Free Template Blogger collection template Hot Deals BERITA_wongANteng SEO
Khamis, 5 November 2009
Melentur Buluh Biar Dari Rebungnya
Free Template Blogger collection template Hot Deals BERITA_wongANteng SEO
Isnin, 2 November 2009
Nostalgia Ayam

“Aha, Lubna…dah balik pun.”
“Alammm..” Lubna menghulurkan tangan mahu bersalam.
Saya menyambutnya. “Solehah betul anak mama ni.”
Suami saya yang mengambil Lubna hari ini. Hampir dua minggu suami saya mengambil alih tugasan saya. Menghantar dan mengambil Lubna ke rumah pengasuhnya.
“Ada berita baik!” Suami saya berkata dengan senyum yang lebar.
Itulah ayat yang membuatkan saya berasa begitu teruja.
“Ada apa abang?” Tanya saya.
“Ayam dah mati.”
“Hahh?” Terbeliak mata saya mendengar berita itu.
Saya tersenyum.
“Selamat.. “Itulah kata-kata yang terkeluar dari mulut saya.
“Kenapa? Bila mati?” Saya bertanya lagi, mahu mengetahui lebih lanjut.
“Tuan Haji kata mungkin termakan racun. Mati kelmarin.” Suami menjelaskan.
“Oooo…”
Tiba-tiba, rasa gembira dan sedih tiba-tiba berbaur.
Gembira kerana saya tidak lagi dibelenggu rasa takutkan ayam itu.
Manakan tidak, ayam itulah yang selalu menghambat saya apabila saya melalui kawasan rumah Tuan Haji menghantar anak ke rumah pengasuh. Tidak pernah saya mengganggu ayam itu, tetapi pantang ayam itu melihat saya. Dari jauh lagi, ayam itu akan ‘berlari’ untuk menyerang. Apa salahku..Lubna pula, setiap kali saya mendukungnya melalui kawasan itu, dia akan memeluk saya dengan erat.
“Takut ayam…” Katanya dengan penuh rasa cemas.
Sedih juga kerana baru kelmarin saya nampak ayam itu di hadapan rumah. Tetiba dah mati. Tuan haji tu pun tahu saya dah lama tidak melewati rumahnya kerana takut diserang ayam. Bimbang juga saya kalau-kalau kematian ayam itu difikirkan kerana saya yang meracuni ayam itu. Saya tak bersalah, kenapa rasa takut? Saya memujuk hati yang mula membuat pelbagai andaian.
Lubna pula hari ini, walaupun ayam dah mati, dia tetap hilang keyakinan untuk bersama saya ke rumah pengasuhnya. Lubna tetap mahu didukung babanya kerana berasa lebih selamat dan yakin. Saya terpaksa mengambil inisiatif memulihkan keyakinan Lubna selepas ini.
Kenangan bersama ayam jantan Tuan Haji pasti menjadi nostalgia indah di dalam hidup saya sepanjang membesarkan Lubna. Kami pernah sama menjerit meminta pertolongan. Dipatuk beberapa kali di kaki. Ketika itu saya mendukung Lubna. Dua-dua menjerit. Kebetulan suami saya masuk ke dalam rumah. Terkejut juga apabila mendengar Lubna menjerit kuat memanggil Baba. Alhamdulillah, suami saya datang membantu menghalau ayam yang pening itu.
Sebenarnya, Allah menciptakan ayam jantan dengan kewajipannya di Subuh hari mengejutkan insan-insan yang masih berselimut. Terlalu ramai manusia yang lena dibuai mimpi sehingga matahari terbit di ufuk timur. Syaitan membelenggu mereka. Subuh entah ke mana… Lena lebih diutamakan daripada menunaikan kewajipan kepada Allah s.w.t. Pagi ini, saya tidak lagi terjaga kerana mendengar kokokan ayam Tuan Haji kerana ayam itu sudah mati. Moga Tuan akan membela ayam yang soleh untuk kembali berkhidmat untuk kami semua. :)
Free Template Blogger collection template Hot Deals BERITA_wongANteng SEO
Sabtu, 31 Oktober 2009
Mama Lubna Ice Blended
Bersempena Hari Kokurikulum di sekolah, Persatuan Agama Islam dan Bahasa Arab membuka satu gerai. Rupa-rupanyanya seronok juga berniaga ni di samping mencari pendapatan tambahan untuk persatuan. Tahun depan banyaklah sedikit peruntukan untuk menjalankan program-program agama di sekolah.
