Sabtu, 23 Januari 2010

Sayangi dan Hargailah Pengorbanan Ibu

1 ulasan
Kelmarin, kami singgah di Changkat Jering menziarahi saudara sebelah suami. Banyak perkara yang berlaku sepanjang hari kelmarin, tetapi ada satu perkara yang menarik minat saya untuk berkongsi dengan semua. Ini adalah kisah tentang pengorbanan seorang ibu. Di mana yer mahu saya mulakan?


Oklah, saya mulakan dengan kisah bapa mertua saya yang berstatus ‘telah kembali single’ sejak hampir 3 tahun yang lalu. Kali ini, saudara di Changkat Jering memperkenalkan seorang calon ibu mertua saya. Kami singgah di rumah calon yang terpilih itu untuk berkenalan. Rumahnya berada dalam kategori rumah kampung yang agak ‘usang’. Tetapi memang bersih dan kemas. Barang-barang dan perabot terjaga rapi. Halamannya bersih dan kemas. Menurut menantunya yang ada bersama ketika itu, ibunya mempunyai 5 orang anak. Anak-anak semuanya berjaya dan hebat kerjayanya. Ada yang jadi lawyer, dan ada juga yang jadi doctor pakar. Tetapi hidupnya kesepian setelah kematian suami. Anak-anak yang berjaya itu telah lama meninggalkan ibu yang malang itu. Katanya bukan setahun dua sudah tidak pulang, tetapi sudah bertahun-tahun. Kenapa ya? Saya sendiri tertanya-tanya. Kami yang menziarahinya berasa tersentuh apabila ibu yang malang itu menggantung kemas frame gambar anak-anak yang menerima scroll masing-masing di majlis konvokesyen mereka. Ada 3 frame semuanya dari university yang berbeza. Kenapa anak-anak tergamak mengetepikan ibu sendiri setelah berjaya mencapai impian masing-masing? Lupakah mereka kepada keberkatan dan restu ibu?

Saya tinggalkan kisah di atas. Kembali kepada kisah bapa mertua saya. Rasanya, sudah berbelas-belas calon isteri yang diperkenalkan kepadanya. Setakat sekarang, semuanya belum berkenan di hati. Hidup 30 tahun lebih bersama arwah mak, tidak mungkin dilupakan. Patah tumbuh, hilang berganti. Tetapi yang berganti, tidak akan sama dengan yang dahulu. Begitulah dilema seorang suami. Arwah ibu mertua saya meninggal selepas 20 hari kami melangsungkan perkahwinan. 4.4.2007 tarikh yang kami semua tidak dapat lupakan. Arwah meninggalkan kami setelah sakit perut biasa. Berasal dari keluarga yang agak susah kehidupannya. Hidupnya dipenuhi liku dan duri sepanjang membesarkan anak-anak. Setiap pagi, sebelum anak-anak bangun, sarapan sudah disiapkan buat pengalas perut sebelum ke sekolah. Ikan-ikan kering sudah siap dijemur. Begitu juga dengan buah asam (asam gelugur/ asam keping). Semuanya sudah siap dihiris dan dijemur. Buah asam yang kering itu nanti, akan dijual kepada pemborong yang datang. Barangkali pukul berapa yer agaknya arwah ibu bangun dari tidur? Inilah pengorbanan seorang ibu. Arwah juga seorang yang terlalu jujur. Orang kampung dan saudara mara sayang padanya. Walaupun telah lama meninggalkan kami, orang masih memuji-muji arwah ibu. Walaupun ketika susah, sesiapa sahaja yang datang ke rumah tidak pernah dihampakan. Dijamu dengan makanan yang sedap-sedap yang dimasak sendiri. Apa yang ada, semuanya akan dikeluarkan. Saya masih ingat, ketika arwah tenat di ICU Hospital kepala batas, ada beberapa anak muda yang lagaknya seperti mat rempit, datang berziarah. Memohon maaf pada arwah ibu dengan air mata yang berlinangan. Siapa pemuda itu? Rupa-rupanya, itulah mat rempit kampung itu. Ketika orang ramai mencemuh mereka, arwah ibu tetap berbaik sangka dengan mereka. Arwah ibu pernah menjamu mereka minum teh panas dan melayan mereka dengan baik.


