Ahad, 27 Disember 2009

Pelaburan Masa Hadapan

2 ulasan
Anak-anak Solehah impian setiap ibu bapa

Menjelang sesi persekolahan 2010, ibu bapalah orang yang paling sibuk menyediakan kelengkapan anak-anak. Bagi yang mempunyai anak yang ramai yang masih bersekolah, sudah tentu di saat inilah mereka sedang menggaru-garu kepala yang tidak gatal itu. Seluk poket kanan kosong. Kiri juga kosong. Bank? Orang lain punya wang adalah! :) Pakaian, kelengkapan alat tulis, yuran dan pelbagai jenis pembayaran perlu dijelaskan. Namun, bagi yang sudah menabung dari awal, pasti terasa ringan sedikit beban di awal tahun ini. Ketika ini jugalah ibu bapa mencari sekolah yang terbaik untuk menjana pendidikan anak-anak. Majoritinya mendaftarkan anak-anak mereka ke sekolah aliran kebangsaan. Bagi yang agak berada atau dengan kata lain mempunyai poket yang agak tebal, sekolah-sekolah swasta menjadi pilihan mengikut citarasa masing-masing. Ada yang memilih sekolah swasta aliran Inggeris, Cina, dan Agama.

Di sebalik suasana kesibukan masing-masing memilih aliran pendidikan anak-anak, saya ingin melahirkan sedikit rasa agak pelik dengan senario ibu bapa Muslim yang memilih Non-Muslim Kindergarten sebagai arena pendidikan awal anak-anak mereka. Saya yakin, impian ibu bapa adalah menggunung tinggi agar anak-anak berupaya menguasai bahasa. Namun, sedarkah kita bahawa sistem pendidikan mereka bukan sahaja berteraskan bahasa, tetapi juga bersandarkan nilai-nilai agama dan aspek ketuhanan yang dianuti. Ini terbukti apabila sesetengah kindergarten ini dibina bersebelahan church yang tersergam megah di sesebuah kota. Persoalan-persoalan yang saya timbulkan di fikiran, adakah di Malaysia tidak mempunyai sekolah-sekolah pilihan bagi anak-anak Melayu Muslim bagi mendapatkan pendidikan terbaik menurut acuan Islam? (Hakikatnya sudah banyak Islamic Kindergarten antaranya PASTI, Iqra' Kindergarten, Dzul Iman Islamic Kindergarten, Tadika Atfal Kindergarten, Muslim Kindergarten dan banyak lagi) Atau sekadar mahu mencuba? Saya secara peribadi melihat situasi ini adalah sesuatu yang serius dan bukan saatnya untuk mencuba. Tiada istilah CUBA. Sedih juga apabila melihat fenomena ini tidak lagi menjadi isu sensitive di kalangan ibu bapa bahkan menjadi satu kebanggaan apabila anak-anak mendapat pendidikan awal di situ.

Menerapkan nilai-nilai Islam dalam pendidikan anak-anak. Gambar Hiasan.

Setiap pagi, anak-anak kecil Muslim bersama-sama menyanyikan lagu-lagu gereja yang berunsurkan ketuhanan. Hakikatnya tidak salah kerana taman-taman asuhan itu dibina untuk bangsa mereka yang beragama kristian. Tetapi, kenapakan ibu bapa Melayu Muslim yang berminat dan menyokong pendidikan mereka? Adakah kerana mereka menawarkan pakage love for learning, loving and caring telah mengaburkan mata ibu bapa Muslim? Sedarkah ibu bapa, apakah nilai-nilai yang diterapkan terhadap akhlak dan i’tikad anak-anak mereka? Saya merayu kepada ibu bapa agar melakukan kajian dan penelitian terlebih dahulu tentang silibus pendidikan sebelum menghantar anak-anak ke mana-mana tempat yang diingini. Walaupun tujuan utama anak-anak dihantar adalah atas asas penguasaan bahasa namun bimbangkan juga akan asas aqidah yang akan menjadi pendinding dan tunjang masa depan mereka. Persaingan ekonomi di zaman akan datang sememangnya semakin hebat dan sengit. Penguasaan bahasa sedikit sebanyak akan membantu mereka dalam persaingan itu. Namun, jangan sampai menggadaikan aqidah dan tauhid mereka.

