Jumaat, 4 Disember 2009

Fiqh al-Mar'ah: Pendarahan Sebelum Kelahiran

0 ulasan
Beberapa kali pengalaman saya masuk wad, memanggil saya untuk melakarkan sesuatu untuk tatapan semua. Pengalaman pertama ketika saat-saat bersalin anak pertama Lubna di Hospital Sungai Petani, Kedah begitu meninggalkan kesan yang mendalam. Kenapa ketika azan berkumandang, wad bersalin masih gelap. Sesekali terdengar derap kaki nurse yang bertugas. Namun, ramai pesakit yang masih dibuai mimpi. Setahu saya, ibu-ibu yang berada di wad berkenaan, masih ramai yang belum bersalin termasuklah saya.

Saya bingkas bangun. Darah masih belum kering. Sepanjang malam saya tidak dapat tidur dengan nyenyak kerana sakit yang datang sekejap-sekejap mengganggu saya. Namun, perlahan-lahan saya menuju ke bilik air membersihkan diri. Usai Solat Subuh, nurse datang menjenguk untuk memeriksa tahap tekanan darah dan denyutan baby dalam kandungan. Alhamdulillah, kandungan saya sihat.

Di sini, barulah saya percaya bahawa pembelajaran secara teori semata-mata masih belum dikira benar-benar menguasai. Lupa dan 'tidak nampak'. Ketika di alam pengajian, saya pernah menghabiskan beberapa kitab fiqh termasuk kitab fiqh “Fiqh ‘Ala Mazaahibil Arba’ah” dan “Fiqh Manhaji” dalam “Kitaabul Haidh” dalam beberapa siri daurah dan kuliah di jamiah. Tetapi di saat-saat yang memerlukan saya mengaplikasikan hukum yang dipelajari, ternyata saya masih ragu-ragu. Terbukti bahawa ilmu dan amal adalah sesuatu yang saling berkait. Setelah bertahun-tahun lamanya, ketika ianya terpaksa laluinya, barulah saya kembali mengadakan muraajaah.

Saya juga sering mendengar dan membaca kisah-kisah ibu yang berada di wad menanti kelahiran bayi yang dikandung. Saya juga pernah melalui kisah yang sama. Di saat-saat kesakitan yang datang berselang seli dan darah yang tidak berhenti turun, semua ibu akan berasa tidak selesa. Namun, sebagai ibu yang bakal melahirkan generasi pewaris kemuliaan Islam, seharusnya cekal dan tabah mengharungi saat-saat yang getir itu terutamanya dalam urusan melaksanakan ibadah sebagai wanita mu’minah yang taat dan patuh kepadaNya. Jika kita mengimpikan anak yang soleh dan solehah, seharusnya kita juga perlu memastikan diri kita sebagai ibu yang solehah. Mentaati perintah Allah walau di mana berada..bila-bila masa.

Sebenarnya, wanita-wanita yang sedang menanti saat-saat melahirkan anak, akan mengalami pendarahan sebelum kelahiran. Itu adalah lumrah yang akan dialami oleh kebanyakan ibu-ibu. Pendarahan ini akan kadang-kadang bercampur lendir. Apakah hukum darah yang keluar sebelum bersalin? Sebenarnya, pendarahan ini tidak termasuk dalam darah nifas. Ini bermakna, belum tergugur kewajipan ibadah terutamanya solat fardhu.


Ini kerana nifas menurut ta’rifan jumhur Ulama’ adalah sebagaimana yang saya nukilkan daripada kitab fiqh seperti berikut:
"الدم الخارج عقب الولادة…"
“Darah yang keluar (dari rahim perempuan) akibat melahirkan anak”

Sedikit huraian: Hukum Darah Sebelum Kelahiran

Memandangkan darah yang keluar itu bukanlah disebabkan oleh kelahiran, maka ia termasuk dalam kategori darah istihadhah (penyakit) ataupun darah fasad (rosak). Dalam hal ini, ini bermakna belum tergugur kewajipan solat kepada ibu-ibu yang masih belum bersalin. Walaupun Ulama’ Syafi’iyyah mengatakan ia adalah termasuk dalam kategori darah haid tetapi jumhur ulama’ berpendapat bahawa ia bukanlah darah haid tetapi ia adalah darah istihadhah (penyakit) atau darah fasad (rosak).

