Sabtu, 20 Februari 2010

Fiqh al-Mar'ah: Hukum Pendarahan Semasa Kehamilan (Kandungannya masih selamat)

4 ulasan


Sebelum ini saya pernah menulis secara ringkas tentang perbahasan Hukum Pendarahan Sebelum Kelahiran. Kali ini saya cuba untuk membicarakan tentang Hukum Pendarahan Semasa Kehamilan. Baru-baru ini saya menerima panggilan daripada sahabat sekerjaya saya Nadia Afifi bertanyakan tentang pendarahan ketika hamil (Namun kadungannya masih selamat). Dia mengalami keadaan itu ketika kandungan masuk bulan ke 3. Keliru tentang hakikat kedudukannya dalam melaksanakan kewajipan sebagai Muslimah, dia meminta pendapat daripada ramai orang. Memandangkan saya juga pernah melalui pengalaman seperti itu (Pendarahan ketika hamil 2 bulan. Tetapinya akhirnya gugur ketika kandungan masuk bulan ke 3), saya bercadang untuk berkongsi maklumat akan hal itu.

Saya mulakan daripada peristiwa bagaimana saya melalui saat itu. Tanggal 31hb Ogos 2009, setelah melakukan pregnancy test di rumah, jelas kelihatan dua garisan pada alat ujian itu. Saya tahu, kini saya mengandung anak kedua. Ketika itu anak pertama saya Lubna berusia 1tahun 6 bulan. Saya sampaikan berita gembira itu kepada suami, dan kami gembira kerana Lubna bakal mendapat teman baru tidak lama lagi. Mengikut perkiraan, kandungan saya ketika itu baru mencecah minggu ke 5. Masih terlalu awal untuk memaklumkan berita baik itu kepada semua kerana saya juga belum mengesahkan kandungan itu melalui pemeriksaan doctor di hospital.

Saat-saat gembira yang saya lalui bersama suami tidak lama apabila pada 4hb September 2009 iaitu pada minggu ke 6 kehamilan, saya mengalami pendarahan di trimester pertama kehamilan. Saya agak panik kerana saya tidak melalui situasi seperti itu pada kandungan pertama saya yang lalu. Lantas, suami segera membawa saya menjalani pemeriksaan di Hospital Kepala Batas. Memandangkan tiada doktor pakar yang bertugas pada malam itu, kes saya akhirnya dirujuk ke Hospital Seberang Perai.

Saya ditahan di wad dan disarankan agar berpuasa. Keputusan awal scan mendapati saya benar-benar mengandung tetapi kandungan saya tidak dapat dipastikan sama ada selamat atau sebaliknya. Menurut doktor pakar di situ, kandungan saya masih terlalu awal dan kerana itu saya diberikan cuti selama seminggu untuk berehat. 2 minggu berikutnya, saya hadir ke appointment di hospital.

Pendarahan terus berlaku sepanjang saya bercuti itu iaitu ketika kandungan saya berada pada minggu ke 6 dan 7. Ketika pemeriksaan dibuat pada appointment itu, kandungan saya masih ‘selamat’ . Persoalan di sini, apakah tergugur kewajipan solat dan puasa saya serta ibadah-ibadah yang lain? Apakah kedudukan darah itu? Haid? Istihadhah?

Dalam masalah ini, penyelesaiannya adalah berdasarkan pandangan ulama’ yang mengatakan bahawa wanita mengandung yang mengalami pendarahan semasa hamil darahnya dikategorikan sebagai darah istihadhah selagi mana kandungannya masih selamat atau belum gugur. Maka, seseorang wanita itu wajib solat dan menunaikan ibadah-ibadah fardhu yang lain.

Nabi saw bersabda:
لا توطأ حامل حتى توضع ولا غير ذات حمل حتى تحيض حيضة
Wanita tawanan perang yang dijadikan hamba dan hamil tidak boleh dijimak sehinggalah dia melahirkan anak. Tidak dijimak wanita tersebut yang tidak hamil sehinggalah dia berhaid dan habis haidnya.”
(Hr Abu Daud – 2157)

Hadis ini menunjukkan kepada wanita yang hamil tidak berhaid. Darah yang keluar ketika hamil adalah darah istihadhah.