Ibu bapa perlu merenung lebih jauh kehadapan akan masa depan anak-anak. Masa depan bukan hanya di dunia semata-mata, malah masa depan akhirat yang utama. Inilah pelaburan kita yang perlu diambil kira. Seharusnya anak-anak kecil ini dihantar ke taman asuhan/ kindergarten yang menerapkan nilai-nilai kehidupan sebagai Muslim. Ketika inilah pentingnya ibu bapa Muslim membentuk anak-anak kecil melalui biah solehah. Semoga anak-anak terdidik dalam suasana yang mendorong mereka menjadi Muslim pintar yang diredhai Allah s.w.t. Inilah pelaburan masa hadapan kita.

*Bagi kindergarten yang berteraskan nilai-nilai Islam, lakukan sesuatu yang lebih advance untuk membuktikan pendidikan Islam adalah yang terbaik.


Free Template Blogger collection template Hot Deals BERITA_wongANteng SEO

Jumaat, 25 Disember 2009

Kembali Ke Rumah

1 ulasan
Semuanya sudah kembali seperti biasa. Kami sudah pulang ke rumah Di Butterworth. Suami juga sudah menyelesaikan kursus di UUM. Miliar Mubaarak buat abang. Aha, sebulan bukannya masa yang lama kan? J Terima kasih juga buat Kak Samihah dan Abang Asri sekeluarga kerana mengizinkan kami menetap di Kuala Perlis, Negeri Perlis Darussunnah.

Pulang ke rumah, kami menjalankan operasi membersih dan mencuci. Debu-debu halus yang berterbangan boleh mengakibatkan kesihatan terjejas. Sakit kerongkong, sakit dada dan batuk. Begitulah fenomena yang berlaku jika rumah di tepi jalan besar. Sebelum pulang, sempat kami singgah ke Giant Sungai Petani membeli keperluan rumah. Lubna cukup gembira dan seronok bila singgah di sini. “Ayennnn (Giant)” Kata Lubna dengan nada yang ceria dan seronok. :) Dia akan mula menangis bila kami sekadar melalui tanpa singgah di situ.

Letih juga mengelap lantai yang berdebu, mencuci tingkap-tingkap yang dipenuhi habuk serta me’roboh’kan sawang-sawang al-ankabut . Lubna terpaksalah dihantar ke rumah Mak Njangnya. Jika tidak, pasti dia akan sama-sama membantu kami menyelesaikan operasi mencuci ini. Lubna memang anak yang rajin :)

Kini, semuanya akan kembali seperti biasa. Sesi persekolahan akan bermula tidak lama lagi. Semoga semuanya berjalan dengan baik. Saya sudah tidak sabar untuk bertemu dengan sahabat-sahabat seangkatan. Pasti banyak pengalaman yang mahu dikongsi sepanjang bercuti.

Free Template Blogger collection template Hot Deals BERITA_wongANteng SEO

Ahad, 20 Disember 2009

Salji Oh Salji.. :)

4 ulasan
Subhanallah, indahnya molekul salji ini.

Jeles betul bila melihat gambar sahabat-sahabat bermain salji. Sekarang musim salji di sana. Nampaknya tahun ni salji turun dengan lebat juga. Syok juga kalau Malaysia ni ada salji kan.. (manusia ni memang macam tu. Apa yang ada..jarang disyukuri, apa yang tiada..aha, sambung sendiri ye.) Bila lah agaknya boleh bawa Lubna pergi main salji di sana. Pepatah menyatakan jauh berjalan, luas pengalaman..benarkan? Banyak perkara yang kita boleh temui dan jadikan iktibar dalam kehidupan. Kerana itu Allah a.w.t berfirman:



