Oleh: Baba Lubna
(Mohamad Hilmi Bin Mohd Zain)
بسم الله الرحمن الرحيم
Pendidikan di dalam masyarakat Islam bermula dari individu. Pendidikan individu pula bermula sejak dia di dalam kandungan ibu lagi. Malah, sebelum sebelum itu lagi. Iaitu pada diri ibu dan ayah anak ini. Ibu dan ayah mestilah terlebih dahulu mendidik diri agar menjadi seorang muslim yang soleh. Seorang mukmin yang patuh dan tunduk kepada perintah Tuhannya.
Kemudian ia berlanjutan kepada masa pemilihan bakal isteri atau suami, masa pertunangan, pernikahan, hubungan suami-isteri dan tempoh mengandung. Dalam tempoh ini ada peraturan, adab-adab dan amalannya yang diajarkan oleh al-Quran dan Sunnah.
Pendidikan awal ini terus berlangsung sebaik sahaja seorang bayi itu dilahirkan. Panduan dari sunnah Nabi s.a.w. perlu diikuti tatkala menyambut kelahiran si bayi dan pada masa awal kelahirannya. Justeru, penulisan ringkas ini akan membincangkan berkenaan sunnah-sunnah Nabi s.a.w. ketika menyambut kelahiran si comel agar hidup senantiasa dinaungi oleh lembayung rahmat Allah s.w.t.
1. MENGUCAPKAN TAHNIAH
Antara sunnah menyambut kelahiran bayi ialah setiap muslim dianjurkan memberi ucap selamat dengan mendoakan kesejahteraan anak dan ibubapanya, serta turut sama bergembira. Firman Allah s.w.t: “Kemudian Malaikat (Jibril) memanggil Zakaria, sedang dia sedang berdiri sembahyang di mihrab (katanya), "Sesungguhnya Allah menggembirakan kamu dengan kelahiran (seorang puteramu) Yahya…”( Aali-‘Imran: 39)
Orang-orang Islam adalah digalakkan supaya bersegera mengucapkan tahniah kepada saudara atau sahabat-handainya yang baru saja menerima cahayamata. Amalan ini disurah kerana ianya menghibur hati saudaranya, selain itu dapat mengeratkan lagi tali silaturrahim sesama mereka. Di samping mengucapkan tahniah, mereka juga dianjurkan mendoakan dengan doa:
“Semoga Allah memberkati Kurniaan-Nya, syukurilah atas pemberian ini, penuhilah keperluannya dan rezekikanlah kebaikan di masa hadapannya’” (Hadith riwayat Muslim).
Kemudian apabila doa ini diucapkan maka disunatkan pula kita mendoakannya kembali dengan ucapan:
Ibnu Qaiyim al-Jauziyah menyebutkan di dalam Tuhfatul Maudud, dari Abu Bakar al-Munzir, bahawa dia berkata: Telah meriwayatkan kepada kami dari al-Hasan al-Basri bahawa seorang lelaki telah datang kepadanya, dan di sisinya ada seorang lelaki yang baru dianugerahi seorang bayi. Lelaki itu berkata kepada orang yang mempunyai bayi tersebut: "Selamat bagimu atas kelahiran seorang penunggang kuda." Hasan al-Basri berkata kepada lelaki itu: "Apakah kamu tahu, apakah dia seorang penunggang kuda atau penunggang keldai?" Lelaki itu bertanya: "Jadi bagaimana cara kami mengucapkannya?" Hasan al-Basri menjawab: "Katakanlah, semoga kamu diberkati di dalam apa yang diberikan kepadamu. Semoga kamu bersyukur kepada yang memberi. Semoga kamu diberi rezeki dengan kebaikannya, dan semoga ia mencapai masa balighnya."