Ini amat bertepatan dengan kajian saintifik yang menunjukkan bahawa proses haid tidak akan berlaku ketika seseorang wanita itu mengandung kerana telah berlakunya persenyawaan dan kehamilan. Maka dalam hal ini, pendapat jumhur paling tepat diguna pakai iaitu darah berkenaan adalah darah istihadhah atau darah fasad.

Dalam hal berlaku perselisihan pendapat di kalangan fuqaha', Imam Syafiie sendiri pernah berkata:
“Apabila kamu menemui dalam kitabku sesuatu yang berlainan atau berlawanan dengan hadis Rasulullah SAW, peganglah hadis baginda dan tinggalkan pendapatku itu..”

Maka dapatlah disimpulkan bahawa seandainya darah keluar akibat kelahiran, barulah darah itu dikira sebagai darah nifas dan wiladah.

Kesimpulannya:
Jelas bahawa jumhur ulama’ (majoriti) bersepakat mengatakan bahawa darah nifas adalah darah yang keluar atas sebab kelahiran. Maka darah yang keluar sebelum kelahiran itu bukanlah darah nifas. Diharapkan semoga ibu-ibu yang mengalami pendarahan di saat-saat menantikan kelahiran bayi agar tetap menunaikan solat tanpa ragu-ragu kerana ia adalah kewajipan yang belum lagi tergugur.




Sila rujuk Kitab:

روضة الطالبين وعمدة المفتين
(Jilid 1 muka surat 64)-mewakili kitab Ulama’ Syafi’iyyah

بدائع الصنائع في ترتيب الشرائع (Jilid 1 muka surat 189)-mewakili kitab Ulama’ Hanafiyyah

المغني (Jilid 1 muka surat 352)-mewakili kitab Ulama’ Hanabilah

الفواكه الدواني على رسالة ابن أبي زيد القيرواني (Jilid 1 muka surat 471)-mewakili kitab Ulama’ Malikiyyah

عون المعبود (Jilid 1 muka surat 359-)-Kitab Hadith Imam Abu Daud







Free Template Blogger collection template Hot Deals BERITA_wongANteng SEO

Isnin, 30 November 2009

Gula Merangsang Keaktifan Si Manja

1 ulasan
Memandangkan Lubna yang semakin hari semakin nakal.. semakin banyak ragam dan kerenahnya, membuatkan saya berfikir sendirian. Silap asuhan ker? Atau Lubna ni terlalu dimanjakan? Tetapi kata-kata ummi menenangkan hati. “Biasalah, budak-budak nak membesar. ”

Pagi tadi Lubna buat hal lagi. Menangis mahu flashcard sepupunya. Bila diberi satu, Lubna nak dua. Bila diberi dua, Lubna nak tiga. Begitulah..akhirnya menangis sambil merengek mengadu kepada mama. Saya pening juga melihat telatah Lubna. Nasib baiklah Fudhla akhirnya memberi semua card itu kepada Lubna. Akhirnya barulah Lubna berhenti menangis.

Bila Fudhla datang dengan baby doll, Lubna segera menghampiri Fudhla. Ditinggalkan semua card tad. “Mama..Na nak baby.” Lubna mula kembali merengek. Saya memujuk Lubna, “Lubna mainlah dengan card ni. Ni ada cat, ada dog, ada pen..” Belum pun sempat saya menghabiskan kata-kata, Lubna terus merengek, “Na nak baby tu.”

Sebenarnya saya pernah terbaca bahawa pemakanan seharian amat mempengaruhi tumbesaran anak-anak kecil. Salah satu yang menarik perhatian saya adalah tentang pengaruh gula (termasuk coklat, gula-gula, makanan dan minuman manis). Ketika saya membaca blog ummunashwa.bogspot.com (Ummu Nashwa adalah rakan saya ketika di bangku sekolah), Ummu Nashwa membuka minda saya agar berfikir sejenak tentang pengaruh gula terhadap anak. Benar apa yang dikatakan, anak-anak semakin aktif sekiranya diberikan sesuatu yang manis. Saya memerhati Lubna, benar! Lantas, saya mula mengexplore blog-blog yang berkaitan dengannya untuk mendapatkan maklumat yang lebih lanjut.