أَوَلَمۡ يَرَوۡاْ ڪَيۡفَ يُبۡدِئُ ٱللَّهُ ٱلۡخَلۡقَ ثُمَّ يُعِيدُهُ ۥۤ‌ۚ إِنَّ ذَٲلِكَ عَلَى ٱللَّهِ يَسِيرٌ۬ (١٩) قُلۡ سِيرُواْ فِى ٱلۡأَرۡضِ فَٱنظُرُواْ ڪَيۡفَ بَدَأَ ٱلۡخَلۡقَ‌ۚ ثُمَّ ٱللَّهُ يُنشِئُ ٱلنَّشۡأَةَ ٱلۡأَخِرَةَ‌ۚ إِنَّ ٱللَّهَ عَلَىٰ ڪُلِّ شَىۡءٍ۬ قَدِيرٌ۬ (٢٠)

Tidakkah mereka melihat dan memikirkan bagaimana Allah mencipta makhluk-makhluk pada mulanya, kemudian Dia akan mengembalikannya (hidup semula sesudah matinya)? Sesungguhnya yang demikian itu amatlah mudah bagi Allah. (19) Katakanlah: Mengembaralah kamu di muka bumi, serta lihatlah bagaimana Allah telah memulakan ciptaan makhluk-makhluk dari asal jadinya; kemudian Allah akan memulakan ciptaan itu semula (pada hari akhirat) dalam bentuk kejadian yang baru. Sesungguhnya Allah Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu. (Surah Al-Ankabut: 19-20)

Saya tidak mempunyai pengalaman bermain salji. Tapi mempunyai cerita dan pengalaman mahu ‘menemui’ salji. Ketika itu usia baru mencecah umur 20 tahun. Masih menuntut di Kolej. Kesempatan menjadi perwakilan KUSZA ke Persidangan Mahasiswa Islam sempena Ihtifal Sab’iina Sanah PMRAM di Kaherah, mencetuskan idea kepada saya untuk melakukan sesuatu bagi memenuhi impian . Selesai persidangan (hampir seminggu), sebahagian perwakilan dari pelbagai Negara (termasuk Malaysia, Jordan, Jepun, Amerika dll) sudah berangkat pulang. Memandangkan cuti semester masih panjang, saya dan sahabat saya Siti Nurul Hafizah (kini sudah menetap di London) mengambil keputusan untuk ke Jordan. Sahabat perwakilan dari Jordan memberitahu bahawa Jordan ketika itu mengalami musim sejuk. Wah! Hati sungguh teruja.

Dengan baki duit yang masih ada, kami mengambil keputusan mengikuti rombongan ke Jordan melalui jalan darat dan air. Merentasi sahra’ (padang pasir) ke Port Aqabah di Semenanjung Sinai, Mesir dan menyeberangi Laut Merah ke Port Nuweiba’ di Jordan adalah satu pengalaman yang terpahat kuat di ingatan. Saat itu saya belum mengenal hukum Safar Mar’ah. Lantas, semuanya menjadi satu pengalaman yang menyeronokkan. Semuanya semata-mata kerana mengejar salji. :)

Perjalanan yang sepatutnya mengambil masa tidak sampai sehari akhirnya mengambil masa 24 jam untuk sampai ke Jordan. Semuanya gara-gara kapal laut yang dinaiki kehabisan minyak tengah-tengah Laut Merah! Terpaksalah menunggu kapal lain menghantar bekalan minyak. Terlalu faudho (feudal)! Tidak bersistem. Begitulah hakikatnya orang-orang Arab. Sebab itulah Nabi Muhammad diutuskan kepada kaum Arab.