2. Nabi saw bersabda yg ditujukan utk lelaki yang menceraikan isterinya ketika haid:

مره فليراجعها ثم ليطلقها طاهرا او حاملا
Suruhlah dia rujuk semula dan ceraikan wanita itu dalam keadaan suci atau hamil.”
(Hr Muslim)

Hadis ini menunjukkan hukum hamil adalah sama dgn suci. Iaitu boleh dijatuhkan cerai. Ini menunjukkan darah yang keluar ketika hamil bukanlah darah haid.

Ini dikuatkan lagi dari segi perubatan moden. Dr Muhyiddin Kahalah pakar bedah dan pakar penyakit puan dan peranakan O&G menyatakan bahwa darah tersebut bukanlah darah haid.
Walaupun begitu, ada juga di kalangan ulama'-ulama' fiqh yang mu'tabar yang mengkategorikan pendarahan tersebut sebagai darah haid. Namun pendapat itu akhirnya diakui kurang tepat selepas kajian perubatan dibuat.
Adapun sebab-sebab darah keluar pada masa hamil adalah berdasarkan sebab-sebab berikut:

1. Darah keluar dari organ wanita hamil mungkin disebabkan kerana pecahnya kantung ovum yang berlaku ketika 2 minggu kandungan.

2. Darah keluar kerana ia merembeskan ovum di dinding rahim sehingga memberi kesan kepada dinding rahim yang menyebabkan pendarahan. Ini berlaku selepas 3 minggu kandungan.

3. Turun darah berterusan dari 3 hingga 9 minggu di awal kandungan dengan sebab janin tidak memenuhi ruang rahim.

4. Pendarahan berlaku dengan sebab berlaku radang leher rahim.

5. Pendarahan berlaku dengan sebab pendagingan di leher rahim.

6. Luka pada uri janin yg menyebabkan pendarahan.

7. Kanser.

8. Pendarahan berlaku apabila kandungan tabung uji dan rahim menjadi kosong.


Kesimpulannya:

Sebagaimana wanita istihadhah yang lain, wanita yang mengalami pendarahan ketika hamil (kandungannya masih selamat), perlulah menyucikan diri terutamanya sebelum menunaikan ibadah solat dan memakai tuala wanita yang bersih. Seandainya darah terus menerus keluar sepanjang wanita itu solat, ianya adalah sesuatu yang tidak dapat dielakkan dan ianya adalah perkara yang dimaafkan. Seandainya berada di Bulan Ramadhan, maka wanita itu perlu menunaikan ibadah berpuasa (selagi mana tidak memudharatkan diri dan kandungan) sebagaimana wanita-wanita istihadhah yang lain. Wallahua’lam. :)


Free Template Blogger collection template Hot Deals BERITA_wongANteng SEO

Jumaat, 19 Februari 2010

Fiqh al-Mar'ah: Hukum Wanita Haid Memegang dan Membaca Al-Quran

1 ulasan

Hukum wanita haid memegang dan membaca al-Quran
Perempuan-perempuan yang didatangi haid seringkali mengalami kekeliruan dalam menghadapi hari-harinya itu. Al-Quran yang sering dilaziminya menjadi masalah bagi mereka. Bolehkah membacanya? Bagaimana mahu membacanya? Bolehkah Al-Quran itu dipegang? Najiskah wanita yang berada dalam haid itu? Sama-sama kita meneliti bicara tentang persoalan-persoalan yang sering bermain di minda wanita.

Pertama: Hukum wanita yang didatangi haid memegang al-Qur’an.

Umumnya terdapat dua pendapat.

1. Yang pertama mengatakan tidak boleh

2. Manakala yang kedua berkata boleh.



Pendapat yang pertama merujuk kepada firman Allah:

Yang tidak disentuh melainkan oleh makhluk-makhluk yang diakui bersih suci.
[al-Waqiah 56:79]

Diikuti dengan sabda Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam:

Tidaklah menyentuh al-Qur’an dan tidak juga mushaf melainkan orang yang suci.