Kelmarin adalah hari eksperimen saya terhadap Lubna. Saya tidak memberikan minuman yang manis kepada Lubna. Saya kerap memberikan air masak. Lubna sebelum ini amat payah tidur siang, kelmarin sewaktu menjelang tengahari, Lubna semakin kurang tenaganya. Bila diberikan susu, akhirnya terlena dengan mudah setelah penat bermain. Lama juga tidurnya. Betullah apa yang dikatakan bahawa gula mempengaruhi kehidupan anak-anak.




Ini maklumat yang saya perolehi untuk kita kongsikan bersama:

Mungkin ramai orang yang tidak dapat menerima bahawa gula pasir dan bahan makanan yang di perbuat daripada gula seperti coklat boleh menyebabkan anak manjadi hiperaktif - atau mengalami " sugar seizures " atau sawan gula.Paras gula yang tinggi atau( HYPERGLYCAEMIA) akan menyebabkan pembakaran glukos yang berlebihan di dalam otot-otot. Pembakaran tenaga ini akan menghasilkan gerak geri otot, yang menyebabkan anak-anak bergerak tanpa kawalan yang dikatakan ' hiperaktif'.

Dengan tenaga yang berlebihan anak-anak akan mula berlari-lari, melompat dengan buas dan menjerit-jerit tanpa terkawal. Pembakaran glukos pula menghabiskan vitamin B1, B2, B3, kalsium, magnesium dan oksigen kerana sebahagian besarnya telah digunakan untuk aktiviti gerak-geri otot seperti diatas. Kekurangan Vitamin-vitamin dan zat-zat seperti disebut tadi akan mengurangkan baki bekalan glukosa untuk kegunaan otak pula.Keadaan ini akan mempengaruhi emosi anak dan anak mudah resah, gelisah dan cemas kerana otaknya tidak mendapat cukup bekalan glukos, oksigen, vitamin dan zat-zat galian.

Anak-anak akan menjerit atau menangis kerana kekurangan bekalan bahan-bahan tersebut, menimbulkan pula keadaan yang diberi nama 'HYPOGLYCAEMIA'Begitulah keadaannya, bila gula banyak dia buas, bila gula kurang dia menangis. Inilah yang dinamakan ' Sugar seizures' atau sawan gula yang selalu kita lihat pada anak-anak kecil sekarang.

Oleh kerana otak anak kecil sedang membangun sekiranya keadaan ini dibiarkan tindakan melompat, menjerit, agresif, senang merajuk, sering marah dan lain-lain akan menjadi ingatan yang kekal dan inilah yang akan membentuk perangai anak itu dimasa hadapanOleh itu kurangkanlah pemberian gula pasir dan makanan-makanan manis yang diperbuat daripada gula pasir kepada kanak-kanak untuk mengelakkan fenomena ini terjadi.


SUMBER : Institut Pembangunan Keluarga Dan Kanak-kanak Nuri.


Free Template Blogger collection template Hot Deals BERITA_wongANteng SEO

Manja Dengan Aki Dan Tok Mi

0 ulasan
Inilah si kecil yang mencipta suasana ceria bercampur cemas di rumah aki dan tokmi.



Lihat, Lubna mengira syiling-syiling di depan aki. Lubna saje mahu mencuri perhatian aki.

“Catu..uwe..ige..pat..tujuh..pat..tujuh..pat..tujuh..” Lubna mengira dengan caranya tersendiri.
“Pandainye Lubna.” Aki Lubna memuji cucunya yang sengaja mengira duit-duit syiling yang diambil entah dari mana.
“Aki..” Lubna memanggil akinya.
“Ya..” Aki Lubna menyahut.
“Pat..tujuh..pat..tujuh..” Lubna terus mengira syiling-syiling itu di depan akinya.
Jari-jari Lubna terus bergerak seolah-olah mengira jumlah duit yang banyak.
Kesian aki yang mahu membaca Quran. Lubna datang mengganggu.
Datuk mana yang tak sayangkan cucu.. terus melayan cucunya.
Kebetulan raya kali ini, cucu-cucu yang berada di Sandakan, tidak pulang bercuti. Lubna lah pengubat rindu aki. :)