Ketika membincangkan apa yang akan diniagakan, saya memberikan cadangan menjual jagung rebus (buah kegemaran Lubna) dan ice blended. Manakala seorang lagi sahabat kami, mencadangkan bihun sup. Semuanya bersetuju sebulat suara!
Ustazah Khadijah sedia merebus Jagung Rebus Special.
Pelajar-pelajar turut membantu di gerai. Rajin betul pelajar ustazah ni..
Mama Lubna Ice Blended pun tidak disangka-sangka mendapat sambutan yang hangat. Biasalah, murid-murid yang penat bermain, mestinya haus. Tekak yang kering mahu dibasahi dengan ice blended yang menyegarkan.
Di samping tu, macam-macam permainan ada, playland, horse ride, clown show dan ada juga cabutan bertuah. Murid-murid apa lagi, bermainlah! Lagipun exam baru habis. (Teringat zaman sekolah dulu)..
Seronok juga dapat naik kuda. Berkuda ni sebenarnya antara sukan yang dianjurkan oleh Nabi s.a.w untuk dipelajari.
Inflatable Play Land antara permainan yang mendapat sambutan yang amat meriah. Lihatlah mereka bermain..:)
Sebenarnya, Ice Blended ni saya dapatkan idea daripada suami. Resepinya diminta daripada seorang pelajarnya di sekolah. Lalu saya namakan dengan Mama Lubna Ice Blended untuk dikomersialkan. Nak rasa? Boleh cuba resepi ni.
MAMA LUBNA ICE BLENDED
Bahan-bahan
Ais
Susu pekat manis
Perisa
Air gula
Air
Ice cream
Chocolate rice
Cara membuat
Masukkan ais , 4 sudu besar susu pekat manis, 2 sudu air gula, 2 sudu perisa, dan sedikit air ke dalam blender.
Kisar semuanya hingga hancur
Tuang ke dalam cup/gelas
Hiaskan dengan ice cream dan chocolate rice
Senang saja. Cubalah..:)
Akhir sekali, acara mengira jumlah pendapat hasil jualan. Agak lumayan. :)
Free Template Blogger collection template Hot Deals BERITA_wongANteng SEO
Isnin, 26 Oktober 2009
Betul Ke Hobi Kita Membaca?
Bagi saya, minat dan hobi adalah = (baca: bersamaan) dengan sebatian yang ada dalam diri. Tidak dapat dipisahkan. Pertama, seumpama sebatian garam. Unsur-unsur natrium dan klorida disebatikan lalu menjadi natrium klorida iaitu garam. Jika unsur-unsur ini terpisah, maka kita tidak boleh menamakannya garam. Kedua, umpama orang yang minat memasak. Dia bukan sahaja akan memasak apa yang dia tahu, tetapi dia turut akan mencari resepi-resepi baru untuk dicuba. Malah, lebih menarik jika dia tidak akan melepaskan peluang menghadiri kursus-kursus masakan yang dianjurkan oleh mana-mana pihak. Masakan yang dimasak lalu dihidangkan akan mendatangkan kepuasan buat dirinya. Sungguh menarik, bukan?
Saya cuba mendatangkan satu contoh yang paling dekat dengan saya. Suami saya berkata bahawa membaca itu lazat. Dia dapat ‘menikmati’ sebuah buku yang dibacanya dengan senang hati. Barangkali ibarat makan ikan bakar dan ikan kukus agaknya. Bila sahaja buku dibuka untuk dibaca, dia akan terus membaca dan terus membaca sehinggalah ada gangguan yang memaksanya berhenti membaca. Walaupun kadang-kadang dia hanya sekadar ingin membelek buku yang dibacanya, tetapi akhirnya buku itu akan dihabiskan sehingga ke muka surat yang terakhir. Begitu juga ketika menaiki bas, tiada apa yang dirisaukannya sekiranya ada sebuah buku yang boleh dibaca. Sebuah buku yang kira-kira 200-300 muka surat boleh dinikmati sepanjang perjalanan dari Penang-Kuala Lumpur. Bagi saya, itu barulah dikatakan hobi membaca.