Oklah, saya tinggalkan kisah arwah ibu. Sekarang saya ceritakan kisah ummi pula (ibu saya di Terengganu). Ummi seorang ibu yang bekerjaya. Orangnya lembut tetapi tegas. Saya dan adik-adik yang nakal, lebih takut pada ummi berbanding abah. Pasal akademik, jangan sekali-kali buat endah tak endah. Nahas nanti. Ummilah guru bahasa arab kami, guru bahasa inggeris kami, guru matematik kami, guru bahasa melayu kami.. (tetapi bukan guru sejarah. Pakar sejarah, dapat anugerah pada abah J) Setiap kali kami pulang dari asrama, pasti ummi akan memanggil kami membuat latihan dihadapannya. Kecut perut bila soalan-soalan dibuka tidak dapat dijawab. Ummi akan memanggil seorang demi seorang untuk memeriksa pencapaian kami. Pernah ketika SPM pada tahun 1998, ketika peperiksaan hampir menjelang, keputusan Matematik saya amat tenat. Cuti seminggu (bulan Ogos), saya dihantar ke rumah ibu saudara yang merupakan guru pakar Matmatik selama seminggu penuh. Saya tidak diambil pulang sehinggalah saya menguasai semua tajuk. Saat itu, betapa terseksanya rasa. Sepanjang seminggu, hanya latih tubi matematik yang perlu saya siapkann. Penatnya. Namun, saya mengakui bahawa semuanya salah sendiri kerana terlalu malas. Berkat kesabaran dan ketegasan ummi, akhirnya saya berjaya mendapat keputusan yang baik bagi matapelajaran Matematik. Matapelajaran Matematik tidak mencacatkan keputusan SPM saya. Itulah yang amat dibimbangi oleh ummi sebelum itu.

Ummi juga mempunyai disiplin yang tinggi. Katanya, belum pernah seumur hidupnya bangun setelah Subuh. Benar kata ummi. Setiap kali kami bangun, ummi sudah menyelesaikan semua tugasan di rumah sebelum ke tempat kerja. Basuh baju, basuh pinggan, kemas rumah, cuci longkang, lap kereta dan iron baju. Dahulu masa kecil-kecil, semuanya biasa sahaja bagi kami. Tapi bila sudah berumah tangga dan pulang bercuti di Terengganu, malu kami dibuatnya. Ummi tetap seperti dulu, dan kami masih berada di tahap bertatih mengikut jejak langkah ummi.




Pertemuan generasi pertama dan ketiga. Lubna dan Tok Mi (ummi) di Terengganu :)


Saya bukan mahu berbangga-bangga kerana mempunyai ummi dan arwah ibu yang terlalu besar pengorbanannya kepada anak-anak. Tetapi saya berbangga dan bersyukur. Itulah yang boleh saya katakan. Semoga saya boleh meneladani apa yang telah mereka lakukan untuk anak-anak. Kali ini demi untuk Lubna dan adik-adiknya pula.. :)



Free Template Blogger collection template Hot Deals BERITA_wongANteng SEO

Ahad, 17 Januari 2010

Giant Lubna ;)

5 ulasan


Kesian saya melihat Lubna sejak akhir-akhir ini. Celik sahaja mata dari tidur, “Mama, Na nak pi Giant” Rengek Lubna. Saya memujuk Lubna. “Giant lum bukak lagi lah sayang. Giant tutup.” Kelihatan wajahnya hampa. Dia mengajuk saya dengan pelatnya “Giant tutup.” Barangkali untuk menyedapkan hatinya sendiri. Pernah suatu hari, ketika sedang leka bermain, Lubna tiba-tiba berlari ke arah tong sampah.“Giant!” Kata Lubna dengan nada gembira. Ada apa? Saya berfikir sendirian. Saya meluru ke arah Lubna. Oh, rupa-rupanya ada botol air mineral Giant. Lubna memang cukup kenal dengan lambang Giant tu.