Kemudian Lubna meninggalkan duit syiling itu. Dia berlari-lari di dalam rumah. Kemudian memanjat kerusi, lalu terjun.
“Ya Allah, jatuh nanti..” Tokmi terkejut melihat telatah cucunya yang semakin aktif.
“Catu..Uwe..Ige..” Lubna terus terjun sekali lagi.
“Lubna…” Saya memanggil Lubna dengan nada amaran.
Lubna hanya tersengih. Sekali lagi Lubna memanjat kerusi, lalu terjun.
Saya bangun. Lubna tahu saya ingin menghalangnya. Lalu lari ke arah akinya.

“Isyh dia ni..kalau budak-budak lain yang aktif, biasanya siang tidur juga. Dia ni tak tidur langsung.” Aki Lubna berkata sambil memeluk Lubna.
“Aki.. tu mama.” Lubna mengadu kepada aki. Lubna mahu agar aki memarahi mama.
Alahai anakku sayang,
“Itulah abah.. tak tahulah nak buat macam mana. Payah betul nak tidur siang. Kadang-kadang sampai tak larat nak layan. Macam-macam kerenahnya.” Saya meluahkan rasa kepada abah dan ummi
“Biasalah budak-budak. Dia sihatlah tu. Kalau budak-budak tak sihat, merengek je. ” Ummi menenangkan saya.
“Tapi ummi, dia ni aktif dan banyak idea. Ada jer perkara baru dia buat. Kadang-kadang bahaya..” Saya menyambung lagi..

Ummi dan abah tersenyum. Mereka juga sudah melalui saat-saat getir membesarkan anak-anak seramai 6 orang. Semuanya macam Lubna nil ah...:)

Lubna bergambar kenang-kenangan dengan tokmi.


Bersambung…



Free Template Blogger collection template Hot Deals BERITA_wongANteng SEO

Ahad, 29 November 2009

Kenangan Raya Korban 2009

1 ulasan
Sesungguhnya pengorbanan mengajar erti mentaati, mengasihi dan mensyukuri. Kisah pengorbanan Nabi Allah Ismail dan Ibrahim a.s menjadi suri teladan sepanjang zaman. Hari Raya Idul Adha bukan sahaja disambut meriah setiap tahun malah simbolik kepada ketaatan bagi sebuah pengorbanan sebagai Hamba Allah. Kalau di Malaysia biasanya lembu dan kambing menjadi ternakan korban yang popular. Ketika musim korban ini, kecut perut mereka menanti giliran untuk dikorbankan. Ada yang dari awal lagi 'meragam' dan 'mengamuk' sebelum diturunkan dari lori. Bergegar lori-lori akibat amukan itu. Ada juga yang mula melembikkan kaki tanda sebagai protes ketika mahu disembelih sehingga sukar membawanya ke tempat sembelihan. Dan macam-macam lagi. Melihat sendiri telatah lembu-lembu korban, rasa juga kesian. Tetapi demi sebuah pengorbanan, ianya perlu diteruskan.


Lembu juga buat hal sebelum dikorbankan.


Saya masih ingat ketika masih menuntut di Mesir, bagaimana suasana ibadah korban dijalankan. Suasana hampir sama dengan di Malaysia cuma di sana, ada ternakan yang istimewa untuk disembelih iaitu unta. Pertama kali makan daging unta, sedap juga. Manis. Mungkin kerana dagingnya masih baru. Kalau lembu dan kambing, perlu direbahkan untuk disembelih. Tetapi lain dengan unta. Ianya perlu dibangunkan. Diriwayatkan daripada Ziad bin Jubair r.a katanya: Ibnu Umar pernah menghampiri seorang lelaki yang sedang menyembelih untanya yang berada dalam keadaan duduk berlutut. Dia berkata: Bangunkanlah ia, biarkan ia supaya berada dalam keadaan berdiri dan terikat (kaki bahagian hadapan dan bahagian kiri). Itulah sunnah Nabi kamu. Oklah, itu kisah ketika di Mesir.