Jordan


Baiklah, sampai di Republic Hashemite of Jordan, memang sejuk. Berapa darjah celcius yer..saya sendiri pun lupa. Dah lama. Perjalanan diteruskan sehingga ke Aman ibu kota Jordan. Tetapi, hampa bila salji telah pun cair. Alahai..Mana salji?!! Mana frost?!!! Saya sudah terbayang bagaimana indahnya salji yang mengandungi struktur molekul yang sangat cantik seperti sebuah reka bentuk geomatri yang sangat menarik. Akhirnya hampa bila semuanya tidak dapat dinikmati. (Ni sebab terpengaruh dengan gambar-gambar dalam mausu’ah/ensiklopedia yang dibaca lah ni. Ketika tu internet belum famous lagi)

Yang tinggal hanyalah sedikit kesan yang menunjukkan musim sejuk kini mula berakhir. Kami ke Suwaileh, penempatan student Malaysia. Tak mengapalah salji tidak sudi menemui kami, sekurang-kurangnya kami merasai kesejukan di Jordan. Menggigil juga kami dibuatnya. Maklumlah, itu pengalaman pertama.

Begitulah pengalaman kami mencari salji masa muda-muda dulu ;). Allah belum mengizinkan saya menemuinya walaupun sahabat saya (Siti Nurul Hafizah) kini sedang menikmati panorama salji turun di London ketika ini. Akhirnya, kami pulang ke Malaysia beberapa minggu selepas itu dengan rasa sedikit rasa hampa kerana hajat kami yang belum kesampaian. Namun berasa gembira kerana masih berpeluang menziarahi Bahru al-Mayyit (Laut Mati), Maqam-maqam Auliya’ (Makam para Nabi), al-Ahram (piramid) dan juga menziarahi serta mengikuti kuliah-kuliah sebagai mustami’ di Jamiah-jamiah (universiti-universiti) di Jordan dan di Mesir sebelum pulang. Antaranya Al-Jami’ah Al-Urduniyyah (University of Jordan) dan Jami’ah Al-Azhar. Semoga dipanjangkan umur menikmati Panorama salji turun pada masa yang akan datang. :)

*Kenangan di alam pengajian.
p/s: Ummu Nashwa, kak faten, kak hamizah dan irma dll...ambil gambar main salji dan panorama salji turun banyak2 ye. :)


Free Template Blogger collection template Hot Deals BERITA_wongANteng SEO

Jumaat, 18 Disember 2009

Di Celah-celah Kebahagian Itu..

1 ulasan
Tahun baru hijrah kini bermula. Setiap insan mengharapkan sinar yang semakin bermakna dalam kehidupan. Di celah-celah kebahagiaan dan kegembiraan insan-insan terpilih, saya teringat seorang sahabat (sejak di SMKA Sheikh Abdul Malek, Kuala Terengganu) hari ini merenung jauh masa depannya dan anak-anaknya. Abdul Rahman Al-Fawwaz, anak lelakinya yang berusia 1 tahun 6 bulan, menanti saat untuk dipulihkan. 24hb Disember tahun ini (beberapa hari sahaja lagi) merupakan antara tarikh bersejarah buat dirinya lagi. Abdul Rahman akan dibawa ke dewan bedah di Hospital Kubang Kerian. Umminya setiap detik mendoakan agar anaknya sihat seperti anak-anak kecil yang lain.

Setiap kali pulang ke kampung di Gong Badak Terengganu, saya pasti akan meluangkan masa ke rumah sahabat ini di Manir. Masih tergambar bagaimana riang dan gembiranya Abdul Rahman bila melihat Lubna. Dia tersenyum bila Lubna datang menghampiri. Lubna menyentuhnya dan menciumnya. “Baby..” Kata Lubna. Lubna tidak tahu bahawa mereka sebaya. Abdul Rahman pula seolah-olah mahu menguatkan diri agar boleh bangun. Jika dia berupaya, pasti mereka berdua akan bermain dan berkejaran ke sana ke mari. Alangkah indahnya saat itu.

Walaupun anak kedua sahabat saya ini mengalami pendarahan otak ketika dilahirkan pada Jun 2008 (sekarang menyebabkan kepalanya membesar akibat cecair dalam kepala, dan tidak dapat bangun/berjalan) sahabat saya ini tetap tabah. Begitu kental semangat dan kesabaran yang Allah s.w.t berikan kepadanya. Tidak pernah walau sekali saya melihat air matanya berlinang di matanya, apalagi mengalir bercucuran menangisi nasib yang menimpa diri. Malah, saya pula yang berasa sebak.