Manakala bagi pendapat kedua, mereka berpegang kepada kaedah bahawa seseorang wanita yang sedang haid boleh melakukan semua perkara seperti biasa melainkan wujud dalil tepat (qathi) yang melarangnya. Dalam hal ini, yang jelas dilarang adalah bersolat, berpuasa, melakukan tawaf dan bersetubuh.
Adapun hukum memegang al-Qur’an, tidak ada dalil tepat yang melarang seseorang yang sedang haid daripada memegangnya.

Ayat al-Qur’an yang dijadikan rujukan oleh pendapat pertama adalah tidak tepat untuk dijadikan hujah kerana perkataan al-Mutatahharun sebenarnya merujuk kepada para malaikat sebagaimana yang boleh dilihat daripada keseluruhan ayat yang berkaitan:

Bahawa sesungguhnya itu ialah Al-Quran yang mulia, Yang tersimpan dalam Kitab yang cukup terpelihara, Yang tidak disentuh melainkan oleh makhluk-makhluk yang diakui bersih suci; Al-Quran itu diturunkan dari Allah Tuhan sekalian alam.
[al-Waqiah 56:77-80]

Berkata Ibnu Abbas radhiallahu 'anh, ayat “fii Kitabim-maknun” bererti di langit, yakni di al-Lauh al-Mahfuz manakala al-Mutatahharun adalah para malaikat yang suci.

Justeru keseluruhan ayat al-Quran sebenarnya menerangkan tentang kitab al-Qur’an yang sebelum ini tersimpan dalam al-Lauh al-Mahfuz. Di sana ia tidak disentuh oleh sesiapa kecuali para malaikat sehinggalah ia diturunkan ke bumi kepada manusia.

Hadis yang dijadikan dalil melarang juga adalah tidak tepat sandarannya kerana perkataan al-Taharun yang bererti suci adalah satu perkataan yang memiliki banyak erti (lafaz Mushtarak) dan mengikut kaedah Usul Fiqh: Sesuatu perkataan yang memiliki banyak erti tidak boleh dibataskan kepada satu maksud tertentu sahaja melainkan wujud petunjuk yang dapat mendokongi pembatasan tersebut.

Perkataan suci dalam hadis di atas boleh bererti suci daripada najis seperti tahi dan air kencing. Boleh juga bererti suci daripada hadas besar seperti haid dan junub, dan suci daripada hadas kecil yakni seseorang yang dalam keadaan wudhu’.

Ia juga boleh bererti suci dari sudut akidah sepertimana firman Allah terhadap orang-orang musyrik:

Sesungguhnya orang-orang musyrik itu najis.
[al-Taubah 9:28]

Oleh itu perlu dicari maksud sebenar kepada perkataan suci dalam hadis di atas. Salah satu caranya ialah dengan mengkaji keseluruhan hadis di mana ia sebenarnya adalah sepucuk surat yang dihantar oleh Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam kepada seorang sahabat di Yaman. Pada saat itu Yaman adalah sebuah wilayah yang penduduknya masih terdiri daripada campuran orang bukan Islam dan Islam, justeru kemungkinan yang besar adalah surat tersebut bertujuan melarang al-Qur’an daripada disentuh oleh orang bukan Islam. Himpunan antara asal usul hadis dan rujukan al-Qur’an kepada orang musyrik sebagai najis dapat mengarah kepada satu petunjuk yang tepat bahawa erti suci dalam hadis di atas sebenarnya merujuk kepada orang Islam. Justeru keseluruhan hadis sebenarnya melarang orang-orang bukan Islam daripada memegang kitab atau mushaf al-Qur’an.

Akhirnya jika dianalisa antara dua pendapat di atas, yang lebih tepat adalah pendapat kedua yang membolehkan seorang wanita yang sedang haid untuk memegang al-Qur’an.

Kedua: Hukum wanita yang didatangi haid membaca al-Qur’an.

Dalam persoalan ini terdapat sebuah hadis Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam:

Tidak boleh membaca sesuatu apa jua daripada al-Qur’an seorang yang dalam keadaan junub atau haid.