2. AZAN DAN IQOMAH
Terdapat beberapa buah hadith berkenaan azan di telinga kanan dan iqomah di telinga kiri bayi ketika ia baru dilahirkan, antaranya hadith Abi Rafi’:
"رأيت رسول الله صلى الله عليه وسلم أذّن في أذن الحسن بن علي حين ولدته فاطمة "
Dari Abu Rafi’, katanya: “Aku melihat Rasulullah s.a.w. mengumandangkan azan di telinga al-Hasan bin Ali ketika ibunya (Fatimah) melahirkannya”. (Hadith riwayat Abu Daud, al-Tirmizi, Ahmad dan al-Hakim).
Hadith Dari al-Hassan cucunda Nabi s.a.w:
مَنْ وُلِدَ لَهُ مَوْلُودٌ فَأَذَّنَ فِي أُذُنِهِ الْيُمْنَى وَأَقَامَ فِي الْيُسْرَى لَمْ تَضُرَّهُ أُمُّ الصِّبْيَانِ
Dari al-Hasan bin Ali dari Rasulullah s.a.w., baginda bersabda: “Barangsiapa yang anaknya baru dilahirkan, kemudian dia mengumandangkan azan ke telinga kanannya dan iqamat di telinga kirinya, maka anak yang baru lahir itu tidak akan terkena bahaya `ummu shibyan” (Hadith riwayat Ibnu Sunni).
`Ummu shibyan’ ialah angin yang dihembuskan kepada anak, jadi anak itu takut kepadanya. Ada juga yang berkata bahawa ia adalah pengikut jin.
Akan tetapi hadith-hadith ini lemah dari sudut sanadnya (hadith dhaif dan tidak keterlaluan dhaifnya). Sebilangan ulama berpendapat tidak boleh beramal dengan hadith dhaif walaupun dhaif itu tidak keterlaluan dan sebilangan lagi berpendapat boleh beramal dengan hadith dhaif yang dhaifnya tidak keterlaluan dan mereka meletakkan syarat-syarat sebelum beramal dengan hadith tersebut. Antara syaratnya ialah tidak beriktiqad dengan pasti bahawa amalan tersebut datang dari Rasulullah s.a.w, tetapi pengamalan tersebut sekadar ‘kemungkinan’ datang dari Rasulullah s.a.w.
Kesimpulannya, azan dan iqamah boleh saja dilaungkan di telinga bayi baru lahir dengan syarat tidak beriktiqad bahawa ia merupakan sunnah dari Nabi s.a.w, tetapi sekadar beramal dengan kelebihannya dan kewajarannya.
ü Adalah wajar anak atau bayi ini diazan dan diiqamatkan agar kalimah pertama yang didengarnya dan tembus ke gegendang telinganya adalah kalimah seruan Yang Maha Agung. Kalimah yang mengandungi persaksian (syahadah) terhadap keesaan Allah dan persaksian terhadap kerasulan Muhamad bin Abdullah s.a.w.
ü Anak yang baru menghirup udara dunia ini telah diajarkan dengan aqidah dan syariat Islam, sebagaimana seseorang yang akan mati diajarkan dengan kalimah tauhid `La ilaha illallah’. Agar pengaruh azan ini dapat meresap ke dalam diri anak ini.
ü Azan ini juga untuk mengusir syaitan yang memang menanti-nanti kelahiran bayi ini.
ü Azan dikumandangkan ke telinga bayi agar seruan dakwah kepada Allah dan agamanya dapat mendahului seruan jahat syaitan.
ü Azan dan iqomah yang diperdengarkan akan dirakam oleh bayi berkenaan yang menjadi sebahagian dari pendidikan tauhid, syariat dan akhlak
Bagaimana pun jangan lupa satu hal yang warid (datang) secara sahih dari Nabi s.a.w. berkenaan doa untuk menghalau syaitan dari bayi yang baru dilahirkan.
Ibn ‘Abbas meriwayatkan dari Nabi s.a.w:
كَانَ رَسُوْلُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يُعَوِّذُ الَحَسَنَ وَالْحُسَيْنَِ: " أُعِيْذُكُماَ بِكَلِمَاتِ اللهِ التَامَّةِ مِنْ كُلِّ شَيْطاَنٍ وَهاَمَّةٍ وَمِنْ كُلِّ عَيْنٍ لاَمَّةٍ
“Adalah Rasulullah s.a.w. meminta perlindungan daripada Allah kepada al-Hasan dan al-Husain (cucu-cucunya): “Aku mohon perlindungan kepada kamu berdua dengan kalimah Allah daripada setiap syaitan dan binatang berbisa, dan dari setiap mata jahat yang mencela” (hadith riwayat al-Bukhari).