Kebetulan tahun ini, giliran kami beraya di Terengganu. Pertama kali Lubna ke tempat sembelihan di Masjid Wakaf Tembesu. Lubna teruja melihat lembu yang banyak. Ada 12 ekor lembu untuk disembelih. Gotong-royong memudahkan kerja-kerja menyembelih dan melapah daging-daging korban. Alhamdulillah semuanya selesai sebelum solat Jumaat.


Menyentuh tentang ibadah penyembelihan, ada beberapa perkara yang perlu dijaga sebagai adab yang dituntut ketika melaksanakan ibadah penyembelihan ini. Antaranya:

1. Haram Menyembelih Untuk Selain Allah Subhanahu wata’ala
Abu Thufail Amir bin Watsilah berkata, "Aku berada di sisi Ali bin Abi Thalib, lalu datanglah seseorang menemuinya, orang itu bertanya, "Apakah Nabi Shallallahu ‘alaihi wa sallam ada merahasiakan sesuatu kepadamu?"

Abu Thufail berkata, "Mendengar ucapan tersebut, Ali marah dan berkata, "Tidaklah Nabi Shallallahu ‘alaihi wa sallam merahasiakan sesuatu kepadaku yang beliau sembunyikan dari manusia kecuali beliau telah menceritakan padaku empat perkara." Orang itu berkata, "Apa itu yang Amirul Mukminin ?" Ali berkata, "Beliau Shallallahu’alaihi wasallam bersabda:
"Allah melaknat orang yang melaknat kedua orang tuanya, Allah melaknat orang yang menyembelih untuk selain Allah, dan Allah melaknat orang yang memberi tempat bagi orang yang membuat bid’ah, dan Allah melaknat orang yang merubah tanda-tanda di bumi"

Maka tidak boleh menyembelih untuk selain Allah Subhanahu wata’ala berdasarkan hadits ini dan hadits-hadits lainnya yang melarang dari semisal perbuatan tersebut. Adapun yang diperbuat oleh orang awam pada hari ini dengan menyembelih untuk para wali maka masuk dalam laknat yang disebutkan dalam hadits ini, karena sembelihan untuk wali adalah sembelihan untuk selain Allah Subhanahu wata’ala.

2. Berbuat Kasih Sayang Pada Kambing
Dari Qurrah bin Iyyas Al-Muzani bahwa ada seorang lelaki berkata, "Ya Rasulullah, sesungguhnya aku mengasihi kambing jika aku menyembelihnya". Maka beliau Shallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda, "Jika engkau mengasihinya maka Allah merahmatinya"


3. Berbuat Baik (Ihsan) Ketika Menyembelih
Dengan melakukan beberapa perkara:


3.1 Menajamkan Pisau.

Dari Syaddad bin Aus Radhiyallahu ‘anhu ia berkata: Dua hal yang aku hafal dari Nabi Shallallahu ‘alaihi wa sallam beliau berkata, "Sesungguhnya Allah mewajibkan berbuat baik (ihsan) atas segala sesuatu. Jika kalian membunuh (dalam qishah,-pent) maka berbuat ihsanlah dalam cara membunuh dan jika kalian menyembelih makan berbuat ihsanlah dalam cara menyembelih, dan hendaklah salah seorang dari kalian menajamkan pisaunya dan menyenangkan sembelihannya"
3.2 Menjauh Dari Penglihatan Kambing Ketika Menajamkan Pisau.

Dalam hal ini ada beberapa hadits di antaranya dari Ibnu Abbas Radhiyallahu ‘anhu ia berkata: Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa sallam mengamati seorang lelaki yang meletakkan kakinya di atas pipi (sisi) kambing dalam keadaan ia mengasah pisaunya sedangkan kambing tersebut memandang kepadanya, maka beliau mengatakan, "Tidaklah diterima hal ini. Apakah engkau ingin benar-benar mematikannya.