Bila berada dalam kereta, Lubna akan perasan mana-mana papan iklan Giant yang ada di tepi jalan. Melintasi sahaja papan iklan tersebut, Lubna akan tersengih-sengih sampai jarinya menunjuk ke arah papan iklan tersebut. “Giant! Giant!” Kata Lubna dengan begitu teruja. Tapi satu hal yang akan berlanjutan selepas itu, dia akan merengek untuk ke Giant. “Na nak pi Giant… Na nak pi giant..mama..baba..” Lubna akan terus merengek. Sebab itulah, bila saya perasan ada papan iklan Giant, cepat-cepat saya cuba mengalihkan tumpuan Lubna. Saya cuba bercakap-cakap dengan Lubna, sambil membacakan buku yang dibawa.

Saya faham situasi Lubna. Di rumah, Lubna hanya bermain dengan Baby Bah. Baby Bah Lubna pula bukanlah baby yang real. Cuma anak patung permainannya. Hanya itu yang menjadi teman Lubna bermain. Saya jarang membiarkan Lubna bermain di luar rumah kerana rumah yang kami diami sekarang tidak berpagar. Tambahan pula hanya 15 meter ke jalan raya. Bahaya mengundang jika terleka.

Gambar hiasan


Dalam hal ini, Giant yang dimaksudkan Lubna bukanlah tempat untuk shopping. Tapi tempat untuk bermain di playland yang disediakan di situ. Lubna akan bermain sepuas-puasnya bersama anak-anak kecil yang lain. Lubna akan terjerit-jerit kegembiraan. Penat bermain, sesekali kami jamu Lubna dengan Pizza Hut yang ada dijual di situ. Kami pula akan menunaikan solat maghrib di Giant Shopping Complex tersebut supaya Lubna dapat bermain dengan sepuas-puasnya.

Gegitulah kerenah anak kecil kami Lubna. Mama sekadar menukilkan kisah ringkas Lubna di blog ini sebagai catatan peribadi mama sepanjang membesarkan Lubna. Catatan masa lalu ini diharapkan dapat menjadi iktibar bagi melalui liku-liku perjalanan yang masih panjang. Semoga Lubna akan menjadi anak yang solehah. :)


Free Template Blogger collection template Hot Deals BERITA_wongANteng SEO

Rabu, 13 Januari 2010

Minta Duit Di Kaunter

0 ulasan
Bila anak sudah mula pandai mengira.. one, two, three, four sampai ten, atau satu, dua tiga, empat sampai sepuluh, ibu bapa perlu berwaspada. Memang seronok bila anak-anak sudah mula pandai mengira, tetapi perlu ingat bahawa dalam segala hal, anak kecil ini akan selalu mengira.

Satu, dua, tiga.. anak kecil kita akan melompat. Melompat dari katil turun ke bawah. Melompat dari meja turun ke bawah. Pantang melihat tempat tinggi, mesti mereka akan cuba melompat. Barangkali mereka teruja mempraktikkan ilmu mereka yang semakin berkembang.

One two, three.. mula mengira duit-duit syiling yang dijumpainya. Awas! Ibu bapa perlu mengawasi aktiviti anak-anak ketika ini kerana mereka berkemungkinan memasukkan duit-duit syiling itu ke dalam mulut. Kotor satu perkara. Yang lebih membimbangkan, tertelan! Wal yauuzubillah.

Bicara tentang duit, saya teringat beberapa kejadian yang berlaku kepada Lubna. Suatu hari, ketika kami membawa Lubna shopping, apabila tiba di kaunter pembayaran, Lubna melihat chasier membilang duit-duit yang dibayar. One, two, three, four, five, six,.. Lubna memandang dengan penuh minat. Matanya merenung sesuatu tanpa berkelip. Tanpa disangka-sangka Lubna menghulurkan tangannya . “Na nak duit.” Kata Lubna sambil tangannya menadah meminta diberikan duit-duit itu. “Kas.. (lekas)” Kata Lubna lagi. Chasier itu hanya tersenyum.

Terkejut juga saya dengan incident yang berlaku dalam sekelip mata itu. Saya dan suami tidak sempat menghalang Lubna. Lalu, saya cepat-cepat membawa Lubna keluar. Bimbang persepsi orang-orang di sekeliling terhadap anak kecil kami.