Lebih syahdu dan pilu apabila semuanya terpaksa ditanggung bersendirian bertemankan anak sulungnya Najibatun Naimah yang baru sahaja mula mengenal erti kehidupan. Walaupun baru berusia 3 tahun, dia sudah memahami keadaan umminya. Sekali pandang, air muka Najibatun Naimah lebih matang daripada kanak-kanak yang lain. Betapa Allah s.w.t Maha Adil.

Umminya bertanya, “Najibah.. abi mana? “
Najibah, “Abi tak dok. Dah mati. Najibah nak jaga adik.”
Umminya bertanya lagi: “Najibah sayang adik tak?”
Najibah: “Sayanglah.. Adik sakit. Ummi..” Panggil Najibah manja.

Saya menggosok-gosok kepala Najibah. Saya tahu, Najibah akan bantu umminya. Najibah anak yang pandai, anak yang tabah seperti umminya.

Alangkah bertuahnya kita semua kerana mempunyai suami yang mengasihi dan sentiasa di samping mengemudi rumah tangga yang dibina. Alangkah beruntungnya kita kerana dikurniakan anak-anak yang sihat dan pandai menjadi penyeri kehidupan. Sahabat saya ini, baru beberapa tahun mendirikan rumah tangga, ketika melahirkan anak kedua, suaminya disahkan mengidap penyakit kanser paru-paru. Dia sendiri terkesima. Tanda-tanda awal batuk berlanjutan dan sukar pulih tidak disangka begitu jadinya. Suaminya diberikan rawatan di Hospital Nur Zahirah dan Hospital Kubang Kerian untuk rawatan pakar. Terlalu pantas segala yang terjadi. Tidak sampai 2 bulan, dia dijemput Ilahi. Innalillahi wa inna ilaihi raajiunnn. Saya sendiri tidak kenal arwah, tetapi pernah melihatnya dari jauh ketika sahabat saya itu datang berziarah ke rumah ketika saya melahirkan Lubna pada Mac 2008. Wajahnya bercahaya, petunjuk sebagai orang yang soleh. Merupakan graduasi dari Mahaad at-Tahfiz wa al-Qiraah di Shubra, Mesir. Satu bonus yang cukup besar buatnya. Mudah-mudahan, arwah berada di kalangan para solihiin dan muttaqiin. Amin.


Begitulah saya menceritakan kisah sedih di sebalik kebahagiaan kita semua. Bersyukurlah dengan apa yang Allah kurniakan kepada kita semua. Mudah-mudahan Allah limpahkan lagi rahmat dan kasih sayangNya buat kita kerana kesyukuran itu.

وَإِذۡ تَأَذَّنَ رَبُّكُمۡ لَٮِٕن شَڪَرۡتُمۡ لَأَزِيدَنَّكُمۡ‌ۖ وَلَٮِٕن ڪَفَرۡتُمۡ إِنَّ عَذَابِى لَشَدِيدٌ۬

Dan (ingatlah) ketika Tuhan kamu memberitahu: Demi sesungguhnya! Jika kamu bersyukur nescaya Aku akan tambahi nikmatKu kepada kamu dan demi sesungguhnya, jika kamu kufur ingkar sesungguhnya azabKu amatlah keras.”
(Surah Ibrahim : 7)

Kepada sahabat saya Ustazah Nur Izyan Nadiah, tabahkah hati meneruskan kehidupan. Kami semua akan mendoakan kesejahteraan buat ustazah dan anak-anak.