Hadis ini memiliki beberapa jalan periwayatan namun setiap darinya adalah dha‘if.
Berkata Imam al-Nawawi rahimahullah (676H).

"Adapun hadis Ibn Umar: “Tidak boleh membaca sesuatu apa jua daripada al-Qur’an seorang yang dalam keadaan junub atau haid”.

Ia diriwayatkan oleh al-Tirmizi, Ibn Majah, al-Baihaqi dan selainnya. Ia adalah hadis yang dha‘if, didha‘ifkan oleh al-Bukhari, al-Baihaqi dan selainnya. Kedha‘ifan yang terdapat padanya adalah jelas.

Namun sebahagian ahli fiqh tetap melarang seorang wanita yang sedang haid daripada membaca al-Qur’an kerana diqiyaskan keadaan haid kepada keadaan junub.

Namun hal ini dianggap tidak tepat kerana dua sebab:

1. Peranan qiyas ialah mengeluarkan hukum bagi perkara-perkara yang tidak wujud pada zaman Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam. Apa-apa perkara baru yang wujud selepas itu, maka hukumnya disandarkan secara analogi kepada sesuatu yang sudah sedia dihukumkan pada zaman Rasulullah berdasarkan kesamaan sebabnya (‘illat). Adapun haid, maka ia adalah sesuatu yang wujud secara lazim pada zaman Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam. Apabila pada zaman itu Allah dan Rasul-Nya tidak menjatuhkan hukum melarang wanita yang haid daripada membaca al-Qur’an, maka tidak perlu bagi orang-orang terkemudian membuat hukum yang baru.

2. Haid dan junub adalah dua keadaan yang jauh berbeza. Junub adalah satu keadaan di mana seseorang itu memiliki pilihan untuk berada dalamnya atau tidak, dan seseorang itu boleh keluar daripada keadaan junub pada bila-bila masa melalui mandi wajib atau tayamum. Berbeza halnya dengan haid, ia bermula dan berakhir tanpa pilihan. Sebahagian lain melarang atas dasar memelihara kesucian dan keagungan al-Qur’an. Justeru mereka berpendapat tidak boleh membaca (mentilawahkan) al-Qur’an kecuali beberapa perkataan atas dasar zikir dan memperoleh keberkatan.

Pendapat ini juga dianggap kurang tepat kerana seseorang wanita, sama ada dalam keadaan haid atau tidak, tetap dianggap suci dan dihalalkan bagi mereka semua yang dihalalkan melainkan wujudnya dalil yang sahih yang melarang sesuatu ibadah seperti solat, puasa, tawaf dan bersetubuh. Adapun pensyari‘atan mandi wajib selepas berakhirnya tempoh haid, ia adalah penyucian atas sesuatu yang sedia suci dan bukannya penyucian atas sesuatu yang sebelum itu bersifat najis. Oleh itu tidaklah berkurang sedikitpun kesucian dan keagungan al-Qur’an apabila ia dibaca oleh seseorang wanita yang sedang dalam keadaan haid.

Pernah sekali Abu Hurairah radhiallahu 'anh mengasingkan diri daripada Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam. Beliau balik ke rumah untuk mandi wajib dan kemudian kembali. Rasulullah bertanya kenapakah dilakukan sedemikian, lalu Abu Hurairah menerangkan bahawa tadi beliau sebenarnya dalam keadaan junub. Mendengar itu Rasulullah bersabda:

Subhanallah! Wahai Abu Hurairah! Sesungguhnya orang mukmin tidaklah ia menjadi najis.

Kata-kata Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam di atas bersifat umum, menunjukkan bahawa seorang mukmin tidaklah ia sekali-kali akan berada dalam keadaan najis sekalipun dia dalam keadaan junub. Termasuk dalam keumuman hadis ini ialah wanita yang sedang haid. Sebagai rumusan kepada kupasan ini, berikut dinukil kata-kata Syaikh al-Islam Ibn Taimiyyah rahimahullah (728).