Dalam hal ini, saya tahu, anak kecil saya bukan bersikap materialistic ;) Tetapi sebenarnya Lubna teruja untuk membilang. Teruja apabila melihat chasier membilang duit. Kini saatnya anak kecil kami berusaha mengembangkan kemahirannya. Apa sahaja yang boleh dibilang, dia akan mula membilang. Bagi mengelakkan kejadian yang sama berulang, kini setiap kali kami ingin membuat sebarang pembayaran di kaunter, kami akan memberikan duit kepada Lubna. Lubna yang akan membuat pembayaran J Jadi, chasier akan memulangkan baki duit kepada Lubna juga. Maka tidak timbul situasi Lubna akan meminta duit lagi. Lubna akan tersengih bila chasier memberikan duit baki kepadanya. “Acihhhhh” :) Kata Lubna lagi.


Free Template Blogger collection template Hot Deals BERITA_wongANteng SEO

Ahad, 27 Disember 2009

Pelaburan Masa Hadapan

2 ulasan
Anak-anak Solehah impian setiap ibu bapa

Menjelang sesi persekolahan 2010, ibu bapalah orang yang paling sibuk menyediakan kelengkapan anak-anak. Bagi yang mempunyai anak yang ramai yang masih bersekolah, sudah tentu di saat inilah mereka sedang menggaru-garu kepala yang tidak gatal itu. Seluk poket kanan kosong. Kiri juga kosong. Bank? Orang lain punya wang adalah! :) Pakaian, kelengkapan alat tulis, yuran dan pelbagai jenis pembayaran perlu dijelaskan. Namun, bagi yang sudah menabung dari awal, pasti terasa ringan sedikit beban di awal tahun ini. Ketika ini jugalah ibu bapa mencari sekolah yang terbaik untuk menjana pendidikan anak-anak. Majoritinya mendaftarkan anak-anak mereka ke sekolah aliran kebangsaan. Bagi yang agak berada atau dengan kata lain mempunyai poket yang agak tebal, sekolah-sekolah swasta menjadi pilihan mengikut citarasa masing-masing. Ada yang memilih sekolah swasta aliran Inggeris, Cina, dan Agama.

Di sebalik suasana kesibukan masing-masing memilih aliran pendidikan anak-anak, saya ingin melahirkan sedikit rasa agak pelik dengan senario ibu bapa Muslim yang memilih Non-Muslim Kindergarten sebagai arena pendidikan awal anak-anak mereka. Saya yakin, impian ibu bapa adalah menggunung tinggi agar anak-anak berupaya menguasai bahasa. Namun, sedarkah kita bahawa sistem pendidikan mereka bukan sahaja berteraskan bahasa, tetapi juga bersandarkan nilai-nilai agama dan aspek ketuhanan yang dianuti. Ini terbukti apabila sesetengah kindergarten ini dibina bersebelahan church yang tersergam megah di sesebuah kota. Persoalan-persoalan yang saya timbulkan di fikiran, adakah di Malaysia tidak mempunyai sekolah-sekolah pilihan bagi anak-anak Melayu Muslim bagi mendapatkan pendidikan terbaik menurut acuan Islam? (Hakikatnya sudah banyak Islamic Kindergarten antaranya PASTI, Iqra' Kindergarten, Dzul Iman Islamic Kindergarten, Tadika Atfal Kindergarten, Muslim Kindergarten dan banyak lagi) Atau sekadar mahu mencuba? Saya secara peribadi melihat situasi ini adalah sesuatu yang serius dan bukan saatnya untuk mencuba. Tiada istilah CUBA. Sedih juga apabila melihat fenomena ini tidak lagi menjadi isu sensitive di kalangan ibu bapa bahkan menjadi satu kebanggaan apabila anak-anak mendapat pendidikan awal di situ.

Menerapkan nilai-nilai Islam dalam pendidikan anak-anak. Gambar Hiasan.

