Khamis, 27 Februari 2014

AHMAD AMMAR.. Fenomena Indah Di Saat Kita Terleka




Alhamdulillah..saya kembali bersemangat membuat catatan pada blog saya ini setelah hampir setahun ber'cuti'. Sesekali ada juga saya menjengah.. hanya melihat dari jauh tanpa punya hasrat untuk kembali mencatat. Barangkali kesuntukan masa dan idea untuk berkarya, saya lebih memilih laman sosial face book untuk sesekali menyuarakan pandangan diri dan suara hati.

Tapi entah kenapa kali ini, hati saya seolah-olah mendesak untuk saya membuat catatan pada blog ini... Biarlah, kali ini saya menurut kata hati ini walaupun saya bukanlah berada dalam keadaan kuat.

Saya tidak tahu dari mana datangnya kekuatan dalam diri ini untuk menghabiskan buku Cerita Cinta Ahmad Ammar!  Kerana saya sekarang berada di trimester pertama kandungan ke 4 ini... Di saat ini, suatu situasi yang normal apabila ibu-ibu ini dikatakan mengalami alahan, morning sickness, keadaan yang lemah dan longlai. Begitulah apa yang terjadi kepada saya. Sehinggakan sejak minggu lalu, suami merelakan untuk memberi khidmat menghantar dan mengambil saya dari tempat kerja walaupun mengambil masa hampir 45 minit perjalanan dari rumah ke tempat kerja. 3 orang anakanda-anakanda kami yang puteri semuanya... diuruskan oleh suami tercinta. Ternyata saya cukup lemah. Jika skala lemah diberilan pada saya dari 1-10, saya berada di skala 8!

Berbalik kepada Cerita Cinta Ahmad Ammar.. (sungguh saya kagumi).. bukunya saya beli secara tidak dirancang. Menemani suami ke Kedai Buku Hassani di Sungai Petani, menggerakkan jari jemari saya mencapai buku yang berbalut kemas di kaunter pembayaran. Asalnya sekadar tengok-tengok, akhirnya mula jatuh cinta padanya.
"Abang, beli buku ni yer.." saya bersuara.
Suami melihat buku itu.."Ambillah.."katanya ringkas. Saya tahu suami pasti akan bersetuju kerana jarang sangat suami saya mengecewakan saya apalagi untuk memiliki buku-buku seperti itu. Saya tahu suami saya juga berminat cuma tidak berkesempatan untuk membeleknya. Apalagi, cover buku itu sentiasa berlegar-legar pada laman facebook kami.

Sampai di rumah, badan terasa lemah kerana agak lama berada di dalam kereta. Tetapi hati terus menjerit-jerit supaya segera memulakan bacaan pada chapter pertama. Saya segera mengoyakkan plastik yang membalutnya. Sebelum dibaca, saya bangun meluru ke bilik bacaan keluarga, mencari sticker buku Maktabah Al-Eman kami..di mana yer.. saya cuba mengingat di mana saya menyimpannya. Alhamdulillah, saya ketemu jua sticker itu. Niat di hati biarlah buku ini kekal dalam simpanan Maktabah kami untuk warisan kepada anak-anak kami dan jua generasi Islam yang akan datang. Biarlah kami menjaganya dengan baik dan tidak bertukar-tukar tangan tanpa kembali semula ke maktabah ini. Sticker sebagai satu simbolik bahawa buku ini perlu dijaga dengan baik. Saya tampal sticker buku milik kami pada penjuru kiri buku itu.

Chapter 1 dimulakan dengan WARKAH RINDU BUAT ANAKANDA AHMAD AMMAR. Baru membaca tajuknya, hati ini sudah mula bergetar.. Ya Allah!...kuatkanlah diri ini untuk meneruskannya.. untuk mencedukmsedikit semangat perjuangan itu.

Memandangkan badan saya mula berasa sengal-sengal, saya duduk di kusyen bersandalkan sebiji bantal di belakang. Saya menggagahkan diri. Kuatnya keinginan untuk membaca aura Ahmad Ammar yang menyerlah selepas pemergiannya mengatasi segalanya.

"SALAM penuh kerinduan buat anakanda yang dikasihi dan dirindui, AHMAD AMMAR."