Free Template Blogger collection template Hot Deals BERITA_wongANteng SEO

Khamis, 17 Disember 2009

Salam Maal Hijrah 1431H

0 ulasan

Dapatkan Mesej Bergambar di Sini


Free Template Blogger collection template Hot Deals BERITA_wongANteng SEO

Rabu, 16 Disember 2009

Bantu Mama Jemur Baju :)

2 ulasan

Gambar Hiasan

Barangkali ada hikmahnya apabila hasrat saya menyambung pengajian belum diluluskan oleh majikan. Katanya masa belum mengizinkan lagi. Saya pada mulanya merasa tidak adil kerana betapa ramainya rakan-rakan seangkatan yang lain sudah pun memulakan pengajian lanjutan mereka. Bahkan ada yang sudah menamatkannya dan menyambung ke peringkat yang lebih tinggi. Walaubagaimanapun, Insya Allah, bila tiba masanya nanti, saya akan menghulurkan borang permohonan untuk diluluskan. Mengapa impian dan cita-cita saya harus saya hentikan dan lupakan kerana factor yang sekecil ini?

Kini baru saya yakin bahawa Allah Maha Mengetahui kebaikan untuk hambaNya. Sekurang-kurangnya saya mempunyai ruang masa yang banyak menguruskan rumah tangga yang baru setahun jagung dan anak pertama kami yang masih kecil sekaligus memberi laluan kepada suami terlebih dahulu menyambung pengajiannya. Alhamdulillah sudah menamatkan pengajian hadithnya. Mudah-mudahan ada ruang untuk saya pula selepas ini. Amin :)

Kini cuti sekolah. Saya mempunyai 24hours bersama anak kesayangan. Jika saya sudah memulakan pengajian, barangkali ketika ini saya terpaksa menghantar Lubna ke kampung suami di Kota Kuala Muda Kedah kerana terpaksa menghadiri kuliah atau bertemu supervisor. Suami pula berkursus di UUM. Lubna semakin aktif dan semakin nakal. Dia memerlukan perhatian dan belaian kasih sayang daripada mama dan baba. Kadang kala, memerlukan teguran agar ragamnya tidak menjadi-jadi. Pengalaman menjadi ibu ini mengingatkan saya kepada ummi dan abah di kampung. Alangkah besarnya pengorbanan mereka membesar dan mendidik kami. Pelbagai ragam daripada kami 6 beradik. Terima kasih ummi dan abah. Jasamu kukenang sampai bila-bila. :)

Hari ini, saya bersama Lubna di Perlis. Baba Lubna sudah ke UUM menghabiskan hari-hari terakhirnya berkursus di UUM. Kelmarin ada Cu dan Cik Ah (adik ipar saya). Dapatlah menjadi teman bermain Lubna. Tetapi, pagi ini Lubna hanya ada mama. Apa lagi, asyik merengeklah mahu itu dan mahu ini. Jika tidak dapat, mulalah tergolek-golek atas lantai. Alahai anakku sayang…

Pagi ni Lubna menolong mama jemur baju di ampaian. Baru 1 tahun 8 bulan, dah boleh ringankan kerja mama.. Nak tahu bagaimana? Di rumah kakak ipar saya ni (saya berada di sini sepanjang cuti sekolah kali ini), mesin basuhnya manual. Spinnya pula tidak dapat beroperasi. (Hehe..nanti Kak Mihah suh Abang Asri belikan yang baru dan besar gitu yer) Mahu tidak mahu, kain baju yang dibasuh perlu diperah dengan sepenuh tenaga untuk memudahkan ia cepat kering bila dijemur nanti. Dan itulah yang saya lakukan. Lubna rupanya memerhatinya dengan penuh minat.

Lubna pada awalnya berada di dalam rumah. Kemudian keluar. Saya arahkan Lubna memakai selipar. Lubna turuti. Jadi saya terus memerah dan menjemur kain baju yang baru dibasuh tadi. Saya terlupa dengan Lubna. Tahu apa yang dia lakukan? Dia mengambil baju di dalam bakul, lalu diperah sebagaimana yang saya lakukan. Erm, kalau itu sahaja, tidak mengapa. Dia kemudia mengibas baju itu, dan mahu menjemurnya. Tak sampai ke tali penyidai pun. Lantas, Lubna membuangnya ke tanah. Alahai..habislah kotor baju tu!

Bila saya mengalihkan bakul kain, Lubna merengek. Terjelepuk di atas tanah. Ok, ok.. mama berikan. Saya mengajar Lubna sesuatu.