Setiap pagi, anak-anak kecil Muslim bersama-sama menyanyikan lagu-lagu gereja yang berunsurkan ketuhanan. Hakikatnya tidak salah kerana taman-taman asuhan itu dibina untuk bangsa mereka yang beragama kristian. Tetapi, kenapakan ibu bapa Melayu Muslim yang berminat dan menyokong pendidikan mereka? Adakah kerana mereka menawarkan pakage love for learning, loving and caring telah mengaburkan mata ibu bapa Muslim? Sedarkah ibu bapa, apakah nilai-nilai yang diterapkan terhadap akhlak dan i’tikad anak-anak mereka? Saya merayu kepada ibu bapa agar melakukan kajian dan penelitian terlebih dahulu tentang silibus pendidikan sebelum menghantar anak-anak ke mana-mana tempat yang diingini. Walaupun tujuan utama anak-anak dihantar adalah atas asas penguasaan bahasa namun bimbangkan juga akan asas aqidah yang akan menjadi pendinding dan tunjang masa depan mereka. Persaingan ekonomi di zaman akan datang sememangnya semakin hebat dan sengit. Penguasaan bahasa sedikit sebanyak akan membantu mereka dalam persaingan itu. Namun, jangan sampai menggadaikan aqidah dan tauhid mereka.

Ibu bapa perlu merenung lebih jauh kehadapan akan masa depan anak-anak. Masa depan bukan hanya di dunia semata-mata, malah masa depan akhirat yang utama. Inilah pelaburan kita yang perlu diambil kira. Seharusnya anak-anak kecil ini dihantar ke taman asuhan/ kindergarten yang menerapkan nilai-nilai kehidupan sebagai Muslim. Ketika inilah pentingnya ibu bapa Muslim membentuk anak-anak kecil melalui biah solehah. Semoga anak-anak terdidik dalam suasana yang mendorong mereka menjadi Muslim pintar yang diredhai Allah s.w.t. Inilah pelaburan masa hadapan kita.

*Bagi kindergarten yang berteraskan nilai-nilai Islam, lakukan sesuatu yang lebih advance untuk membuktikan pendidikan Islam adalah yang terbaik.


Free Template Blogger collection template Hot Deals BERITA_wongANteng SEO

Jumaat, 25 Disember 2009

Kembali Ke Rumah

1 ulasan
Semuanya sudah kembali seperti biasa. Kami sudah pulang ke rumah Di Butterworth. Suami juga sudah menyelesaikan kursus di UUM. Miliar Mubaarak buat abang. Aha, sebulan bukannya masa yang lama kan? J Terima kasih juga buat Kak Samihah dan Abang Asri sekeluarga kerana mengizinkan kami menetap di Kuala Perlis, Negeri Perlis Darussunnah.

Pulang ke rumah, kami menjalankan operasi membersih dan mencuci. Debu-debu halus yang berterbangan boleh mengakibatkan kesihatan terjejas. Sakit kerongkong, sakit dada dan batuk. Begitulah fenomena yang berlaku jika rumah di tepi jalan besar. Sebelum pulang, sempat kami singgah ke Giant Sungai Petani membeli keperluan rumah. Lubna cukup gembira dan seronok bila singgah di sini. “Ayennnn (Giant)” Kata Lubna dengan nada yang ceria dan seronok. :) Dia akan mula menangis bila kami sekadar melalui tanpa singgah di situ.

Letih juga mengelap lantai yang berdebu, mencuci tingkap-tingkap yang dipenuhi habuk serta me’roboh’kan sawang-sawang al-ankabut . Lubna terpaksalah dihantar ke rumah Mak Njangnya. Jika tidak, pasti dia akan sama-sama membantu kami menyelesaikan operasi mencuci ini. Lubna memang anak yang rajin :)

Kini, semuanya akan kembali seperti biasa. Sesi persekolahan akan bermula tidak lama lagi. Semoga semuanya berjalan dengan baik. Saya sudah tidak sabar untuk bertemu dengan sahabat-sahabat seangkatan. Pasti banyak pengalaman yang mahu dikongsi sepanjang bercuti.

Free Template Blogger collection template Hot Deals BERITA_wongANteng SEO

Ahad, 20 Disember 2009

Salji Oh Salji.. :)

4 ulasan
Subhanallah, indahnya molekul salji ini.

