Ibu bapa perlu menyedari bahawa anak-anak bukanlah anugerah daripada Allah yang perlu dibangga-bangga, bahkan ianya adalah amanah besar yang perlu ditunaikan. Mereka perlu dijaga, dibentuk, dididik, dilindungi serta diberikan hak-hak mereka sebagai anak.
Oleh yang demikian, pasangan yang mahu berkahwin, bukan sahaja perlu memikirkan perancangan mengadakan kenduri kahwin yang gilang-gemilang, malah yang lebih penting adalah mempersiapkan diri dari sudut fizikal dan mental dengan parenting knowledge dan parenting skill agar dapat melalui hari-hari selepas akad nikah dilafazkan dengan penuh bermakna.
Setelah episod hari perkahwinan berlalu, maka bagi yang dikurniakan cahaya mata, itulah pengikat kasih dan cinta dua jiwa yang dijodohkan Allah. Namun bagi yang pasangan yang belum dikurniakan cahaya mata, janganlah berputus harap kepada Yang Maha Esa kerana ianya merupakan satu skala penguji kesabaran buat insan-insan yang terpilih.
Memegang title ibu dan bapa, semestinya ujian membesarkan anak-anak adalah satu cabaran baru yang perlu dihadapi dan dilalui dengan sabar. Jangan sekali menganggap kehadiran insan kecil ke dunia ini sebarang penggugat kedudukan ekonomi rumahtangga apatah lagi apabila dikurniakan anak-anak yang ramai. Anggaplah mereka sebagai saham yang akan melonjakkan amalan kebaikan kita ketika di Akhirat kelak. Maka, berbuat baiklah terhadap mereka.
Kerana itu, Islam amat menyeru agar berbuat baik terhadap anak-anak. Baginda Rasulullah S.A.W sendiri adalah insan yang amat menyayangi anak-anak. Abu Hurairah r.a meriwayatkan bahawa Aqra bin Habis At-Tamimi melihat Rasulullah S.A.W mencium Hasan bin Ali. Ia pun berkata: “ Aku memiliki sepuluh anak lelaki, tetapi aku belum pernah mencium mereka.” Rasulullah S.A.W melihat Aqra lalu bersabda: “Barangsiapa yang tidak menyayangi sesama, maka ia tidak akan disayangi.”
Begitu juga dengan kisah di mana Usamah bin Zaid berkata: “Rasulullah S.A.W pernah mengangkatku dan mendudukkanku di atas salah satu paha baginda, dan mendudukkan Hasan bin Ali di atas paha baginda yang lain. Baginda lalu memeluk kami berdua dan berkata: “Ya Allah Ya Tuhanku, rahmatilah mereka berdua kerana aku menyayangi mereka.” Betapa rasulullah amat menyayangi anak-anak.
Lantas sebagai ibu bapa, mendidik anak-anak adalah satu kewajipan yang perlu dilaksanakan. Didiklah hati-hati mereka agar mencintai Allah dan RasulNya sebelum mengenali perkara-perkara yang lain. Pupuklah di jiwa mereka agar menjadikan Islam sebagai panduan kehidupan buat selama-lamanya. Mereka akan selamat seandainya mengikut jejak-jejak kehidupan yang diajari walau badai dan taufan pergolakan akhlak terus mengganas.
Memperkenalkan anak-anak dengan membaca dan menghafaz Al-Quran sewajarnya ikutan. Al-Quran apabila dibaca, bukan sahaja mendapat pahala daripada setiap huruf-hurufnya, bahkan An-Nur dari Al-Quran itu diharapkan dapat menyinari jiwa dan menyucikan hati anak-anak kecil yang diibaratkan sebagai kain putih. Ibu bapalah yang mencorakkannya. Ibu bapa yang baik adalah ibu bapa yang sentiasa berdoa agar anak-anak menjadi anak yang soleh dan solehah, yang berguna untuk agama dan negara. Maknanya cukup luas dan penuh makna apabila dihalusi.
Pun begitu, dalam menyimpan impian yang menggunung terhadap anak-anak, pelbagai cabaran perlu dilalui. Anak-anak kecil penuh ragam dan kerenah. Anak-anak kecil yang baru lahir, ada yang tidurnya nyenyak di siang hari. Maka akan berjaga sepanjang malam. Lebih teruji lagi apabila tangisnya memecahkan hening sepanjang malam. Di situlah menguji kesabarn insan bergelar ibu dan bapa. Apatah lagi bagi mereka yang bekerjaya di siang hari keesokan harinya.
Di antara anak-anak yang sedang membesar, walaupun dari rahim yang sama, karakternya adalah berbeza. Ada yang bersopan santun, dan ada yang suka meng’explore’. Ada yang diberikan kecerdikan lebih awal, dan ada juga yang agak lambat. Bakatnya juga berlainan. Ada yang mempunyai bakat seni yang halus, dan ada juga yang memiliki tangan ‘kasar’ yang keras.. Itulah variasi yang Tuhan ciptakan untuk mewarnai dunia ini. Sungguh indah! Semuanya saling memerlukan antara satu sama lain. Punyai kelebihan dan kekurangan. Sesuai dengan sifat manusia yang lemah.
Namun, Ibu bapa jangan sesekali membezakan didikan dan perhatian terhadap anak-anak. Mendidik pula perlu disulami dengan kesabaran. Jauhi sifat beremosi apabila berhadapan dengan ragam mereka kerana ianya pasti akan mengundang sifat negative di dalam diri mereka. Nasihatlah dengan penuh hikmah agar mereka memahami. Alangkah baiknya jika kepimpinan ibu bapa melalui teladan diitunjukkan. Jika ibu bapa mahukan anak-anak berjiwa Al-Quran, maka ibu bapa dahulu yang perlu membaca Al-Quran setiap hari. Jika mahukan anak-anak yang melazimi solat setiap waktu, maka ibu bapa perlu mengajak anak-anak untuk solat berjamaah bersama-sama. Begitu juga jika inginkan anak-anak yang fasih bertutur bahasa Arab mahupun Inggeris, maka ibu bapa perlu memulakan langkah itu dengan mewujudkan suasana komunikasi dalam bahasa yang diinginkan. Mudah bukan? ;)
Hakikatnya, anak-anak kecil mendiami dunia keriangan. Jiwa mereka menyukai sesuatu yang indah dan penuh keseronokan. Itulah dunia anak-anak kecil. Jangan kita kotori dunia mereka itu dengan sifat memaksa dan memarahi mereka dengan penuh emosi. Saya cukup tersentuh dengan satu artikel di dalam Majalan Gen-Q bilangan 7 bertajuk Dinamika Sebuah Sabar hasil garapan siswazah Al-Azhar yang cukup baik untuk difahami tentang situasi yang melibatkan sabar menghadapi kerenah anak-anak. Contoh yang dapat dikongsi adalah, apabila mahukan anak mengemas barang-barang permainan yang berselerakan, janganlah di’suruh’ dengan nada marah dan memaksa, tetapi jadikan arahan itu sebagai sesuatu yang menghiburkan dengan mengadakan satu pertandingan mengemas. Pasti menarik bukan?
Berusahalah menjadi ibu bapa yang beriman dan bijaksana dalam mendidik anak-anak kerana ianya bakal melahirkan generasi yang mewarisi sifat itu. Insya Allah.
Free Template Blogger collection template Hot Deals BERITA_wongANteng SEO
0 ulasan:
Catat Ulasan