Sesungguhnya para wanita mereka mengalami haid pada zaman Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam, maka seandainya membaca al-Qur’an diharamkan ke atas mereka (ketika haid) sepertimana solat, pasti baginda Nabi shallallahu 'alaihi wasallam akan menjelaskannya kepada umatnya. Baginda akan mengajarnya kepada para Ummul Mukminun (para isteri baginda) dan akan dinukil daripada mereka oleh orang ramai. Akan tetapi tidak ada satupun (riwayat) yang melarang yang dinukil daripada Nabi. Oleh itu hal ini tidak boleh dianggap terlarang padahal telah diketahui bahawa baginda tidak melarangnya. Justeru jika baginda tidak melarangnya padahal ramai wanita yang haid di zamannya, maka sesungguhnya ketahuilah bahawa ia sememangnya tidak haram.

Kesimpulan:

Allah Subhanahu wa Ta‘ala berfirman:

Alif-Lam-Mim. Kitab Al-Quran ini, tidak ada sebarang syak padanya; ia pula menjadi petunjuk bagi orang-orang yang (hendak) bertaqwa.
[al-Baqarah 2:1-2]

Setiap individu Muslim yang bertaqwa memerlukan al-Qur’an sebagai kitab yang memberi petunjuk kepada mereka. Petunjuk ini diperlukan pada setiap masa dan tempat, termasuk oleh para wanita ketika mereka didatangi haid. Tidak mungkin untuk dikatakan bahawa ketika haid mereka tidak memerlukan petunjuk dalam kehidupan sehari-harian mereka. Atas keperluan inilah al-Qur’an dan al-Sunnah yang sahih tidak melarang para wanita yang didatangi haid daripada memegang dan membaca al-Qur’an seperti biasa. Adapun pendapat yang mengatakan ianya haram, ia adalah pendapat yang lemah sekalipun masyhur.

Wallahua'lam.
P/s: Artikel ni saya sediakan khusus buat ummu nashwa yang pernah meminta saya menyediakan artikel tentang tajuk di atas. Saya sempat menulis secara ringkas. Namun, satu pagi ketika saya gooling , saya menemui ada satu artikel yang lengkap dan mudah difahami. Lantas saya mengambil keputusan untuk menjadikan artikel itu sebagai point utama untuk membincangkan topik ini. Semoga kita semua mendapat manfaat daripadanya.


Free Template Blogger collection template Hot Deals BERITA_wongANteng SEO

Selasa, 16 Februari 2010

Ibu? Lembu? Mana yang betul?

2 ulasan
Ada satu cerita yang mahu saya kongsi tentang anak saya Lubna. Lubna semakin nakal. Kalau ada sesuatu yang baru yang Lubna dapat, pasti dia akan menyebutnya secara berulang-ulang. Bila sudah menguasainya, ada saja ideanya untuk mengenakan kami.

Iklan memang ‘rancangan’ yang favourite bagi Lubna. Ingat iklan susu Nespray? “Ibu..ibu..engkaulah ratu hatiku.” (semua pasti tahu iramanya kan.) Begitulah skrip iklan. Lubna pandai mengikutnya dengan caranya tersendiri. “Ibu..Ibu..” setakat itu saja, siap dengan gaya sebagaimana iklan yang ditonton. Kami terhibur dengan gelagat Lubna.

Satu hari ketika Lubna bertanya tentang gambar-gambar dalam kutaibnya:

“ Apa tu?” Lubna bertanya.

“Cow sayang” Saya menjawab spontan bila melihat gambar seekor lembu.

Cepat-cepat Lubna memintas, “Ukan..! (bukan)”

“Habis tu apa?” Saya memulangkan soalan kepadanya.

“Ibu.." Jawab Lubna lagi. Tegas nadanya.

“Aaah.. Lembu” Saya mengiyakan apa yang Lubna jawab.

“Ukan! Ibu.” Kata Lubna lagi sambil jarinya menunjuk ke arah gambar lembu tadi.

“Ok..ok.. ibu.” Saya mengiyakan. Malas juga nak bergaduh dengan si kecik ini hanya tentang gambar seekor lembu.

Tiba-tiba Lubna menyanyikan irama iklan nespray dengan gayanya sekali.


