Khamis, 27 Ogos 2009

Penyusuan Ibu Sehingga 2 Tahun





Sepanjang kehamilan anak pertama saya (Lubna) saya banyak mendapat informasi berkenaan dengan penyusuan ibu. Pihak hospital menyarankan kepada ibu-ibu agar menyusukan bayi-bayi mereka sehingga berusia 6 bulan tanpa memberikan puting tiruan mahupun air masak. Apa lagi jika mahu menyuap bayi-bayi mereka dengan makanan yang ain seperti nestum, pisang, nasi ataupun apa jua makanan yang dirasakan dapat mengenyangkan bayi yang kelaparan. Sesetengan orang terdahulu mengatakan bahawa bayi yang menangis itu adalah kerana lapar. Jadi mereka perlu diberikan makanan tambahan yang lain.
Sebenarnya, susu ibu adalah makanan terbaik bagi bayi seawal kelahirannya sehingga berusia 2 tahun. Islam menggalakkan setiap ibu menyusukan anaknya. Allah telah memenuhi segala keperluan bayi dan susu yang dihisap olehnya tiga hari pertama dalam kehidupan bayi. Susu ibunya akan menghasilkan sejenis cecair berwarna kekuningan iaitu kolestrom yang terdapat dalam kuantiti yang kecil. Cecair ini sudah cukup untuk memenuhi segala keperluan makanan bayi dalam hari-hari pertama kehidupannya. Tambahan pula ia membantu bayi untuk mula menerima dan mencernakan makanan yang dihisapnya. Dalam masa 24 jam buah dada ibu menghasilkan susu yang diperlukan untuk makanan bayi sehinggalah dia mencerai susu.
Ibu yang enggan menyusui bayinya tanpa sebab yang munasabah telah mengabaikan satu tanggungjawab hakiki terhadap bayinya yang telah diamanahkan oleh Allah. Penyusuan susu ibu menjanakan perasaan keibuan dan memperkayakan sifat kasih sayang. Selain dari apa yang diperkatakan tadi, penyusuan susu ibu menggerakkan sistem penghadaman ibu untuk menghasilkan makanan untuk bayi, dengan itu juga mempertingkatkan kesihatan ibu tersebut. Penyusuan susu ibu juga boleh menolong mengembalikan ibu kepada keadaan aal (sebelum bersalin) dengan cepat dan mengurangkan risiko barah buah dada dan ovari.
Saya dan suami telah mengambil keputusan untuk memberikan hak yang sepatutnya kepada bayi kami, Lubna. Kami bercadang mahu menyusukannya sehinnga 2 tahun. Alhamdulillah, saya berjaya menyusukannya sehingga 6 bulan tanpa mencampurkannya dengan makanan-makanan yang lain mahupun air masak. Kesannya dapat dilihat serta merta. Lubna jarang kembung. Malam dan siang, Lubna tidur dengan nyenyak. Sesekali bangun malam, hanya untuk disusukan. Betul kata Doktor Wan Fazidah (doktor di klinik di Terengganu)! Eksperimen telah dijalankan ke atas anaknya yang hanya minum susu ibu sehingga 6 bulan pertama, anaknya tidak pernah kembung. Setelah dewasa, anaknya juga tidak mengalami masalah perut terutamanya gastrik. Dan kini, kami mula meyakininya.
Setelah 6 bulan seterusnya, saya masih menyusukan bayi saya dengan susu badan. Ketika saya keluar bekerja, saya akan tinggalkan kepada pengasuh Lubna susu yang diperah. Sesekali diselangi dengan air masak, jus buah-buahan dan makanan bayi lain yang dirasakan sesuai seperti bubur nasi dan lain-lain.
Masalah yang berlaku untuk ’membekalkan ’ Lubna dengan susu ibu, tanpa susu formula (susu lembu), bukan satu usaha yang mudah. Apabila Lubna berusia setahun, susu badan mula kering untuk ditinggalkan untuk Lubna. Ianya ada hanya untuk penyusuan terus daripada saya kepada Lubna. Saya mula berbincang dengan suami untuk memulakan susu formula kepada Lubna. Tetapi suami agak keberatan. Katanya, cuba kita berikanan makanan yang terbaik untuk Lubna tanpa dicampurkan dengan susu lembu. Allah telah menjadikan susu ibu sebagai makanan terbaik bayi.
Saya utarakan masalah ini kepada Dr. Najmee (adik saya yang bertugas di Hospital Sandakan). Katanya, susu ibu sudah tidak memadai sekiranya tidak diselangi dengan susu lembu. Ia perlu dicampurkan dengan makanan lain untuk perkembangan bayi. Begitu juga apabila saya mengutarakan hal ini kepada ummi, ummi juga menasihatkan saya memulakan susu formula untuk Lubna. Bagi kami ianya tidak salah, tetapi kami mahu lakukan eksperimen kepada bayi kami untuk memberikan susu ibu tanpa dipengaruhi dengan susu lembu. Namun, tetap bermain di fikiran, boleh ke? Pertumbuhan bayi tak terbantut ke?
Kami mengambil kesempatan bertanya kepada Dr. Harlena Siraj (biras kakak ipar saya) tentang cadangan kami itu. Katanya, sekiranya bayi masih minum susu ibu dan ditambah dengan makanan-makanan lain yang berzat, ianya boleh diteruskan.
Kami teruskan. Alhamdulillah sehingga kini, Lubna masih minum susu ibu. Sesekali saya selangi juga dengan soya. Makanan-makanan lain tetap saya berikan mengikut jadual pemakanan yang betul bagi seorang bayi. Semoga Lubna membesar dengan baik dengan nilai-nilai peribadi yang tinggi. Semoga usaha kami tidak sia-sia.


Free Template Blogger collection template Hot Deals BERITA_wongANteng SEO

0 ulasan:

Catat Ulasan