Selasa, 15 November 2016

0 ulasan



Santuni guru, kelak mendapat keberkatan.
.........................................................

Zaman sekolah dulu,  saya bukanlah seorang murid  yang genius. Pun begitu, saya adalah murid yang agak rajin membuat kerja sekolah yang diberikan guru. Jarang sekali saya tidak membuat dan tidak menyiapkannya.

Walaupun begitu,  saya tetap berpengalaman didenda guru kerana tidak menyiapkan kerja sekolah.  Diminta berdiri di luar kelas,  sambil sebelah kaki diangkat. Bertongkatlah dengan sebelah kaki sambil di kepala menjunjung sebuah buku.  Bergilir-gilirlah kaki ini menongkat.  Bukan sehari,  tapi cukup seminggu!  Setiap kali menjelang waktu Matematik,  berdebar-debarlah jantung ini.  Saya diminta keluar tanpa bicara dengan 5 orang lagi murid yang lain. Lenguh kaki ini, tak dapat saya ungkapkan!

Semuanya gara-gara 8 muka surat kerja sekolah matematik,  perlu disalin dalam buku tulis,  tetapi muka surat ke 8, berselang satu muka surat.  Saya kalut,  langsung terlupa pada muka akhir yang perlu dibuat. Bila dihantar tugasan pada guru,  saya dipanggil lalu disuruh keluar kelas. Terpinga-pinga saya dibuatnya. Saat itu,  saya sendiri tidak tahu apakah kesalahan yang dilakukan,  dan saya juga tidak dijelaskan kenapa saya didenda guru. Ternyata setelah 5 hari berlalu,  barulah saya tahu bahawa terdapat satu muka surat saya tertinggal untuk diselesaikan.

Malu sebenarnya. Hanya saya seorang murid perempuan didenda.  Lagi 5 orang,  semuanya lelaki.  Dan semuanya dari kumpulan F. Sedangkan saya dari kumpulan A.  Bila ada cikgu lain melalui laluan itu, saya tidak tahu di mana mahu menyorokkan muka ini.

"Haa..  Ni mesti tak siap kerja sekolah lah ni. "

Saya akur, nasib saya barangkali. Allah mahu saya rasa bagaimana keadaannya yang sering dilalui oleh murid-murid dari kumpulan F.

Walaupun di luar kelas,  saya tetap curi-curi melihat apa yang diajar guru di dalam kelas. Saya akan bertanya kawan, kerja yang cikgu berikan lalu saya siapkan sebelum pulang pada hari yang sama.  Saya tidak menjadikan alasan denda itu sebagai sebab untuk saya tidak dapat memahami pelajaran hari itu. Kerana saya tahu, hukuman yang saya terima itu,  adalah akibat  kesalahan yang bukan disengajakan.

Itu cerita tahun 1991. Ketika itu, saya darjah 3. Kini tahun 2016. Dan saya seorang cikgu.

Tersenyum sendiri saya bila teringatkan kisah hukuman itu.

Namun,  cikgu dulu dan sekarang sudah terlalu jauh bezanya. Cikgu dulu, boleh menyediakan plan pendidikannya sendiri pada muridnya. Tapi guru sekarang tidak. Semuanya terikat pada akta yang digariskan.

Murid dulu dan sekarang pun sudah jauh berbeza. Murid dulu akan tetap menyantuni guru walau apa jua keadaan dan situasinya... Kerana murid dulu percaya bahawa guru adalah insan mulia yang harus dihormati dan disantuni. Keberkatan guru itu sangat penting bagi mendapat kesejahteraan hidup dunia dan Akhirat.

Saya sendiri ketika didenda,  saya tidak menyalahkan guru kerana saya tahu itu adalah akibat kecuaian saya sendiri. Jauh sekali untuk melaporkannya kepada ibu bapa di rumah. Walaupun ibu dan bapa saya bukanlah daripada kalangan keluarga yang cepat melenting,  namun saya secara peribadi menganggap hukuman itu tidak perlu diviralkan kepada keluarga. Rasa malu sebenarnya melaporkan tentang hukuman seperti itu.  Dan sehingga hari ini,  ibu dan bapa saya,  tidak pernah tahu akan hal ini.  Biarlah ia menjadi satu nostalgia yang indah untuk dikenang. Dan menjadi panduan kepada saya ketika mendidik anak-anak di rumah dan sekolah.

Kini saya merasai keberkatan ilmu yang saya pelajari dalam mata pelajaran itu. Ilmu matematik itu kini saya mampu kembangkan dalam menyelesaikan banyak permasalahan kehidupan harian.  Semuanya atas faktor keberkatan menyantuni guru.

Semoga generasi murid dan ibu bapa hari ini kembali menjadi seperti generasi dahulu. Itu yang sangat saya impikan. Lebih matang dan belajar menyantuni guru.

#Cikgusesipetang

Free Template Blogger collection template Hot Deals BERITA_wongANteng SEO