas rak. Berselerak semuanya. Lubna tahu tak, penat mama kemas sebelum Lubna bangun pagi tadi.



Sayang nak buat apa pulak ni? Ooo..nak tolong mama lipat baju yea.



Aik, ni nak buat apa pulak?




Berehat sebentar setelah penat bermain. Seperti biasa, macam nilah Lubna.



Kesimpulannya

Selepas insident itu, saya ada melakukan sedikit kajian ringkas tentang cara yang baik membentuk dan mendidik anak-anak ketika menghadapi situasi yang saya alami dua tiga hari yang lepas. Antara kesimpulan yang dapat saya lakukan adalah sebagaimana berikut:


1. Sebagai ibu bapa, hulurkan bantuan kepada anak-anak yang sedang berusaha untuk 'berdikari'. Bantulah anak-anak kerana itulah antara cara ibu bapa boleh menunjukkan kasih sayang kepada anak-anak.


2. Puji juga usaha anak-anak yang melakukan sesuatu secara berdikari, walaupun hakikatnya mereka tidak dapat menyempurnakan 'tugas' itu dengan sempurna. Pujian akan meningkatkan motivasi anak-anak untuk menghadapi hari-hari kehidupannya.


3. Semakin anak-anak dapat menguruskan sesuatu perkara dengan baik, mereka akan merasakan harga diri mereka semakin bertambah, dan menjadikan mereka sebagai anak-anak yang ceria dan gembira.


4. Berdoalah agar Allah sering memelihara dan melindungi anak-anak kita.

*Anak-anak adalah anugerah dan amanah. :)




Free Template Blogger collection template Hot Deals BERITA_wongANteng SEO

Rabu, 11 November 2009

Kuantiti vs Kualiti

0 ulasan


Menukilkan kata-kata Imam Hassan Al-Banna di dalam wasiatnya:

Kewajipan kita lebih banyak daripada waktu yang ada.

Di hari-hari terakhir sesi persekolahan tahun ini, barulah kata-kata ini kembali diingatan. Pun begitu, saya bukanlah menyalahkan MASA, kerana masa akan terus berjalan sebagaimana yang diaturkan. 24 sehari semalam! Tiada masa tambahan sebagaimana masa tambahan yang diperuntukkan dalam perlawanan bola sepak.

Dalam hal ini, bolehlah dimaksudkan dengan time management. Lihatlah, list tugasan yang semakin memanjang. Bagaimana mahu menguruskannya? Ikut priority..ikut siapa yang mahu cepat.. ikut mana yang mudah.. ikut suka hati lah..
1. Markah PKSR murid
2. Analisa keputusan peperiksaan kertas bahasa arab
3. Laporan ketua panitia
4. Laporan guru penasihat kelab/persatuan
5. SKT
6. Perancangan Strategik Kurikulum/Kokurikukulum
7. Head Count matapelajaran Bahasa Arab
8. Pengurusan pemulangan dan pembahagian buku teks murid
9. Menyiapkan brochure sambutan hari kanak-kanak peringkat sekolah
10.Persiapan bagi majlis menyambut pasangan wedding of the year di sekolah...dll.
Semuanya harus diselesaikan sebelum sesi persekolahan tamat. Hanya tinggal lebih kurang seminggu sahaja lagi. Sesekali, saya merasakan semua ini tidak adil! Namun menyedari bahawa tujuan kelahiran ini adalah sebagai khalifahNya, cepat-cepat beristighfar. Inilah antara cabaran yang harus disahut. Ayuh, laksanakan dengan sebaiknya. Percayalah, apa yang dinilai olehNya bukanlah berdasarkan kuantitinya, tetapi kualitinya. Dengan kata lain, hadirkan IKHLAS di dalam hati. :)

*Menulis merehatkan fikiran..meringankan beban.



Free Template Blogger collection template Hot Deals BERITA_wongANteng SEO