Pun begitu, saya percaya minat itu boleh dipupuk. Seseorang boleh melatih dirinya sendiri untuk meminati sesuatu. Menetapkan jumlah buku yang akan dibaca dalam seminggu dan memilih buku-buku yang agak menarik adalah antara usaha yang boleh dilakukan untuk memupuk budaya membaca. Jika masyarakat Jepun boleh melakukannya, kenapa tidak kita? Sebenarnya Islam adalah agama yang amat indah dan sempurna. Lihatlah bahawa wahyu pertama yang diturunkan adalah Iqra’ (bacalah). Seruan membaca itu adalah seruan pertama yang disebarkan kerana al-Qiraah (membaca) itu pintu segala ilmu dan ma’rifat. Firman Allah s.w.t. di dalam al-Quran:
اقْرَأْ بِاسْمِ رَبِّكَ الَّذِي خَلَقَ
Bacalah dengan nama TuhanMu yang menciptakan.
Kemunculan tamadun terawal dunia seperti pembinaan Tamadun Mesopotamia yang terletak di antara Sungai Tigris dan Euphrates sememangnya berdiri di atas pembinaan asas-asas ilmu yang kuat. Yang paling hebat, pembinaan Tamadun Islam yang unggul sehingga umat Islam berjaya menakluki 2/3 dunia satu ketika dahulu, semuanya berlandaskan kepada keimanan dan ketaqwaan kepada Allah s.w.t. Inilah asas ilmu yang perlu dihayati dan diterokai oleh umat Islam hari ini.
Saya masih ingat bahawa pernah pernah berlaku statistik yang menjelaskan kepada kita bahawa purata rakyat Malaysia membaca hanya satu muka surat dalam setahun. Tetapi saya tidak pasti statistik tahun berapakah yang saya catatkan di sini. Namun diharapkan, ada peningkatan terhadap statistik ini. Amat rugilah bagi masyarakat yang malas membaca. Jika masyarakat Jepun boleh membudayakan membaca dalam kehidupan, mengapa tidak kita? Saya juga perlu melakukan transformasi terhadap minat saya. Bukan bermakna mencari hobi yang lain, tetapi mencari jalan menjana minat yang saya katakana selama ini iaitu membaca.
Menyentuh sedikit tentang memupuk minat membaca di kalangan anak-anak kecil. Melentur buluh biarlah dari rebungnya. Sebagai ibu bapa, saya dan suami juga cuba menerapkan amalan membaca terhadap anak kecil kami Lubna. Kami merasa gembira apabila impian kami menjadi kenyataan. Usia seawal 1 tahun 7 bulan, Lubna sudah merasai kelazatan membaca. Begini ceritanya.
Free Template Blogger collection template Hot Deals BERITA_wongANteng SEO
Khamis, 22 Oktober 2009
Nostalgia Pulau Sayak
Petang semalam, perjalanan menelusuri sawah padi yang menghijau menyejukkan minda dan mata yang sekian lama keletihan. Setiap hari, saya sering menonton sketsa kehidupan yang sudah semakin jauh daripada norma-norma kesopanan dan kesusilaan. Jalan raya ibarat litar lumba F1. Menyelit di sana sini. Langsung tidak memikirkan keselamatan pengguna yang lain. Nyawa manusia semakin menyusut nilainya sedangkan agama mengangkat nilai nyawa setaraf dengan nilai akal dan agama. Semuanya berbalik kepada penghayatan agama. Manusia sudah lupa atau buat-buat lupa?