Jeles betul bila melihat gambar sahabat-sahabat bermain salji. Sekarang musim salji di sana. Nampaknya tahun ni salji turun dengan lebat juga. Syok juga kalau Malaysia ni ada salji kan.. (manusia ni memang macam tu. Apa yang ada..jarang disyukuri, apa yang tiada..aha, sambung sendiri ye.) Bila lah agaknya boleh bawa Lubna pergi main salji di sana. Pepatah menyatakan jauh berjalan, luas pengalaman..benarkan? Banyak perkara yang kita boleh temui dan jadikan iktibar dalam kehidupan. Kerana itu Allah a.w.t berfirman:



أَوَلَمۡ يَرَوۡاْ ڪَيۡفَ يُبۡدِئُ ٱللَّهُ ٱلۡخَلۡقَ ثُمَّ يُعِيدُهُ ۥۤ‌ۚ إِنَّ ذَٲلِكَ عَلَى ٱللَّهِ يَسِيرٌ۬ (١٩) قُلۡ سِيرُواْ فِى ٱلۡأَرۡضِ فَٱنظُرُواْ ڪَيۡفَ بَدَأَ ٱلۡخَلۡقَ‌ۚ ثُمَّ ٱللَّهُ يُنشِئُ ٱلنَّشۡأَةَ ٱلۡأَخِرَةَ‌ۚ إِنَّ ٱللَّهَ عَلَىٰ ڪُلِّ شَىۡءٍ۬ قَدِيرٌ۬ (٢٠)

Tidakkah mereka melihat dan memikirkan bagaimana Allah mencipta makhluk-makhluk pada mulanya, kemudian Dia akan mengembalikannya (hidup semula sesudah matinya)? Sesungguhnya yang demikian itu amatlah mudah bagi Allah. (19) Katakanlah: Mengembaralah kamu di muka bumi, serta lihatlah bagaimana Allah telah memulakan ciptaan makhluk-makhluk dari asal jadinya; kemudian Allah akan memulakan ciptaan itu semula (pada hari akhirat) dalam bentuk kejadian yang baru. Sesungguhnya Allah Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu. (Surah Al-Ankabut: 19-20)

Saya tidak mempunyai pengalaman bermain salji. Tapi mempunyai cerita dan pengalaman mahu ‘menemui’ salji. Ketika itu usia baru mencecah umur 20 tahun. Masih menuntut di Kolej. Kesempatan menjadi perwakilan KUSZA ke Persidangan Mahasiswa Islam sempena Ihtifal Sab’iina Sanah PMRAM di Kaherah, mencetuskan idea kepada saya untuk melakukan sesuatu bagi memenuhi impian . Selesai persidangan (hampir seminggu), sebahagian perwakilan dari pelbagai Negara (termasuk Malaysia, Jordan, Jepun, Amerika dll) sudah berangkat pulang. Memandangkan cuti semester masih panjang, saya dan sahabat saya Siti Nurul Hafizah (kini sudah menetap di London) mengambil keputusan untuk ke Jordan. Sahabat perwakilan dari Jordan memberitahu bahawa Jordan ketika itu mengalami musim sejuk. Wah! Hati sungguh teruja.

Dengan baki duit yang masih ada, kami mengambil keputusan mengikuti rombongan ke Jordan melalui jalan darat dan air. Merentasi sahra’ (padang pasir) ke Port Aqabah di Semenanjung Sinai, Mesir dan menyeberangi Laut Merah ke Port Nuweiba’ di Jordan adalah satu pengalaman yang terpahat kuat di ingatan. Saat itu saya belum mengenal hukum Safar Mar’ah. Lantas, semuanya menjadi satu pengalaman yang menyeronokkan. Semuanya semata-mata kerana mengejar salji. :)

Perjalanan yang sepatutnya mengambil masa tidak sampai sehari akhirnya mengambil masa 24 jam untuk sampai ke Jordan. Semuanya gara-gara kapal laut yang dinaiki kehabisan minyak tengah-tengah Laut Merah! Terpaksalah menunggu kapal lain menghantar bekalan minyak. Terlalu faudho (feudal)! Tidak bersistem. Begitulah hakikatnya orang-orang Arab. Sebab itulah Nabi Muhammad diutuskan kepada kaum Arab.