Ketika membaca doa ini, kalimah “أُعِيْذُكُماَ “ yang membawa maksud memohon perlindungan untuk dua orang perlu ditukar bersesuaian dengan kepada sesiapa yang dibacakan doa ini. Jika dibaca kepada ramai (أُعِيْذُكُمْ), dibaca kepada bayi/kanak-kanak lelaki (أُعِيْذُكَ ), bayi/kanak-kanak perempuan (أُعِيْذُكِ ).
Doa ini lebih warid dan perlu diamalkan di samping mengalunkan azan ditelinga bayi.
3. AQIQAH
Aqiqah adalah sembelihan yang dilakukan sebagai ungkapan rasa syukur atas kelahiran seorang bayi. Majoriti ulama menyatakan bahwa hukum aqiqah adalah sunnah muakkaddah baik bagi bayi laki-laki maupun bayi perempuan dan sebahagian lain menyatakan sebagai wajib.
عَنْ سَمُرَةَ بْنِ جُنْدُبٍ عَنْ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ كُلُّ غُلاَمٍ رَهِينٌ بِعَقِيقَتِهِ تُذْبَحُ عَنْهُ يَوْمَ سَابِعِهِ وَيُحْلَقُ رَأْسُهُ وَيُسَمَّى
Rasulullah s.a.w bersabda: “Setiap yang dilahirkan tergadai dengan aqiqahnya yang disembelih pada hari ketujuh dari kelahirannya dan dicukur rambutnya serta diberi nama.” (hadith riwayat Ahmad dan Ashabus Sunan)
Pelaksanaannya dapat dilakukan pada hari ke tujuh (ini yang lebih utama menurut para ulama), keempat belas, dua puluh satu atau pada hari-hari yang lainnya yang memungkinkan.
عن عبد الله بن بريدة عن ابيه عن النبي صلى الله عليه وسلم قال: العقيقة تذبح لسبع ولأربع عشرة ولإحدى وعشرين.
Rasulullah s.a.w bersabda: “Aqiqah disembelih pada hari ketujuh kelahiran atau hari keempat belas atau hari kedua puluh satu”
Yang lebih utama adalah menyembelih dua ekor kambing yang berdekatan umurnya bagi bayi laki-laki dan seekor kambing bagi bayi perempuan.
عَنْ أُمِّ كُرْزٍ أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ: فِي الْغُلاَمِ شَاتَانِ مُكَافَأَتَانِ وَفِي الْجَارِيَةِ شَاةٌ.
Dari Ummi Kurz Al-Ka’biyyah, ia berkata: Aku mendengar Rasulullah s.a.w bersabda: “Untuk anak lelaki dua ekor kambing yang berdekatan umurnya dan untuk anak perempuan seekor kambing.” (hadith riwayat Ahmad dan al-Tirmizi).
Jika tidak berkemampuan, boleh disembelih seekor kambing bagi anak lelaki berdasarkan sebuah hadith sahih dari Ibn al-‘Abbas bahawa Nabi s.a.w menyembelih untuk al-Hasan dan al-Husain seorang seekor kambing.
Daging hasil sembelihan aqiqah tersebut boleh dibahagikan kepada siapa sahaja dan tidak ada pembahagian khas untuk yang melaksanakannya, sebagaimana halnya daging qurban. Bahkan dalam aqiqah, orang yang melakukan aqiqah diperbolehkan memakan semuanya. Akan tetapi, sebagaimana sunnah Rasulullah s.a.w hendaklah daging tersebut dibahagikan kepada para jiran, baik yang miskin mahupun kaya, sebagai ungkapan rasa syukur orang yang melaksanakannya, serta mudah-mudahan mereka yang menerima akan tergerak hatinya untuk mendoakan kebaikan bagi anak tersebut. (Lihat kitab At-thiflu Wa Ahkamuhu oleh Ahmad bin Ahmad Al-Isawiy, hal 197).