Kedamaian angin yang bertiup sepoi-sepoi bahasa petang itu sungguh menyamankan. Kami kini sudah berada jauh dari hiruk pikuk sebuah kota yang menghadapi masalah konflik jati diri dan budi. Pagi tadi saya gusar memikirkan nasib pelajar muslim hari ini. Kes disiplin pelajar di sekolah, amat membimbangkan. Saya masih ingat satu peristiwa pada minggu lepas. Seorang bapa menyerang guru di sekolah lantaran menegur anaknya yang mencukur kening dan mencuri duit guru. Pelik! Sesuatu yang agak terbalik, bukan? Bercelaru semuanya. Guru pula yang diherdik. Ah, lupakan buat sementara! Minda ini mahu beristirehat.
Petang itu kami ke Pulau Sayak. Sambil melihat keagungan kuasa Tuhan dalam mengatur sistem pertukaran siang dan malam, dapat jugalah suami saya menikmati sepinggan mee udang Pulau Sayak. Udangnya besar-besar dan segar. Saya pula masih belum berani menyentuh mee. Mengikut petua orang-orang tua di utara, pantang mee sehinggalah membawa kandungan yang seterusnya. Bagi saya tidak salah mengikut petua ini kerana demi kebaikan diri saya juga. Seandainya sakit, saya jualah yang akan menanggungnya.
"(Dengan ketentuan yang diberikan oleh Allah) Matahari tidak mudah baginya mengejar bulan dan malam pula tidak dapat mendahului siang kerana tiap-tiap satunya beredar terapung-apung di tempat edarannya masing-masing.”
Malah sungguh mengasyikkan apabila direnungi dan dikaji dengan lebih mendalam. Umat Islam terdahulu seperti al-Biruni, al-Farabi, al-Khawarizmi dan al-Kindi adalah antara golongan ulul albab yang amat dikagumi. Mereka memerhati, mengkaji dan mengaitkan semuanya dengan kekuasaan Tuhan. Nah, akhirnya iman di hati bertambah dan mereka semakin tunduk dan tawadhu’ kepada Yang Esa.
Saya memerhatikan sekumpulan burung-burung berterbangan di udara menuju ke sarang masing-masing. Mereka memahami seruan alam. Siang mencari rezeki, sedangkan malam adalah waktu beristirehat dan bermunajat. Fitrah alam itu sesuatu yang indah. Namun, kini ramai manusia yang menongkah arusnya. Bagi mereka, malam adalah pesta yang perlu diraikan. Merempit, berdisko, melanggan perempuan murahan menjadi sesuatu yang tidak lagi jelik. Malah amat menyedihkan apabila ada segelintir manusia yang merasa bangga dengan melanggar hukum dan perintah Allah tanpa mengambil kira dosa dan pahala. Mereka lupa akan kehidupan di alam sana.
Saya gembira melihat kepuasan di wajah suami yang dapat melihat dan merasai suasana senja di Pulau Sayak. Katanya, di situlah nostalgia pahit manisnya sewaktu kanak-kanak membantu ayah mencari rezeki di perairan itu demi sesuap nasi. Di situlah sesekali apabila menahan bubu anak ikan kerapu, hasilnya dijual kepada penternak ikan dalam sangkar di muara Sungai Merbok. Itulah antara hasil yang agak lumayan untuk membeli keperluan harian dan menanggung persekolahan anak-anak ayah. Hanya mereka yang melaluinya sahaja yang merasai keperitan dan kesusahan yang berputar di atas roda kehidupan. Semuanya menjadi pengalaman hidup yang kini menjadi lipatan sejarah kehidupan yang tidak ternilai harganya.
Free Template Blogger collection template Hot Deals BERITA_wongANteng SEO
Rabu, 21 Oktober 2009
Kembali Membuka Lembaran Baru
Oleh sebab itulah, pena ini sudah lama tidak menari riang di lembaran kehidupan. Tempoh menyepi adalah satu tempoh kegelapan. Barangkali dakwat pena yang pernah saya miliki pun sudah kering. Pena pun entah ke mana menghilang. Saya kini meraba-raba mencari sekeping hati yang kuat dan tidak mengenal erti jemu dan putus asa. Saya perlu memulakan langkah yang baru. Seperti seorang bayi yang baru mengenali alam ini. Begitulah diri saya, terpaksa belajar untuk meniarap, merangkak, bertatih untuk berjalan dan diharapkan dapat berlari semula bersama teman-teman seangkatan. Tidaklah mengharapkan menjadi yang terbaik, sekurang-kurangnya dapat merasai keseronokan dan kepuasan yang pernah dirasai suatu ketika dahulu.