Jordan


Baiklah, sampai di Republic Hashemite of Jordan, memang sejuk. Berapa darjah celcius yer..saya sendiri pun lupa. Dah lama. Perjalanan diteruskan sehingga ke Aman ibu kota Jordan. Tetapi, hampa bila salji telah pun cair. Alahai..Mana salji?!! Mana frost?!!! Saya sudah terbayang bagaimana indahnya salji yang mengandungi struktur molekul yang sangat cantik seperti sebuah reka bentuk geomatri yang sangat menarik. Akhirnya hampa bila semuanya tidak dapat dinikmati. (Ni sebab terpengaruh dengan gambar-gambar dalam mausu’ah/ensiklopedia yang dibaca lah ni. Ketika tu internet belum famous lagi)

Yang tinggal hanyalah sedikit kesan yang menunjukkan musim sejuk kini mula berakhir. Kami ke Suwaileh, penempatan student Malaysia. Tak mengapalah salji tidak sudi menemui kami, sekurang-kurangnya kami merasai kesejukan di Jordan. Menggigil juga kami dibuatnya. Maklumlah, itu pengalaman pertama.

Begitulah pengalaman kami mencari salji masa muda-muda dulu ;). Allah belum mengizinkan saya menemuinya walaupun sahabat saya (Siti Nurul Hafizah) kini sedang menikmati panorama salji turun di London ketika ini. Akhirnya, kami pulang ke Malaysia beberapa minggu selepas itu dengan rasa sedikit rasa hampa kerana hajat kami yang belum kesampaian. Namun berasa gembira kerana masih berpeluang menziarahi Bahru al-Mayyit (Laut Mati), Maqam-maqam Auliya’ (Makam para Nabi), al-Ahram (piramid) dan juga menziarahi serta mengikuti kuliah-kuliah sebagai mustami’ di Jamiah-jamiah (universiti-universiti) di Jordan dan di Mesir sebelum pulang. Antaranya Al-Jami’ah Al-Urduniyyah (University of Jordan) dan Jami’ah Al-Azhar. Semoga dipanjangkan umur menikmati Panorama salji turun pada masa yang akan datang. :)

*Kenangan di alam pengajian.
p/s: Ummu Nashwa, kak faten, kak hamizah dan irma dll...ambil gambar main salji dan panorama salji turun banyak2 ye. :)


Free Template Blogger collection template Hot Deals BERITA_wongANteng SEO

Jumaat, 18 Disember 2009

Di Celah-celah Kebahagian Itu..

1 ulasan
Tahun baru hijrah kini bermula. Setiap insan mengharapkan sinar yang semakin bermakna dalam kehidupan. Di celah-celah kebahagiaan dan kegembiraan insan-insan terpilih, saya teringat seorang sahabat (sejak di SMKA Sheikh Abdul Malek, Kuala Terengganu) hari ini merenung jauh masa depannya dan anak-anaknya. Abdul Rahman Al-Fawwaz, anak lelakinya yang berusia 1 tahun 6 bulan, menanti saat untuk dipulihkan. 24hb Disember tahun ini (beberapa hari sahaja lagi) merupakan antara tarikh bersejarah buat dirinya lagi. Abdul Rahman akan dibawa ke dewan bedah di Hospital Kubang Kerian. Umminya setiap detik mendoakan agar anaknya sihat seperti anak-anak kecil yang lain.

Setiap kali pulang ke kampung di Gong Badak Terengganu, saya pasti akan meluangkan masa ke rumah sahabat ini di Manir. Masih tergambar bagaimana riang dan gembiranya Abdul Rahman bila melihat Lubna. Dia tersenyum bila Lubna datang menghampiri. Lubna menyentuhnya dan menciumnya. “Baby..” Kata Lubna. Lubna tidak tahu bahawa mereka sebaya. Abdul Rahman pula seolah-olah mahu menguatkan diri agar boleh bangun. Jika dia berupaya, pasti mereka berdua akan bermain dan berkejaran ke sana ke mari. Alangkah indahnya saat itu.

