Ahad, 29 November 2009

Merentas 5 Negeri

0 ulasan
Hari ini, kami bermusafir merentas 5 negeri di Semenanjung Malaysia. Bertolak seawal 5 .00 pagi dari Kuala Terengganu menuju ke Perlis. Solat Subuh di Jertih, Terengganu dan bersarapan pagi di R&R Perah, Grik pada jam 9.00 pagi. Merentas negeri Terengganu, Kelantan, Perak, Kedah dan Perlis. Akhirnya sampai di Kuala Perlis pada pukul 8.00 malam setelah singgah di beberapa tempat termasuk di rumah ibu saudara di Sungai Petani yang mengadakan kenduri.

Memang meletihkan bermusafir sepanjang hari dengan anak kecil yang sedang membesar. Alhamdulillah, sekarang jam 10 lebih malam. Lubna sudah pun lena diulit mimpi. Semoga lena hingga ke Subuh. Seronok Lubna dapat beraya bersama aki dan tokmi di Terengganu walaupun hanya 2 hari. Ada sesuatu yang ingin saya kongsikan bersama di blog ini. Insya Allah, esok saya akan kembali menulis dan menyiapkan tugasan yang tertangguh. Tusbihuna alal khair.. Assalamualaikum.


Free Template Blogger collection template Hot Deals BERITA_wongANteng SEO

Sabtu, 28 November 2009

SALAM IDUL ADHA

1 ulasan
Salam Idul Adha Buat Semua
Daripada:
LUBNA, MAMA dan BABA
Gong Badak, Kuala Terengganu.


Free Template Blogger collection template Hot Deals BERITA_wongANteng SEO

Selasa, 24 November 2009

Esok

1 ulasan
Esok 9hb Zulhijjah 1430H. Bermakna esok adalah hari Arafah iaitu hari wukuf bagi jamaah haji yang sedang menunaikan rukun Islam yang kelima. Umat Islam yang tidak menunaikan haji pula disunatkan untuk berpuasa. Nabi s.a.w. bersabda:

صِيَامُ يَوْمِ عَرَفَةَ أَحْتَسِبُ عَلَى اللَّهِ أَنْ يُكَفِّرَ السَّنَةَ الَّتِي قَبْلَهُ وَالسَّنَةَ الَّتِي بَعْدَهُ…
"...Puasa Hari Arafah memadai dengannya Allah SWT mengampunkan dosa setahun sebelumnya dan setahun selepasnya..." (Riwayat Muslim)
(untuk maklumat lanjut tentang wukuf, boleh layari wacana-akademia.blogspot.com.)

Esok juga, seandainya diizinkan Allah, kami bercadang mahu pulang ke kampung halaman di Terengganu. Petang ini setelah suami pulang dari UUM, kami akan bertolak balik ke Butterworth. Awal pagi esok, barulah berangkat ke Terengganu. Tak sabar ummi dan abah nak jumpa cucunya yang nakal tu. Entah apa lah pulak ragam Lubna di Terengganu.


Di Pantai Timur, November dan Disember adalah musim tengkujuh. Kebiasaannya, kampung saya tidak dinaiki air tetapi jalan dari Kota Bharu ke Kuala Terengganu, kerap juga terputus akibat banjir. Itu yang agak membimbangkan. Namun, saya harapkan agar matahari sudi menghulurkan bakti menjelang raya haji tahun ini.

Melalui berita di akhbar dan televisyen, Terengganu di serang taun. Kementerian Kesihatan mengenal pasti beberapa punca yang menyebabkan berlakunya penularan penyakit taun di Terengganu, antaranya penggunaan ikan yang dicemari kuman 'Vibrio Cholera' untuk membuat keropok. Walaupun ada sumber yang mengatakan keropok di Terengganu masih selamat dimakan, tetapi langkah pencegahan perlu diambil bagi memastikan tidak dijangkiti.


