Sabtu, 23 Januari 2010

Sayangi dan Hargailah Pengorbanan Ibu


Kelmarin, kami singgah di Changkat Jering menziarahi saudara sebelah suami. Banyak perkara yang berlaku sepanjang hari kelmarin, tetapi ada satu perkara yang menarik minat saya untuk berkongsi dengan semua. Ini adalah kisah tentang pengorbanan seorang ibu. Di mana yer mahu saya mulakan?


Oklah, saya mulakan dengan kisah bapa mertua saya yang berstatus ‘telah kembali single’ sejak hampir 3 tahun yang lalu. Kali ini, saudara di Changkat Jering memperkenalkan seorang calon ibu mertua saya. Kami singgah di rumah calon yang terpilih itu untuk berkenalan. Rumahnya berada dalam kategori rumah kampung yang agak ‘usang’. Tetapi memang bersih dan kemas. Barang-barang dan perabot terjaga rapi. Halamannya bersih dan kemas. Menurut menantunya yang ada bersama ketika itu, ibunya mempunyai 5 orang anak. Anak-anak semuanya berjaya dan hebat kerjayanya. Ada yang jadi lawyer, dan ada juga yang jadi doctor pakar. Tetapi hidupnya kesepian setelah kematian suami. Anak-anak yang berjaya itu telah lama meninggalkan ibu yang malang itu. Katanya bukan setahun dua sudah tidak pulang, tetapi sudah bertahun-tahun. Kenapa ya? Saya sendiri tertanya-tanya. Kami yang menziarahinya berasa tersentuh apabila ibu yang malang itu menggantung kemas frame gambar anak-anak yang menerima scroll masing-masing di majlis konvokesyen mereka. Ada 3 frame semuanya dari university yang berbeza. Kenapa anak-anak tergamak mengetepikan ibu sendiri setelah berjaya mencapai impian masing-masing? Lupakah mereka kepada keberkatan dan restu ibu?

Saya tinggalkan kisah di atas. Kembali kepada kisah bapa mertua saya. Rasanya, sudah berbelas-belas calon isteri yang diperkenalkan kepadanya. Setakat sekarang, semuanya belum berkenan di hati. Hidup 30 tahun lebih bersama arwah mak, tidak mungkin dilupakan. Patah tumbuh, hilang berganti. Tetapi yang berganti, tidak akan sama dengan yang dahulu. Begitulah dilema seorang suami. Arwah ibu mertua saya meninggal selepas 20 hari kami melangsungkan perkahwinan. 4.4.2007 tarikh yang kami semua tidak dapat lupakan. Arwah meninggalkan kami setelah sakit perut biasa. Berasal dari keluarga yang agak susah kehidupannya. Hidupnya dipenuhi liku dan duri sepanjang membesarkan anak-anak. Setiap pagi, sebelum anak-anak bangun, sarapan sudah disiapkan buat pengalas perut sebelum ke sekolah. Ikan-ikan kering sudah siap dijemur. Begitu juga dengan buah asam (asam gelugur/ asam keping). Semuanya sudah siap dihiris dan dijemur. Buah asam yang kering itu nanti, akan dijual kepada pemborong yang datang. Barangkali pukul berapa yer agaknya arwah ibu bangun dari tidur? Inilah pengorbanan seorang ibu. Arwah juga seorang yang terlalu jujur. Orang kampung dan saudara mara sayang padanya. Walaupun telah lama meninggalkan kami, orang masih memuji-muji arwah ibu. Walaupun ketika susah, sesiapa sahaja yang datang ke rumah tidak pernah dihampakan. Dijamu dengan makanan yang sedap-sedap yang dimasak sendiri. Apa yang ada, semuanya akan dikeluarkan. Saya masih ingat, ketika arwah tenat di ICU Hospital kepala batas, ada beberapa anak muda yang lagaknya seperti mat rempit, datang berziarah. Memohon maaf pada arwah ibu dengan air mata yang berlinangan. Siapa pemuda itu? Rupa-rupanya, itulah mat rempit kampung itu. Ketika orang ramai mencemuh mereka, arwah ibu tetap berbaik sangka dengan mereka. Arwah ibu pernah menjamu mereka minum teh panas dan melayan mereka dengan baik.


Oklah, saya tinggalkan kisah arwah ibu. Sekarang saya ceritakan kisah ummi pula (ibu saya di Terengganu). Ummi seorang ibu yang bekerjaya. Orangnya lembut tetapi tegas. Saya dan adik-adik yang nakal, lebih takut pada ummi berbanding abah. Pasal akademik, jangan sekali-kali buat endah tak endah. Nahas nanti. Ummilah guru bahasa arab kami, guru bahasa inggeris kami, guru matematik kami, guru bahasa melayu kami.. (tetapi bukan guru sejarah. Pakar sejarah, dapat anugerah pada abah J) Setiap kali kami pulang dari asrama, pasti ummi akan memanggil kami membuat latihan dihadapannya. Kecut perut bila soalan-soalan dibuka tidak dapat dijawab. Ummi akan memanggil seorang demi seorang untuk memeriksa pencapaian kami. Pernah ketika SPM pada tahun 1998, ketika peperiksaan hampir menjelang, keputusan Matematik saya amat tenat. Cuti seminggu (bulan Ogos), saya dihantar ke rumah ibu saudara yang merupakan guru pakar Matmatik selama seminggu penuh. Saya tidak diambil pulang sehinggalah saya menguasai semua tajuk. Saat itu, betapa terseksanya rasa. Sepanjang seminggu, hanya latih tubi matematik yang perlu saya siapkann. Penatnya. Namun, saya mengakui bahawa semuanya salah sendiri kerana terlalu malas. Berkat kesabaran dan ketegasan ummi, akhirnya saya berjaya mendapat keputusan yang baik bagi matapelajaran Matematik. Matapelajaran Matematik tidak mencacatkan keputusan SPM saya. Itulah yang amat dibimbangi oleh ummi sebelum itu.

Ummi juga mempunyai disiplin yang tinggi. Katanya, belum pernah seumur hidupnya bangun setelah Subuh. Benar kata ummi. Setiap kali kami bangun, ummi sudah menyelesaikan semua tugasan di rumah sebelum ke tempat kerja. Basuh baju, basuh pinggan, kemas rumah, cuci longkang, lap kereta dan iron baju. Dahulu masa kecil-kecil, semuanya biasa sahaja bagi kami. Tapi bila sudah berumah tangga dan pulang bercuti di Terengganu, malu kami dibuatnya. Ummi tetap seperti dulu, dan kami masih berada di tahap bertatih mengikut jejak langkah ummi.




Pertemuan generasi pertama dan ketiga. Lubna dan Tok Mi (ummi) di Terengganu :)


Saya bukan mahu berbangga-bangga kerana mempunyai ummi dan arwah ibu yang terlalu besar pengorbanannya kepada anak-anak. Tetapi saya berbangga dan bersyukur. Itulah yang boleh saya katakan. Semoga saya boleh meneladani apa yang telah mereka lakukan untuk anak-anak. Kali ini demi untuk Lubna dan adik-adiknya pula.. :)



Free Template Blogger collection template Hot Deals BERITA_wongANteng SEO

1 ulasan:

Abu Mus'ab berkata...

Saya menangis teringatkan arwah bonda tercinta...air mata masih menitis kini...moga bonda bahagia di sana...Ya Allah! Engkau tempatkan ibuku di tempat yg selayaknya utk beliau, tempat yang mulia lagi mendamaikan...

Catat Ulasan