“Ibu…ibu…” Lubna terus menyanyi. Setelah itu, Lubna tergelak sambil menutup mulutnya tanda malu.

Laa..nyanyi lagu lembu ke..ibu?Ni pasti silap faham ni. Lembu dengan ibu, jauh maksudnya sayang!.

Hai Lubna...


Lubna ni silap faham..atau nak kenakan mama ni.. :)


Free Template Blogger collection template Hot Deals BERITA_wongANteng SEO

Panas.. Kenapa?

0 ulasan
Cuaca panas sejak akhir-akhir ni memang terasa memeritkan. Siang panas, malam pun panas. Kipas angin yang berpusing, juga memanaskan. Angin yang berhaba disebarkan. Tadi berita di tv menyiarkan bahawa suhu tertinggi di Semenanjung Malaysia mencecah 36 darjah celcius (Cuping, Perlis) Tapi saya percaya bahawa suhu sebenarnya lebih tinggi daripada apa yang diumumkan agar masyarakat tidak terlalu gusar dengan cuaca panas yang sedang melanda ini. Saya masih ingat ketika berada di Mesir dulu, kerajaan mengumumkan suhu tertinggi hampir 40 darjah celcius. Tetapi alat ukur suhu mencecah hampir 50 darjah celcius.


Panas dunia.. panas lagi di Akhirat. Begitulah hakikat yang perlu disedari. Kepanasan yang sedang melanda ini adalah akibat sikap manusia sendiri yang terlalu rakus mengejar kemajuan dan glamour dunia semata-mata. Percaya bahawa agama Islam itu adalah jaminan ke Akhirat, tetapi secara praktikalnya adalah sebaliknya. Bila disebut sahaja tentang agama, tentang ibadah, tentang nilai murni, tentang hukum.. terasa sesak nafas di dada, Panas! Semua itu menghalang kemajuan. Nah! Inilah akibatnya. Benar-benar panas!

Kepanasan yang Allah turunkan mempunyai hikmahnya. Buat manusia yang mahu berfikir, hakikatnya barulah menyedari bahawa Allah Maha Berkuasa, Allah Maha Esa, Allah adalah Tuhan kita. Barulah ingat akan Tuhan yang Maha Esa. Saya berasa sedih apabila ada segelintir masyarakat yang mengasingkan antara agama dan dunia. (Inilah secular). Satu fahaman dari kristian di zaman ortodoks kini menjadi pegangan masyarakat di zaman moden.

Buktinya? Ya, andai disebut tentang program, projek, pesta, pertandingan yang tidak berkait dengan acara agama secara khusus, pasti sambutannya amat membanggakan. Apalagi jika berkaitan dengan dunia hiburan. Penontonnya ramai. Penajanya juga begitu. Akademi Fantasia, Mentor, Malaysian Idol, Idola Kecil, One In A Million dan banyak lagi. Hadiah yang ditawarkan juga mencapai nilai ratusan ribu ringgit. Bahkan jutaan ringgit.

Tetapi lihat sahaja jika berkait dengan agama secara khusus, pasti penajanya amat terhad. Nilai yang ingin dilaburkan juga dalam nilai ‘berjaga-jaga’ kerana jaminannya tidak pasti. Program adik-adikku (program reality baru di tv9), nilai hadiah yang ditawarkan bagi tempat pertama RM3ribu. Akademi Al-Quran, RM30ribu. Saya bukan menilai jumlah wang yang ditawarkan, tetapi lebih jauh daripada itu. Saya melihat dan menilai dari aspek sambutan yang berhajat menanam saham dalam rancangan berbentuk agama. Jauh terkebelakang. Inilah antara fenomena yang sedang berlaku. Agama itu hanyalah dalam urusan menguruskan kematian. Jika tidak, agama dianggap penghalang segaal-galanya. Sedangkan agama itu adalah panduan menjalani kehidupan ini. Janganlah apabila bencana menimpa, barulah kita terkapai-kapai mencari agama.

Free Template Blogger collection template Hot Deals BERITA_wongANteng SEO