Secara ketentuan, daging aqiqah sunnah dibagikan dalam bentuk makanan siap dimasak. Ini berbeza dengan daging qurban yang disunnahkan untuk dibahagikan dalam keadaan mentah.
Binatang yang boleh diaqiqahkan hanyalah kambing menurut pendapat yang lebih kuat (apa jua jenis dan baka kambing diperbolehkan) dan tidak boleh berkongsi atas sembelihan aqiqah. Ini berdasarkan hadith Abi Hurairah r.a: “ مَعَ الْغُلامِ عَقِيقَةٌ فَأَهْرِيقُوا عَنْهُ دَمًا وَأَمِيطُوا عَنْهُ الْأَذَى “
“Bagi anak itu aqiqah maka alirkanlah bagi darah (binatang aqiqah tersebut) dan buanglah darinya (anak/bayi) rambut”. (hadith riwayat al-Bukhari, dll).
Dapat difahami dari hadith tersebut bahawa satu kepala untuk satu kepala (darah sembelihan ditumpahkan dari seekor kambing untuk seorang anak).
Memang terdapat hadith yang menyatakan boleh menyembelih aqiqah selain kambing tetapi hadith tersebut bermasalah. Manakala hadith Aisyah r.a menjelaskan:
نفس لعبد الرحمن بن أبى بكر غلام فقيل لعائشة رضى الله عنها يا ام المؤمنين عقى عليه أو قال عنه جزورا فقالت معاذ الله ولكن ما قال رسول الله صلى الله عليه وسلم شاتان مكافأتان.
“Abd. Rahman b. Abi Bakar (saudara Aisyah) telah mendapat seorang anak lelaki dan memberitahu Aisyah bahawa ia ingin menyembelih aqiqah seekor unta. Maka Aisyah r.a berkata: Berlindunglah dengan Allah, akan tetapi apa yang telah Rasulullah s.a.w katakan adalah dua ekor kambing yang berdekatan umurnya”. (hadith hasan riwayat al-Tahawi dan al-Baihaqi)
Walaupun masalah ini dikatakan khilaf di kalangan ulama fekah akan tetapi kaedah yang dipegang oleh ulama fekah juga ada menyebut “ الخروج من الخلاف مستحب “ (keluar dari masalah khilaf itu digalakkan/lebih utama). Maka dalam masalah ini, keluar dari hal khilaf, iaitu dengan menyembelih aqiqah selain kambing dengan hanya menyembelih kambing sebagai aqiqah adalah lebih baik, utama dan selamat serta inilah yang bertepatan dengan sunnah yang sahih.
4. MENCUKUR RAMBUT
Ini dilakukan sebaik-baiknya pada hari ketujuh kelahirannya.
عَنْ سَمُرَةَ بْنِ جُنْدُبٍ عَنْ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ كُلُّ غُلاَمٍ رَهِينٌ بِعَقِيقَتِهِ تُذْبَحُ عَنْهُ يَوْمَ سَابِعِهِ وَيُحْلَقُ رَأْسُهُ وَيُسَمَّى
Rasulullah s.a.w bersabda: “Setiap yang dilahirkan tergadai dengan aqiqahnya yang disembelih pada hari ketujuh dari kelahirannya dan dicukur rambutnya serta diberi nama.” (hadith riwayat Ahmad dan Ashabus Sunan)
kemudian rambut itu ditimbang seberat perak dan disedekahkan pada fakir miskin, jika tidak mampu maka ditukarkan atas kadar wang atau sebagainya.
عن أنس بن مالك "أن رسول الله صلى الله عليه وسلم أمر برأس الحسن والحسين يوم سابعهما، فحلقا، وتصدق بوزنه من فضة".