Nampaknya, balik kali ini tak dapatlah mencari bekalan keropok. Saya sendiri kurang pasti kenapa ketika menetap di Terengganu, keropok lekor bukanlah makanan kegemaran saya. Tetapi, sejak merantau ke Utara, keropok lekorlah yang menjadi makanan yang saya idamkan apabila pulang. Begitulah sifat manusia, yang ada jarang disyukuri, yang tiada, barulah tercari-cari :)
(*sekadar catatan pagi sebelum Lubna bangun)



Free Template Blogger collection template Hot Deals BERITA_wongANteng SEO

Isnin, 23 November 2009

A Full Time Mum

0 ulasan

To be a full time mum/ housewife.. hai, ini bukanlah tugas yang mudah. Saya berfikir sendiri.
Bila ibu-ibu yang tidak berkerjaya (tidak bekerja di luar), bila ditanya: “Kerja apa?” Jawabnya: “ Tak kerja. Suri rumah je”
Rasanya itu jawapan yang tidak kena.


Sepatutnya dengan penuh rasa besar hati kena jawab:
“Saya seorang suri rumah sepenuh masa. Menguruskan rumah tangga, menjaga anak, mendidik generasi Islam, menyiapkan makan minum suami dan anak-anak, melayan kerenah anak yang sedang membesar..” dan pelbagai tugasan yang tidak pernah habis sepanjang 24 jam.

Kalau di pejabat, urusan yang tidak dapat diselesaikan hari ini, masih boleh diKIV kan esok atau lusa. Kalau di sekolah, masalah disiplin murid-murid masih boleh dilupakan seketika apabila pulang ke rumah. Kalau bertelagah sewaktu meeting, masih boleh diketepikan selepas keluar dari bilik mesyuarat/persidangan. Semuanya masih boleh ditangguh. Tapi, tugasan di rumah, jika dibuat begitu, rasanya habislah! Kain baju akan bertimbun-timbun, dapur tak berasap, anak-anak menangis kelaparan, rumah berselerak.. hidup pun tak tenteram sepanjang hari. Jadi, tiada istilah tangguh dalam menguruskan rumah tangga.

Oleh itu, suami-suami yang berkerjaya jangan memandang isteri yang kerjayanya sebagai suri rumah sepenuh masa dengan sebelah mata kerana membandingkan isteri dengan teman-teman sepejabat. Pelbagai alasan yang diberi. Isteri tidak pandai bergaya, isteri tidak menjaga penampilan, isteri tidak menunggu kepulangan suami dengan haruman yang menyegarkan, isteri itu..dan isteri ini..

Cubalah berada di tempat isteri. Kerja yang tidak pernah habis dan kerenah anak-anak yang pelbagai ragam, sudah cukup memenatkan. Saya dapat merasakan cukuplah sehari suami mengambil alih tugas isteri di rumah. Berikan cuti sehari suntuk buat isteri. Dan ambil alih tugas isteri. Lihatlah apa akan terjadi? :) Di saat itu, barulah suami tahu bagaimana penat dan peritnya si isteri melaluinya sehari-hari.

Ingatlah wahai suami-suami sekalian, bahawa isteri adalah amanah. Kerelaan isteri memberikan khidmat dalam rumah tangga seharusnya diberikan penghargaan. Mereka tidak mengharapkan duit gaji beribu-ribu ringgit, juga tidak mengharapkan emas permata, cukuplah dengan kepulangan si suami dengan seyuman.

Buat suami-suami yang mempunyai permaisuri hati yang tulus ikhlas, beruntunglah kalian kerana urusan rumah tangga diuruskan sendiri oleh pilihan hati. Anak-anak diberikan pendidikan dari ibu kandungnya sendiri dan bukannya dididik oleh bibik-bibik Jawa dan Sumatera. Maka akan lahirlah generasi yang mewarisi kemuliaan dari isteri yang dikasihi dan dicintai. Lihatlah pelbagai kes penderaan oleh pembantu rumah di Negara kita. Jika itu direnung, sepatutnya si suami perlu bersyukur di atas anugerah yang tidak ternilai itu. Itulah isterimu. :)

*Luahan rasa ini saya tulis spontan setelah merasai sendiri kepenatan dan keletihan sepanjang cuti sekolah ini (baru 5 hari). Andainya diberi pilihan, layakkah dan mampukah saya menjadi suri rumah sepenuh masa?