“Sayang ambil baju tu.” Saya mengarahkan Lubna mengambil baju di dalam bakul. Lubna memahami arahan saya.

“Ok, haati li..” Saya memberikan arahan yang seterusnya. Lubna memberikan baju itu kepada saya. Risau juga takut terjatuh lagi ke tanah.

Kemudian, saya mengambil baju itu dan menjemurnya. Lubna mengulang-ngulang kelakuan yang sama. Mengambil baju di dalam bakul, lalu diberikan kepada saya. Saya mengambilnya daripada Lubna dan menjemurnya. Memang memakan masa yang lama menjemur kain baju dengan cara begitu. Tetapi, biarlah. Sekurang-kurangnya saya dapat mengajar Lubna satu lagi nilai-nilai yang murni dalam kehidupan. Menolong mama menjemur baju :) Terima kasih sayang… Saayangg Lubna!


Free Template Blogger collection template Hot Deals BERITA_wongANteng SEO

Through The Rubbish Into The Dustbin :)

0 ulasan
Anak-anak kecil memang belajar daripada persekitaran. Kaedah yang boleh mereka lakukan antaranya adalah dengan meniru. Meniru segala perbuatan yang dilakukan oleh orang yang berada di persekitaran mereka. Awas! Ibu bapa perlu berhati-hati kerana anda sedang diperhatikan. :)

Maka di sinilah relevannya ibu bapa menunjukkan teladan yang baik untuk anak-anak. Jika ibu bapa beramal soleh, maka anak-anak akan melazimi apa yang dilakukan oleh ibu bapa mereka. Jika sebaliknya, maka amat rugilah kerana anak-anak akan mewarisi apa yang kita lakukan. Kerana itulah Nabi s.a.w bersabda:


''كل مولود يولد على الفطرة فأبواه يهودانه أو ينصرانه أو يمجسانه''
“Setiap anak dilahirkan dalam keadaan fitrah (tidak mempersekutukan Allah) tetapi orang tuanya lah yang menjadikan dia seorang yahudi atau nasrani atau majusi”

Dalam kaedah meniru ini, ada yang baik ada yang kurang baik. Meniru ibu bapa solat adalah perkara yang baik. Doakan semoga anak-anak rajin menunaikan solat apabila dewasa kelak. Begitu juga meniru ibu bapa mengaji al-Quran. Mereka mungkin akan merengek mahukan al-Quran yang dibaca oleh ibu bapa kerana mahu meniru apa yang dilakukan oleh ibu dan bapa mereka. Lantas, ibu bapa mungkin boleh menggantikannya dengan buku-buku agama (bertulisan jawi atau arab) untuk menggantikannya. Tetapi bagi anak-anak yang agak advance, pasti dia tidak mahu buku itu. Yang dia mahukan hanyalah al-Quran. Bagi mereka yang baru menimang anak pertama, pasti ini ujian yang baru dalam proses pertarbiyahan anak-anak. Namun kita tetap berasa bertuah kerana anak kita sudah mula belajar mahu mengaji al-Quran.

Menyentuh berkenaan anak-anak belajar dengan cara meniru, saya pasti semua bersetuju jika saya katakana ibu bapa masih boleh bersabar dalam meniru perkara ibadah. “Anakku anak yang soleh…” “Anakku mewarisi kebaikan ummi dan abah..” “Anakku anak yang rajin..” Pasti inilah kalimah yang terucap. Kalau bukan di bibir, pasti akan terucap di hati. Alhamdulillah.