“Dari Anas b. Malik r.a “bahawa Rasullah s.a.w memerintahkan agar rambut al-Hasan dan al-Husain dicukur pada hari ketujuh kelahiran mereka dan disedeqahkan berat timbangan rambut dengan perak” (riwayat al-Tirmizi, Abu Daud, al-Nasaiy, Ibn Majah)
Amalan bercukur ini mengandungi hikmah yang tertentu iaitu: dari sudut kesihatan, ia boleh menguatkan tenaga pertumbuhannya, menghilangkan selaput kulit kepala (iaitu sejenis cecair beku yang meliputi kulit kepala) dan juga dapat memberikan daya kekuatan dan ketajaman pada penglihatan mata, bau dan pendengaran. Dari sudut kemasyarakatan bercukur mengalakkan umatnya bersedekah disamping menunjukkan kesyukuran kepada Allah di atas kurniaan-Nya.
Walaupun disunatkan bercukur bagi orang Islam tetapi dilarang daripada melakukan qaza’ iatu mencukur sebahagian kepala kanak-kanak dan meninggalkan sebahagian yang lain.
عن ابن عمر قال: "نهى رسول الله عن القزع "
“Dari Ibn ‘Umar ra. Berkata: “Rasulullah s.a.w melarang dari al-qaza’ (memotong/mencukur sebahagian sahaja dari rambut)”
Larangan ini mempunyai hikmahnya yang tersendiri, ini untuk menunjukkkan sifat keadilan Allah s.w.t dan RasulNya s.a.w. di mana manusia diperintahkan supaya berlaku adil walaupun terhadap dirinya sendiri. Larangan mencukur sebahagian kepala dan meninggalkan sebahagian kepala dan meninggalkan sebahagian yang lain merupakan suatu perbuatan yang zalim kepada kepala kerana hal sedemikian menyebabkan sebahagian kepala akan ditutupi dan sebahagian yang lain terdedah tanpa rambut. Termasuk dalam al-qaza’ ini ialah mencukur atau memotong sedikit sahaja rambut dan meninggal yang lain atau meninggalkan jambul di kepala.
Dalam hadith yang lain, Rasulullah s.a.w bersabda: “kalau bercukur, bercukurlah kesemuanya dan kalau tinggalkan (rambut) tinggalkanlah kesemuanya” (hadith riwayat Abu Daud).
5. MEMBERI NAMA ANAK
Islam mengalakkan umatnya memilih nama yang baik untuk dinamakan kepada anak-anak kita sebagai tanda pengenalan dan perbezaan antara orang Islam dan Orang yang bukan Islam. Nama yang baik juga sangat mustahak kerana panggilan yang sering dipanggil adalah doa yang dapat memperngaruhi keperibadian anak tersebut. Sebaiknya anak itu diberi nama pada hari ketujuh kelahirannya berdasarkan hadith:
عَنْ سَمُرَةَ بْنِ جُنْدُبٍ عَنْ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ كُلُّ غُلاَمٍ رَهِينٌ بِعَقِيقَتِهِ تُذْبَحُ عَنْهُ يَوْمَ سَابِعِهِ وَيُحْلَقُ رَأْسُهُ وَيُسَمَّى
Rasulullah s.a.w bersabda: “Setiap yang dilahirkan tergadai dengan aqiqahnya yang disembelih pada hari ketujuh dari kelahirannya dan dicukur rambutnya serta diberi nama.” (hadith riwayat Ahmad dan Ashabus Sunan).
Nama-Nama Yang Baik.
1. Abdullah atau Abd. Rahman.
“أحب الأسماء إلى الله: عبد الله وعبد الرحمن
“Nama yang paling disukai oleh Allah: Abdullah dan Abd. Rahman” (hadith riwayat Muslim).
2. Nama Dari Asma’ Al-Husna
Seperti Abd. Al-Aziz, Abd. Karim, Abd. Malik dan lain-lain.
3. Nama Para Nabi dan Rasul
4. Nama Para Sahabat dan Orang Soleh.
“أنهم كانوا يسمون بأسماء أنبيائهم والصالحين من قبلهم”
“Adalah mereka menamakan (anak-anak mereka) dengan nama para nabi dan orang soleh sebelum mereka” (hadith riwayat Muslim).
