Jumaat, 6 April 2012

Satu Pengalaman di Bumi Jordan



Pagi tadi, saya terbaca artikel yang diLIKE hampir seribu orang, “Apa yang Saya Lalui Tentang Yahudi” oleh Prof. Madya Dr. Mohd Asri Zainul Abidin. Saya terkesan dengan artikel yang ditulis ketika bertandang ke bumi Jordan. Jelas dan mudah faham. Kesimpulannya, ISLAM adalah agama yang memang sejahtera. Tidak akan menghukum berdasarkan keturunan dan agamanya selagi seseorang itu tidak memerangi dan memusuhi Islam.


Bercakap tentang negara Jordan yang bersempadan dengan Negara Israel yang rata-ratanya adalah penduduk yang berbangsa Yahudi, ianya mengundang ingatan saya terhadapnya. Walaupun saya bukanlah penuntut Jamiah Urduniyyah, mahupun Mu’tah atau Al Ali Bayt di Jordan, saya pernah menjejakkan kaki ke sana untuk beberapa hari ketika menghadiri satu Persidangan Mahasiswa Islam di Mesir pada tahun 2001. Ketika itu usia saya baru menjejak 20 tahun. Saya mengambil kesempatan itu untuk turut sama menjejakkan kaki ke beberapa buah negara arab yang lain termasuk Jordan. Hajatnya lebih besar iaitu saya mahu menziarahit Masjidil Aqsa di Palestine yang pernah menjadi Kiblat Umat Islam sebelum ianya dialihkan ke kaabah di Masjidil Haram di Makkah. Tetapi, ketika saya bertandang ke Jordan, saya mendapat maklumat bahawa pintu sempadan baru sahaja ditutup untuk ke Palestine. Hajat saya terkubur sehingga ke hari ini.


Namun, ada juga hikmahnya saya ke Jordan. Benarlah kata pepatah Melayu “Jauh berjalan luas pandangan’. Bagi saya pandangan yang dimaksudkan bukan saya melihat kekuasaan Allah menerusi alam ciptaannya yang luas terbentang semata-mata, malah ianya juga mampu membuka hijab kejahilan. Daripada tidak tahu, menjadi tahu serba sedikit berbanding ilmu Allah yang terlalu luas.


Begitulah yang terjadi kepada diri saya apabila saya dibawa ke Laut Mati. Bukan mahu melihat laut yang kepekatannya 7 kali ganda dari kepekatan garam di lautan biasa, tetapi melihat menerusi mata kasar dan mata hati tentang kisah sebenar disebalik terbentuknya Lautan itu yang pernah disebut al-Quran iaitu tentang Kisah Nabi Lut dan kaumnya yang mengingkari perintah Allah di situ. Akhirnya diterbalikkan bumi oleh Allah dan Allah menenggelamkan kaum itu sehingga digelar bahrul Mayyit (Laut Mati).


Maka apabila datang (masa perlaksanaan) perintah Kami, Kami jadikan negeri kaum Lut itu diterbalikkan (tertimbus segala yang ada di muka buminya) dan kami menghujaninya dengan batu-batu dari tanah yang dibakar, menimpanya bertalu-talu. Batu-batu itu ditandakan di sisi Tuhanmu (untuk membinasakan mereka) dan Ia pula tidaklah jauh dari orang-orang yang zalim itu. Surah Hud: Ayat 82-83


Saya dapat mengatakan bahawa saya dapat menjiwai kisah sirah Nabi itu dengan lebih mendalam setelah berada di situ. Kesannya, setelah pulang, ‘ruh’ itu tetap dibawa bersama. Saya menjalankan beberapa kajian ringkas tentang peristiwa itu sehingga terbinalah beberapa artikel yang saya dapat kongsikan bersama rakan-rakan dan masyarakat. Namun, saya tidak tahu ke mana ‘pergi’nya artikel itu setelah 11 tahun berlalu..:)


Memandangkan negara itu adalah bersempadan dengan Negara Israel, saya mengasah perasaan dan minda inkuiri saya dengan meneliti sejarah pembentukannya. Saya dapat simpulkan bahawa Negara Israel pula adalah ‘negara’ yang dibina di atas bumi Palestine lantas diisytihar sebagai negaranya. Atas sebab itu, rakyat Palestine dan seluruh umat Islam tidak mengisytihar negara Israel ini kerana ianya terbentuk atas dasar kuasa ‘merampas’ hak milik rakyat Palestine yang beragama Islam. Hakikatnya tiada ‘negara Israel’ tercatat di atas peta dunia.


Saya juga dibawa melawat Medan Mu’tah di mana tercetusnya Peperangan Mu’tah di Zaman Pemerintahan Baginda Rasulullah SAW. Kalau sebelumnya saya hanya ‘endah tak endah’ sahaja membawa kisah itu, tetapi setelah ke sana, saya dapat rasakan ianya seolah-olah berlaku di depan mata saya sehingga saya merasa sungguh kagum dan gerun terhadap kekuatan tentera Islam ketika itu yang turun berjihad atas dasar mempertahankan Islam. Alangkah baiknya jika umat Islam hari ini turut berbangga dengan pencapaian Islam ketika itu sekaligus mewarisinya. Namun, saya sungguh sedih kerana umat Islam hari ini lupa dan tidak menjiwainya.


Begitu juga dengan lawatan ke Qal’ah (banteng pertahanan) Salahuddin Al-Ayyubi. Kagum dengan binaannya adalah satu perkara. Dibina oleh ‘arkitek’ Islam yang cukup mahir. Binaannya kukuh sehingga hari ini. Qal’ah itulah yang menjadi banteng pertahanan Umat islam ketika pemerintahan Salahuddin Al-ayyubi memerangi Perang salib. Percayaah, qal’ah itu bukan sahaja dibina di bumi Jordan, malah menelusuri di bumi arab yang lain seperti Mesir dan juga Syria.


Bercerita tentang perjalanan, memanglah terlalu banyak. Barangkali sehari suntuk menulis pun tidak cukup untuk di’ketik’ di papan kekunci ini. Biarlah saya menyimpan memori itu dan mengharapkan suatu hari nanti akan dapat kembali ke sana dan negara arab yang lain bersama suami saya Mohamad Hilmi Mohd Zain dan anak-anak. Bukan semata-mata untuk makan angin, tetapi mendapatkan ruh Islam yang sebenar lalu diserapkan kepada jiwa ana-anak kami Lubna, Syaima’ dan Fadwa yang bakal mewarisi kegemilangannya, Insya Allah.


Free Template Blogger collection template Hot Deals BERITA_wongANteng SEO

0 ulasan:

Catat Ulasan