Walaupun anak kedua sahabat saya ini mengalami pendarahan otak ketika dilahirkan pada Jun 2008 (sekarang menyebabkan kepalanya membesar akibat cecair dalam kepala, dan tidak dapat bangun/berjalan) sahabat saya ini tetap tabah. Begitu kental semangat dan kesabaran yang Allah s.w.t berikan kepadanya. Tidak pernah walau sekali saya melihat air matanya berlinang di matanya, apalagi mengalir bercucuran menangisi nasib yang menimpa diri. Malah, saya pula yang berasa sebak.

Lebih syahdu dan pilu apabila semuanya terpaksa ditanggung bersendirian bertemankan anak sulungnya Najibatun Naimah yang baru sahaja mula mengenal erti kehidupan. Walaupun baru berusia 3 tahun, dia sudah memahami keadaan umminya. Sekali pandang, air muka Najibatun Naimah lebih matang daripada kanak-kanak yang lain. Betapa Allah s.w.t Maha Adil.

Umminya bertanya, “Najibah.. abi mana? “
Najibah, “Abi tak dok. Dah mati. Najibah nak jaga adik.”
Umminya bertanya lagi: “Najibah sayang adik tak?”
Najibah: “Sayanglah.. Adik sakit. Ummi..” Panggil Najibah manja.

Saya menggosok-gosok kepala Najibah. Saya tahu, Najibah akan bantu umminya. Najibah anak yang pandai, anak yang tabah seperti umminya.

Alangkah bertuahnya kita semua kerana mempunyai suami yang mengasihi dan sentiasa di samping mengemudi rumah tangga yang dibina. Alangkah beruntungnya kita kerana dikurniakan anak-anak yang sihat dan pandai menjadi penyeri kehidupan. Sahabat saya ini, baru beberapa tahun mendirikan rumah tangga, ketika melahirkan anak kedua, suaminya disahkan mengidap penyakit kanser paru-paru. Dia sendiri terkesima. Tanda-tanda awal batuk berlanjutan dan sukar pulih tidak disangka begitu jadinya. Suaminya diberikan rawatan di Hospital Nur Zahirah dan Hospital Kubang Kerian untuk rawatan pakar. Terlalu pantas segala yang terjadi. Tidak sampai 2 bulan, dia dijemput Ilahi. Innalillahi wa inna ilaihi raajiunnn. Saya sendiri tidak kenal arwah, tetapi pernah melihatnya dari jauh ketika sahabat saya itu datang berziarah ke rumah ketika saya melahirkan Lubna pada Mac 2008. Wajahnya bercahaya, petunjuk sebagai orang yang soleh. Merupakan graduasi dari Mahaad at-Tahfiz wa al-Qiraah di Shubra, Mesir. Satu bonus yang cukup besar buatnya. Mudah-mudahan, arwah berada di kalangan para solihiin dan muttaqiin. Amin.


Begitulah saya menceritakan kisah sedih di sebalik kebahagiaan kita semua. Bersyukurlah dengan apa yang Allah kurniakan kepada kita semua. Mudah-mudahan Allah limpahkan lagi rahmat dan kasih sayangNya buat kita kerana kesyukuran itu.

وَإِذۡ تَأَذَّنَ رَبُّكُمۡ لَٮِٕن شَڪَرۡتُمۡ لَأَزِيدَنَّكُمۡ‌ۖ وَلَٮِٕن ڪَفَرۡتُمۡ إِنَّ عَذَابِى لَشَدِيدٌ۬

“Dan (ingatlah) ketika Tuhan kamu memberitahu: Demi sesungguhnya! Jika kamu bersyukur nescaya Aku akan tambahi nikmatKu kepada kamu dan demi sesungguhnya, jika kamu kufur ingkar sesungguhnya azabKu amatlah keras.”
(Surah Ibrahim : 7)

Kepada sahabat saya Ustazah Nur Izyan Nadiah, tabahkah hati meneruskan kehidupan. Kami semua akan mendoakan kesejahteraan buat ustazah dan anak-anak.



Free Template Blogger collection template Hot Deals BERITA_wongANteng SEO