Adab-Adab Menamakan Anak:
1. Nama-nama yang terdapat dalam bahasa Arab.
2. Baik dari sudut makna kosakata bahasa Arab
3. Nama yang ringkas dan pendek, tidak murakkab (berganda).
4. Mudah untuk disebut.
Nama-Nama Yang Diharamkan:
1. Nama sembahan (Abd.) selain dari Allah dan NamaNya, seperti Abd. Al-Rasul, Abd. Al-Hasan, Abd. Al-Walid dan sebagainya.
2. Nama-nama yang khusus untuk Allah seperti al-Rahman, al-Rahim, al-Qayyum dan sebagainya.
3. Nama-nama bukan Arab yang dikhususkan kepada orang kafir seperti George, Ariel, Sharon, Hitler, Hillary, Subramaniam dan sebagainya.
4. Nama-nama berhala seperti al-Latta, al-Manat, al-‘Uzza, Tok Pek Kong, Vishnu dan sebagainya.
5. Nama-nama syaitan seperti Khanzab, al-A’war, dan sebagainya.
Nama-Nama Yang Dimakruhkan:
1. Nama-nama menarik ke arah nasfu seperti Fatin (فاتن) yang bermaksud penggoda (فاطن = orang yang cerdik) dan sebagainya.
2. Nama-yang tidak elok maknanya seperti Sarraq bin Zalim (pencuri bin penzalim) dan sebagainya.
3. Nama-nama binatang seperti baqarah (lembu bentina), himar (keldai) kharuf (kambing) dan sebagainya.
4. Nama-nama orang-orang fasiq, zalim, sombong, kufur dalam sejarah seperti Fir’uan, Hamman, Qarun, Namrud dan sebagainya.
5. Nama-nama murakkab (gandaan) seperti (Ahmad Muhammad (2 nama) bin…, Ahmad Saiful Anuar (3 nama) bin…, Mohd Nor Syazwan Akif (4 nama) bin… dan sebagainya.
6. Nama-nama malaikat seperti Jibril, Mikail, Israfil dan sebagainya
7. TAHNIK (BELAH MULUT)
Tahnik ini dilakukan dengan meletakkan sedikit isi tamar/kurma di atas jari telunjuk dan dimasukkan ke dalam mulut bayi serta dengan perlahan-perlahan digerakkan jari itu ke kanan dan kiri mulut bayi. Ini dilakukan sehingga isi buah tamar tadi menyentuh pada keseluruhan mulut bayi berkenaan dan tamar tersebut akan masuk ke dalam rongga tekaknya. Jika tidak ada tamar maka boleh digantikan dengan manisan lainnya seperti gula, madu atau apa-apa jua jenis makanan yang manis.dan sebagainya. Adalah lebih afdhal kalau tamar itu dikuyah oleh orang alim atau orang soleh.
عَنْ أَبِي مُوسَى رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ قَالَ وُلِدَ لِي غُلَامٌ فَأَتَيْتُ بِهِ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَسَمَّاهُ إِبْرَاهِيمَ فَحَنَّكَهُ بِتَمْرَةٍ وَدَعَا لَهُ بِالْبَرَكَةِ وَدَفَعَهُ إِلَيَّ.
Dalam satu hadith dari Abi Musa r.a. katanya: “ Telah dikurniakan kepadaku seorang anak, aku membawanya menemui baginda Rasulullah s.a.w. baginda menamakannya Ibrahim, lalu baginda mentahnikkannya dengan tamar dan mendoakan keberkatan untuknya, kemudian baginda menyerahkan kembali anak itu kepadaku” (hadith riwayat al-Bukhari).
Amalan tahnik ini adalah untuk menguatkan anggota mulut bayi supaya lebih mampu untuk menghisap susu ibunya dan lebih penting ianya merupakan sunnah Nabi s.a.w.
Wallahua'lam
Mac 2008
Free Template Blogger
collection template
Hot Deals
BERITA_wongANteng
SEO