Free Template Blogger collection template Hot Deals BERITA_wongANteng SEO

Iktibar Untuk Si Kecilku :)

1 ulasan
Hari ini, ada perkembangan yang baik dengan Lubna. Dia semakin kurang menyakat sepupunya Rushda. Hari ini, ada aktiviti lain yang lebih menarik minat Lubna. Ada sesuatu yang dicarinya dari atas rak baju di rumah. Sejak pagi lagi, Lubna bertanya macam-macam tentang barang-barang yang di susun di atas rak berkenaan.
"Mama..tu kakak." Sambil tangannya menunjuk ke arah gambar Kak Ulin yang berada di atas rak itu.
"Mama.. bedak kakak." Kata Lubna dengan patah kata yang masih pelat.
"Mama.. bat dik Da (ubat adik Rushda). " Lubna terus bercakap menerangkan sesuatu yang saya sudah tahu.
"Ya.. Lubna nak ubat tu yer. " Saja saya melayan kata-kata Lubna.
"Mama..Na nak loleng (conteng). " Kata Lubna lagi sambil tangannya menunjuk ke arah pencil warna di atas rak itu.
"Hancet mama (handset mama)". Lubna terus bercakap tanpa berhenti.
Terlintas di fikiran saya akan telatah Lubna hari ini. Mulut banyak. Em..ni mesti ada apa-apa ni.
Selepas beberapa ketika Lubna sering ke tempat rak itu. Tiba-tiba Lubna membuka laci bawah rak itu lalu memijak laci itu. Saya tahu, Lubna cuba mendapatkan barang-barang yang ada di atas rak itu. Mula-mula, langkah satu laci.
Kemudian, Lubna memanjat semakin tinggi. Saya melarangnya, tetapi tidak diendahkan. Tercapai juga hajat Lubna apabila pencil warna dapat diambilnya. Lalu, terus turun dan mula menconteng. Tanpa sedar, Lubna menconteng skrin kamera saya. Alahai Lubna...Sekali lagi Lubna cuba memanjat, saya menjaganya dari belakang agar tidak terjadi apa-apa yang tidak diingini. Kali ini lebih drastik. Tetapi, Lubna akhirnya turun tanpa disuruh. Jari kecilnya tersepit di celah-celah laci itu. Aha.. barulah Lubna tahu bahaya panjat rak itu. :) Lain kali jangan buat lagi yer.

Lihatlah, Lubna mula memanjat untuk mendapatkan barang-barang di atas raki baju. Laci bawah rak itu dibukanya.

Kali ini semakin berani, semakin tinggi Lubna memanjat. Barangkali inilah akibatnya baba yang mahu anak sulung lelaki. Dapat perempuan, tapi lasak macam lelaki :)


Free Template Blogger collection template Hot Deals BERITA_wongANteng SEO

Sabtu, 21 November 2009

Lubna Sakat Rushda..Kesian Rushda

0 ulasan
Semalam, hari pertama cuti sekolah saya lalui dengan penuh cabaran bersama Lubna. Pelbagai kerenah Lubna saya perlu hadapi dan layani. Pada mulanya bermain bersama sepupu-sepupunya (Ulin Nuha, Fudla dan Rushda) dengan baik. Main sama-sama, belajar sama-sama, menconteng sama-sama.. sehinggalah menangis pun sama-sama. Rupa-rupanya, Lubna ni suka menyakat Rushda. Dengan kata lain, suka kenakan Rushda. Tengah main elok-elok, tetiba dipukulnya Rushda yang berusia setahun 2 bulan itu. Kesian Rushda. Menangislah kerana sakit. Nasib baik ada Ulin yang memujuknya.

Macam ni lah anak mama.. membaca dan menulis sama-sama dengan kak Fudhla.

Ni dah letih ni... ni nak buat apa pulak lepas ni? Risau betul mama.

Pada malamnya, Rushda yang dihiaskan dengan sepit rambut di kepala, ditariknya Lubna. Lubna mengambil sepit rambut Rushda, lalu dibawa lari. Terkejut juga saya dan suami dengan insiden itu. Lebih mengejutkan bila Lubna menghampiri babanya lalu meminta babanya menyepit sepit rambut yang diambil itu ke rambutnya. Alahai Lubna..janganlah macam ni.

Sepanjang hari, Lubna bermain. Langsung tak tidur. Saya berikan susu, tepuk, pujuk dan macam-macam lagi saya lakukan untuk memujuknya tidur, Lubna langsung tak mahu. Malah semakin aktif bermain. Barangkali teruja dengan ‘kawan-kawan’ yang ramai.