Dari Abu Hurairah Radhiyallahu ‘anhu ia berkata, "Jika salah seorang dari kalian menajamkan pisaunya maka janganlah ia menajamkannya dalam keadaan kambing yang akan disembelih melihatnya"

3.4 Menggiring Kambing Ke Tempat Penyembelihan Dengan Baik.
Ibnu Sirin mengatakan bahwa Umar radhiyallahu ‘anhu melihat seseorang menyeret kambing untuk disembelih lalu ia memukulnya dengan pecut, maka Umar berkata dengan mencelanya: "Giring haiwan ini kepada kematian dengan baik"

Berkata Imam Nawawi dalam Syarhun Shahih Muslim (13/130): "Hadits ini menunjukkan sunnahnya membaringkan kambing ketika akan disembelih dan tidak boleh disembelih dalam keadaan kambing itu berdiri atau berlutut tetapi dalam keadaan berbaring karena lebih mudah bagi kambing tersebut dan hadits-hadits yang ada menuntunkan demikian juga kesepakatan kaum muslimin. Ulama sepakat dan juga amalan kaum muslimin bahwa haiwan yang akan disembelih dibaringkan pada sisi kirinya karena cara ini lebih mudah bagi orang yang menyembelih dalam mengambil pisau dengan tangan kanan dan menahan kepala hewan dengan tangan kiri".

3.5 Menghadapkan Haiwan Sembelihan Ke Arah Kiblat
Nafi’ menyatakan bahwa Ibnu Umar tidak suka memakan sembelihan yang ketika disembelih tidak diarahkan ke arah kiblat.





3.6 Meletakkan Telapak Kaki Di Atas Sisi Haiwan Sembelihan
Anas bin Malik Radhiyallahu ‘anhu berkata, "Rasulullah menyembelih haiwan kurban dengan dua domba jantan yang berwarna putih campur hitam dan bertanduk. Beliau menyembelihnya dengan tangan beliau, dengan mengucap basmalah dan bertakbir, dan beliau meletakkan satu kaki beliau di sisi-sisi kedua domba tersebut’

4. Tasmiyah (Mengucapkan Bismillah)
Berdasarkan firman Allah Ta’ala,
وَلا تَأْكُلُوا مِمَّا لَمْ يُذْكَرِ اسْمُ اللَّهِ عَلَيْهِ وَإِنَّهُ لَفِسْقٌ وَإِنَّ الشَّيَاطِينَ لَيُوحُونَ إِلَى أَوْلِيَائِهِمْ لِيُجَادِلُوكُمْ
"Dan janganlah kalian memakan haiwan-haiwan yang tidak disebut nama Allah ketika menyembelihnya, sesungguhnya perbuatan semacam itu adalah suatu kefasikan. Sesungguhnya syaithan itu mewahyukan kepada wali-walinya (kawan-kawannya) untuk membantah kalian" [Al-An'am: 121]

Anas bin Malik Radhiyallahu ‘anhu berkata, "Rasulullah Shallallahu’alaihi wasallam menyembelih haiwan korban dengan dua domba jantan. Beliau mengucap bismillah dan bertakbir"

5. Tidak Boleh Menggunakan Taring/Gading Dan Kuku Ketika Menyembelih Kambing
Dari Ubadah bin Rafi’ dari datuknya ia berkata: "Ya Rasulullah, kami tidak memiliki pisau besar (untuk menyembelih)". Maka beliau Shallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda, "Haiwan yang telah dialirkan darahnya dengan menggunakan alat selain dzufur (kuku) dan sinn (taring/gading) maka makanlah. Adapun dzufur merupakan pisaunya bangsa Habasyah sedangkan sinn adalah idzam"


[Petikan adab-adab sembelihan daripada: http://sunniy.wordpress.com/)



Masjid Wakaf Tembesu yang menjadi tempat ibadah korban dijalankan.


Bismillahirrahmanirrahim.. Lembu siap untuk disembelih.


Daging-daging lembu dilapah untuk diagihkan

Gotong-royong meringankan kerja-kerja melapah dan memotong daging-daging.



Lubna bersama baba di tempat penyembelihan

Hai..ramainya yang sudi mengasuh Lubna, si kecik yang aktif ni :) Lubna bersama Ayah Ngah.