Saya berhenti membaca! Mata saya berkaca. Dada saya sebak. Nafas saya terhenti. Saya kalah! Belum apa-apa lagi, sudah gugur air mata saya. Terjentik hati ini mengatakan ini adalah warkah rindu yang mendalam dari seorang bonda buat anakandanya yang amat-amat merinduinya! Saya cukup-cukup terkesan. Saya segera menyeka manik-manik jernih ini dari terus menitik. Malu pada anak-anak dan suami kerana saya bukanlah seorang yang berjiwa lembut. Saya dikenali dengan watak yang tegas dan keras hati!

Saya membaca bait demi bait.. sungguh menyentuh jiwa.
Saya kagum pada adinda Ahmad Ammar.. saya kagum pada ayahandanya Tuan Haji Ahmad Azzam dan bondanya Puan Nur Azlina kerana berjaya mendidik jiwa kehambaan kepada anakanda- anakandanya terutamanya AHMAD AMMAR. Pemergiannya mencetuskan fenomena ummah. Mengejutkan insan-insan yang lena. Menyuntik semangat anak muda dan ibu bapa untuk membentuk generasi Islam yang benar-benar meNgabdikan diri kepada Allah SWT. Kerana Sesungguhnya dariNya kita datang..dan kepadaNya kita akan kembali.

Dalam keadaan yang tidak berupaya ini.. saya berjaya mendalami cerita-cerita indah dan tulusnya hati seorang Pemuda Islam yang benar-benar cintakan agamaNya ini, dalam masa 2 hari. Separuh saya baca kelmarin, dan hari ini saya habiskan selepas balik dari kerja.

Ya Allah, syukurku panjatkan kepadaMu kerana menghadirkan AHMAD AMMAR ketika saat aku mula terleka dan terlupa akan visi dan misi membentuk pemuda dan pemudi islam demi memberi jasa dan baktinya untuk meninggikan martabat Islam. Betapa dakwah Baginda saw telah diberikan pencerahan melalui AHMAD AMMAR dengan cara yang tidak pernah difikirkan oleh mana-mana insan termasuklah ibu bapanya sendiri. Tetapi, begitulah janji-janji Allah kepada mereka mengikut jalanNya Yang Lurus.

Dihujung catatan ini, saya mengharapkan doa dari sekalian sahabat dan rakan serta sesiapa sahaja agar kandungan saya kali ini mempunyai ketulusan dan keikhlasan serta semangat yang kental seperti AHMAD AMMAR yang menjadikan ALLAH & RASULNYA sebagai panduan kehidupan ke negeri Abadi.
Saya dan suami mengharapkan jika bayi ini adalah lelaki, (kami sentiasa berdoa dan berharap agar kali ini biarlah seorang imam lahir di kalangan 3 orang kakak-kakaknya).. akan memiliki semangat dan ketulusan seperti pemuda Islam ini. Adapun, jika sebaliknya, iaitu perempuan..tidaklah pernah kami kecewa dan merintih kerana ia adalah kurniaan yang besar dari Allah Yang Maha Penyayang...akan kami sayangi dan didik sebagaimana kami mendidik anakanda-anakanda puteri kami yang lain. LUBNA, SYAIMA' dan FADWA. Tidak kira perempuan mahupun lelaki, suntikan semangat sebagai pahlawan dan serikandi Islam akan kami pahatkan dan semaikan di jiwa anakanda-anakanda kami..generasi Islam akan datang.

Terima kasih yang tidak terhingga buat Tuan Haji Ahmad Azzam dan isteri Puan Nur Azlina kerana melahirkan Ahmad Ammar. Benar, dia adalah pewaris nabi yang memiliki akhlak dan peribadi yang unggul.

Saya melihat ISLAM itu indah,
Saya melihat  ALLAH SWT itu Maha Dzul Jalaali Wal Ikram,
Saya melihat Muhammad saw Itu adalah Unggul,
Dan saya melihat AHMMAD AMMAR itu sebagai sebenar-benar Pencetus Ummah!

Sekian...


Catatan dari hati:
Mawaddah Mohd Nor
27hb Febuari 2014.
5.40 petang.
Ambangan Height, SP.






Free Template Blogger collection template Hot Deals BERITA_wongANteng SEO

0 ulasan:

Catat Ulasan