Tapi bagaimana menghadapi situasi anak meniru dalam perkara yang lain? Setiap hari, bermain dengan penyapu? Sapu sana..sapu sini. Habuk-habuk mula berterbangan. Dia mahu meniru ibunya menyapu sampah. Bagaimana pula jika anak setiap hari bermain air di sinki? Memandangkan sinki tinggi daripada ketinggiannya, maka dia mencari alternative untuk mencapai apa yang dia mahukan. Bangku kecil, periuk, besen, tong sampah..semuanya menjadi mangsa si kecil. Tanpa disedari, air mencurah-curah. Lantai di bawah mula basah. Ibu bapa mula risau kerana ia bukan sahaja satu pembaziran, malah ia membahayakan!
Saya secara peribadi berpendapat dalam hal ini, ibu bapa jangan menghalang dengan keras. Jika demikian, anak-anak akan mula belajar untuk memprotes. Atau untuk kesan jangka masa panjang, mereka akan hilang keyakinan dalam diri sedikit demi sedikit. Maka di sinilah senjata kebijaksanaan ibu bapa harus digunakan. Atau biarkan anak-anak mencuba tetapi masih di bawah pengawasan ibu bapa. Atau, alihkan perhatian mereka kepada sesuatu yang lebih menarik. Bercakap-cakap dengan nada yang memujuk juga kadang-kadang sesuai untuk digunakan dalam situai tertentu.

Saya ingin berkongsi apa yang terjadi kepada anak saya Lubna hari ini. Pagi tadi, ketika saya membawanya berjalan-jalan di kawasan rumah, Lubna berlari-lari mengambil sesuatu di atas tanah. Saya memerhati dari jauh. Oh, rupanya Lubna mengambil selembar kertas di porch kereta. Lalu dia berlari-lari pula ke arah saya. Saya sangkakan Lubna mahu memberikan kertas itu kepada saya. Firasat saya salah. Lubna menuju ke arah tong sampah dan terus membuka penutupnya. Kertas dibuang di dalam tong sampah! Alhamdulillah, anakku sudah mula belajar nilai-nilai murni dalam masyarakat. :) "Good Girl!" Saya memberikan pujian galakan kepada Lubna. Semoga Lubna melaziminya selepas ini.

Petang ini, suamiku pula membawa Lubna keluar ke tempat yang sama. Bersiar-siar sambil menikmati angin bendang yang bertiup nyaman. Lubna seperti biasa berlari-lari riang dengan mulutnya berkata-kata tanpa henti dengan bahasanya yang tersendiri. “Ni cucu aki (datuk) lah ni..” Semua orang akan berkata demikian jika kenal aki Lubna :). Petah berkata-kata, banyak idea, dan banyak akai (kata orang Utara). Mulut Lubna tidak pernah berhenti bercakap melainkan bila dia tidur. Jika Lubna tidur, barulah aman rumah kami.

Baiklah, kembali kepada kisah Lubna bersiar-siar dengan babanya tadi. Tiba-tiba Lubna menjenguk ke arah tong sampah di tepi jalan. Tong sampah tidak bertutup. Tanpa diduga Lubna meludah ke dalam tong sampah. Suamiku agak terkejut dengan tindakan Lubna. Lubna hanya tersengih tanpa memahami apa-apa. Lagi terkejut bila Lubna tiba-tiba berkata: “Baba lak..” sambil tangannya menunjuk ke arah tong sampah yang sama. Lubna mahukan babanya meludah sebagaimana yang Lubna lakukan tadi. Dari mana pula dia belajar ni? Alahai anakku sayang…

Kesimpulan
Inilah proses pembelajaran anak-anak. Dan inilah proses pentarbiyahan Allah kepada ibu bapa dalam mendidik anak-anak generasi Islam. Persiapkan diri dengan ilmu, iman dan pengalaman. Kesabaran dalam membesarkan anak-anak adalah kunci kejayaan ibu bapa kita membesarkan diri kita sehingga kita berjaya mengecapi kejayaan hari ini. Semoga anak-anak kita juga mengecapi apa yang kita kecapi hari ini. Insya Allah. :)


Abislah kali ni.. bil air melambunglah bulan ni ;) Si kecil ni selalu curi-curi main air


Aha.. bangku merah ni jadi mangsa..

Nota: Gambar peristiwa Lubna dan tong sampah, tak sempat dirakam. Sebab tu lah ganti gambar main air ni.


Free Template Blogger collection template Hot Deals BERITA_wongANteng SEO