Free Template Blogger collection template Hot Deals BERITA_wongANteng SEO

Merentas 5 Negeri

0 ulasan
Hari ini, kami bermusafir merentas 5 negeri di Semenanjung Malaysia. Bertolak seawal 5 .00 pagi dari Kuala Terengganu menuju ke Perlis. Solat Subuh di Jertih, Terengganu dan bersarapan pagi di R&R Perah, Grik pada jam 9.00 pagi. Merentas negeri Terengganu, Kelantan, Perak, Kedah dan Perlis. Akhirnya sampai di Kuala Perlis pada pukul 8.00 malam setelah singgah di beberapa tempat termasuk di rumah ibu saudara di Sungai Petani yang mengadakan kenduri.

Memang meletihkan bermusafir sepanjang hari dengan anak kecil yang sedang membesar. Alhamdulillah, sekarang jam 10 lebih malam. Lubna sudah pun lena diulit mimpi. Semoga lena hingga ke Subuh. Seronok Lubna dapat beraya bersama aki dan tokmi di Terengganu walaupun hanya 2 hari. Ada sesuatu yang ingin saya kongsikan bersama di blog ini. Insya Allah, esok saya akan kembali menulis dan menyiapkan tugasan yang tertangguh. Tusbihuna alal khair.. Assalamualaikum.


Free Template Blogger collection template Hot Deals BERITA_wongANteng SEO

Sabtu, 28 November 2009

SALAM IDUL ADHA

1 ulasan
Salam Idul Adha Buat Semua
Daripada:
LUBNA, MAMA dan BABA
Gong Badak, Kuala Terengganu.


Free Template Blogger collection template Hot Deals BERITA_wongANteng SEO

Selasa, 24 November 2009

Esok

1 ulasan
Esok 9hb Zulhijjah 1430H. Bermakna esok adalah hari Arafah iaitu hari wukuf bagi jamaah haji yang sedang menunaikan rukun Islam yang kelima. Umat Islam yang tidak menunaikan haji pula disunatkan untuk berpuasa. Nabi s.a.w. bersabda:

صِيَامُ يَوْمِ عَرَفَةَ أَحْتَسِبُ عَلَى اللَّهِ أَنْ يُكَفِّرَ السَّنَةَ الَّتِي قَبْلَهُ وَالسَّنَةَ الَّتِي بَعْدَهُ…
"...Puasa Hari Arafah memadai dengannya Allah SWT mengampunkan dosa setahun sebelumnya dan setahun selepasnya..." (Riwayat Muslim)
(untuk maklumat lanjut tentang wukuf, boleh layari wacana-akademia.blogspot.com.)

Esok juga, seandainya diizinkan Allah, kami bercadang mahu pulang ke kampung halaman di Terengganu. Petang ini setelah suami pulang dari UUM, kami akan bertolak balik ke Butterworth. Awal pagi esok, barulah berangkat ke Terengganu. Tak sabar ummi dan abah nak jumpa cucunya yang nakal tu. Entah apa lah pulak ragam Lubna di Terengganu.


Di Pantai Timur, November dan Disember adalah musim tengkujuh. Kebiasaannya, kampung saya tidak dinaiki air tetapi jalan dari Kota Bharu ke Kuala Terengganu, kerap juga terputus akibat banjir. Itu yang agak membimbangkan. Namun, saya harapkan agar matahari sudi menghulurkan bakti menjelang raya haji tahun ini.

Melalui berita di akhbar dan televisyen, Terengganu di serang taun. Kementerian Kesihatan mengenal pasti beberapa punca yang menyebabkan berlakunya penularan penyakit taun di Terengganu, antaranya penggunaan ikan yang dicemari kuman 'Vibrio Cholera' untuk membuat keropok. Walaupun ada sumber yang mengatakan keropok di Terengganu masih selamat dimakan, tetapi langkah pencegahan perlu diambil bagi memastikan tidak dijangkiti.


Nampaknya, balik kali ini tak dapatlah mencari bekalan keropok. Saya sendiri kurang pasti kenapa ketika menetap di Terengganu, keropok lekor bukanlah makanan kegemaran saya. Tetapi, sejak merantau ke Utara, keropok lekorlah yang menjadi makanan yang saya idamkan apabila pulang. Begitulah sifat manusia, yang ada jarang disyukuri, yang tiada, barulah tercari-cari :)
(*sekadar catatan pagi sebelum Lubna bangun)



Free Template Blogger collection template Hot Deals BERITA_wongANteng SEO