Kini, saya menggambarkan satu medan yang sangat luas perlu saya terokai. Memerlukan kesabaran yang bukan sedikit. Kenapa tidak saya menggambarkan medan Mu’tah yang pernah saya lewati suatu ketika dahulu di bumi Syam sebagai gambaran keluasan yang tidak berpenghujung. Penuh keunikan dan kehebatan yang perlu diterokai sendiri. Keunggulan Zaid bin Harithah sebagai panglima angkatan Islam, keberanian Jaafar bin Abi Thalib menentang musuhnya, dan keunggulan Abdullah bin Rawaahah memimpin pasukannya. Itu semua perlu saya renungi.
Panggilan hati untuk membina blog adalah antara usaha awal yang menarik saya untuk berlatih meniarap di alam penulisan ini. Semoga jari-jari ini akan berupaya menyusun ayat-ayat ringkas bagi memanaskan kesejukan yang sekian lama menyengat jari-jari ini. Seumpama ‘krem’ di musim syitaa’.
Free Template Blogger collection template Hot Deals BERITA_wongANteng SEO
Sabtu, 17 Oktober 2009
Majlis Pertunangan Ahmad Mawardi-Balqis
Indahnya Islam apabila membincangkan topik perkahwinan. Seorang sahabat nabi s.a.w pernah menyatakan hasrat untuk bernikah tetapi tidak mempunyai wang dan harta yang banyak.
اُنْظُرْ وَلَوْ خَاتَمًا مِنْ حَدِيد
Ya, nabi s.a.w tetap tidak menegah untuk para Sahabat meneruskan niat mendirikan ‘masjid’ walaupun 'miskin' hartanya. Malah Nabi s.a.w menyarankan agar diteruskan niat baik itu walaupun dengan hanya memberikan sebentuk cincin besi.
Jauh langit dengan bumi jika kita mahu dibandingkan dengan mentaliti masyrakat kita hari ini. Jika tiada cincin emas yang bertatahkan berlian, tiada duit hantaran dengan nilai tunai puluhan ribu, jangan dimimpi mahu meminang puteri impian. Memandang dengan sebelah mata pun mungkin dilarang. Apakah masyarakat kita hari ni sudah jauh dengan nilai-nilai Islam sebenar? Urusan perkahwinan menjadi beban kepada kepada pihak pengantin, tidak kira yang lelaki mahupun perempuan.
Namun, keluarga saya bersyukur dengan majlis peminangan kali ini. Ustaz Mohamad Sidiq memudahkan segala urusan peminangan puteri beliau sebagaimana yang dituntut oleh agama. Ini bukanlah bermakna hanya dengan memberikan sebentuk cincin besi, tetapi tidak dibebankan dengan nilai wang untuk dimegahkan dan majlis yang gilang gemilang untuk dipertontonkan. Alhamdulillah, semoga hajat mendirikan rumah tangga dipermudahkan sehingga ke akhirnya.
Tahniah buat Mawardi dan Balqis. Ingatlah satu pesanan, pertunangan bukan tiket untuk bebas melakukan sesuatu yang belum dihalalkan syariat. Ambillah peluang ini untuk melengkapkan diri dengan ilmu rumahtangga sebagai bekalan melangkah ke alam baru. :)
Rombongan lelaki menuju ke Seri Iskandar, Perak untuk menyunting bunga di taman :)
Barang hantaran sebagai hadiah dari pihak lelaki khas untuk bakal pengantin perempuan
Kita dah sampai di rumah Ustaz Mohamad Siddiq.
Acara kemuncak, menyarung cincin di jari, tanda ikatan pertunangan antara dua insan.
Balqis bergambar kenangan bersama ibu dan bakal ibu mertua.
Lubna bergambar kenang-kenangan bersama baba di luar homestay yang disewa
Seronok Lubna dapat jumpa aki dan tokmi serta tok chik.
Free Template Blogger collection template Hot Deals BERITA_wongANteng SEO