Aha, satu lagi Lubna ni, suka tengok iklan di tv. Masalahnya suka tengok iklan je. Itu yang pening tu. Bila ada iklan scotts ke, iklan susu ke, iklan oligo coco ke, iklan syampoo ke, dan apa jua iklan… dia akan mengalihkan tumpuan ke situ. Tercegat di depan tv. Selesai iklan, mulalah merengek kerana iklan dah habis. Alahai Lubna..

Kesimpulan terhadap apa yang berlaku semalam masih belum ada penyelesaiannya. Saya masih dalam mencari jawapan. Namun, kesimpulan awal yang saya perolehi hasil daripada berfikir sendirian adalah sebagaimana berikut:

1. Anak-anak kecil juga dilahirkan dengan perasaan ingin bersaing dan cemburu. Lubna barangkali merasakan Rushda sebagai saingan. Oleh yang demikian, Lubna sentiasa kenakan Rushda. Jadi, langkah yang perlu diambil oleh saya sebagai mama, bagaimana yer?



(pandangan dan idea daripada sahabat-sahabat semua amatlah dialu-alukan :) )

2. Lubna teruja dengan kawan-kawan yang ramai. Sebelum ni Lubna berseorangan di rumah. Hanya mama dan baba teman bermain di rumah. Sesekali kami membawa juga Lubna ke playground. Itulah sebabnya kali ini Lubna bermain sampai tak mahu tidur. Biarkanlah buat sementara waktu. Saya rasa ini tidak salah.

3. Kanak-kanak sememangnya cenderung terhadap sesuatu yang menarik perhatian deria pendengaran dan penglihatan mereka. Iklan adalah sesuatu yang berbeza dengan film dan cerita-cerita yang lain. Saya perlu mencari alternative yg sesuai untuk memberikan pendidikan kepada Lubna melalui pendekatan ini. CD nasyid kanak-kanak, dan cd pembelajaran awal kanak-kanak melalui nyanyian mungkin boleh membantu.

Itu sahaja untuk pagi ini. Jumpa lagi nanti. :)


Free Template Blogger collection template Hot Deals BERITA_wongANteng SEO

Jumaat, 20 November 2009

Cuti Sekolah Bermula

3 ulasan
Hari ini cuaca di Kuala Perlis mendung. Suasana pagi begitu menyamankan. Baru kelmarin saya melalui hari-hari terakhir di tempat kerja. Hari ini, semuanya sudah berubah. Cuti sekolah bermula. Kebiasaannya, cuti sekolah inilah masanya untuk saya pulang ke kampung halaman di Gong Badak, Terengganu. Tapi tahun ini, saya mengambil keputusan berada di sisi suami yang perlu menghadiri kursus di UUM. Saya tahu, tempat isteri adalah di sisi suaminya. Lagipun, saya tahu bahawa telatah Lubna akan membuatkan suami tidak begitu tertekan dengan kursus yang dilalui sepanjang cuti sekolah ini. Bersabarlah abang, ini kursus terakhir kan? :) Kelmarin, usai solat Jumaat, kami mula berangkat ke Kuala Perlis ke rumah kakak ipar saya. Saya akan 'menyewa' di sini kerana jaraknya tidaklah berapa jauh ke UUM Sintok. Sementara suami berada di tempat kursus, saya perlu merancang untuk memanfaatkan cuti ini di sini. Inilah masa yang saya nanti-nantikan saban tahun.


Jam sudah menunjukkan pukul 9.00 pagi. Lubna masih lena diulit mimpi. Malam tadi banyak kali terjaga, mengigau barangkali. Malam tadi bermain sakan dengan sepupu-sepupunya. Maklumlah, hampir sebaya. Akhirnya ketika seronok bermain, Lubna memaksa mama membawanya masuk tidur. Lubna menarik rambut sepupunya Rushda yang baru berusia setahun 2 bulan. Kesian Rushda, jatuh terlentang. Bincut juga kepalanya. Nasib baiklah tidak menangis panjang. Lubna, Lubna.. ni mesti kes nak bergurau, tapi silap cara. Lain kali saya perlu mengawasinya sepanjang masa. Em, Suami barangkali sudah sampai di tempat kursus. Katanya kelas bermula jam 8.30. OK, Selamat Berkursus abang! :)


Free Template Blogger collection template Hot Deals BERITA_wongANteng SEO