Rabu, 9 Disember 2009

Fiqh al-Mar'ah: Menyusukan Bayi Sehingga 2 Tahun


Adik saya yang bertugas di Hospital Sandakan pernah memberitahu saya bahawa susu formula, jika kerap diberikan kepada anak-anak walaupun tanpa dibancuh bersama gula, ianya akan tetap mendatangkan kesan kepada gigi anak-anak. Peranannya sebagai sumber kalsium, sememangnya diketahui umum. Namun, kandungan susu formula itu sendiri sudah tersedia gula jika tidak dijaga, gigi anak-anak boleh rosak akibat pengambilan susu tanpa penjagaan gigi yang baik. Kini, gigi anaknya yang baru berusia dua tahun katanya sudah mula nampak kurang sihat walaupun adik saya jarang memberi gula-gula mahupun coklat kepadanya. Susu formula memang baik untuk tumbesaran namun, akibat bahan campurannya yang terkandung di dalamnya, menjadikannya mempunyai kesan sampingan kepada anak-anak.

Lantas, saya mengambil jalan tengah dengan menyusukan Lubna bermula saat dilahirkan sehinggalah ke hari ini (1tahun 8bulan ++). Alhamdulillah. Kerjaya saya tidak saya jadikan alasan untuk Lubna membesar dengan susu formula semata-mata. Oleh yang demikian, tugas utama saya adalah menyusukan Lubna. Pulang dari kerja, tugas saya menyusu dan mengepam susu untuk bekalan Lubna di rumah pengasuh setiap hari. Sebenarnya, terlalu banyak halangan dan cabaran untuk menyusukan anak tanpa di’cemari’ dengan susu formula. Kadang-kadang, kepenatan membuatkan saya berputus asa untuk mengepam. Alhamdulillah, saya bertuah kerana suami memberikan sokongan yang penuh. Kadang-kadang, ada juga yang mencadangkan susu-susu yang hebat di pasaran kerana kata mereka susu tersebut mengandungi DHA, Omega 3 dan bermacam-macam lagi kandungan yang lengkap. Kami mengiyakan, tetapi kami lebih percaya bahawa susu ibu adalah yang terbaik. Itulah yang mahu kami berikan kepada anak kami.

Pengasuh anak saya sendiri kurang faham kenapa saya tidak membelikan susu formula untuk anak saya. Namun saya terangkan bahawa saya akan bekalkan susu ibu untuk bekalan Lubna setiap hari. Alah bisa tegal biasa. Pada mulanya memang agak sukar menyediakan bekalan, lama kelamaan, ianya menjadi rutin yang biasa. Cuma setelah berusia 6 bulan ke atas barulah saya berikan makanan pepejal dan makanan tambahan buat Lubna. Tetapi, susu formula, masih tidak diberikan kepada Lubna. Kami bercadang melengkapkan penyusuan ibu sehingga cukup 2 tahun tanpa susu formula. Sesetengah golongan menyangkan ibu yang menyusukan anak tanpa memberikan susu formula, alasannya kerana save budget. Salah sama sekali. Saya yakin terlalu banyak keistimewaannya. Kerana itu Allah s.w.t berfirman:


وَٱلۡوَٲلِدَٲتُ يُرۡضِعۡنَ أَوۡلَـٰدَهُنَّ حَوۡلَيۡنِ كَامِلَيۡنِ‌ۖ لِمَنۡ أَرَادَ أَن يُتِمَّ ٱلرَّضَاعَةَ‌ۚ وَعَلَى ٱلۡمَوۡلُودِ لَهُ ۥ رِزۡقُهُنَّ وَكِسۡوَتُہُنَّ بِٱلۡمَعۡرُوفِ‌ۚ لَا تُكَلَّفُ نَفۡسٌ إِلَّا وُسۡعَهَا‌ۚ لَا تُضَآرَّ وَٲلِدَةُۢ بِوَلَدِهَا وَلَا مَوۡلُودٌ۬ لَّهُ ۥ بِوَلَدِهِۦ‌ۚ وَعَلَى ٱلۡوَارِثِ مِثۡلُ ذَٲلِكَ‌ۗ فَإِنۡ أَرَادَا فِصَالاً عَن تَرَاضٍ۬ مِّنۡہُمَا وَتَشَاوُرٍ۬ فَلَا جُنَاحَ عَلَيۡہِمَا‌ۗ وَإِنۡ أَرَدتُّمۡ أَن تَسۡتَرۡضِعُوٓاْ أَوۡلَـٰدَكُمۡ فَلَا جُنَاحَ عَلَيۡكُمۡ إِذَا سَلَّمۡتُم مَّآ ءَاتَيۡتُم بِٱلۡمَعۡرُوفِ‌ۗ وَٱتَّقُواْ ٱللَّهَ وَٱعۡلَمُوٓاْ أَنَّ ٱللَّهَ بِمَا تَعۡمَلُونَ بَصِيرٌ۬
(٢٣٣)

Dan ibu-ibu hendaklah menyusukan anak-anak mereka selama dua tahun genap iaitu bagi orang yang hendak menyempurnakan penyusuan itu dan kewajipan bapa pula ialah memberi makan dan pakaian kepada ibu itu menurut cara yang sepatutnya. Tidaklah diberatkan seseorang melainkan menurut kemampuannya. Janganlah menjadikan seseorang ibu itu menderita kerana anaknya dan (jangan juga menjadikan) seseorang bapa itu menderita kerana anaknya dan waris juga menanggung kewajipan yang tersebut (jika si bapa tiada). Kemudian jika keduanya (suami isteri) mahu menghentikan penyusuan itu dengan persetujuan (yang telah dicapai oleh) mereka sesudah berunding, maka mereka berdua tidaklah salah (melakukannya). Dan jika kamu hendak beri anak-anak kamu menyusu kepada orang lain, maka tidak ada salahnya bagi kamu apabila kamu serahkan (upah) yang kamu mahu beri itu dengan cara yang patut dan bertakwalah kamu kepada Allah, serta ketahuilah, sesungguhnya Allah sentiasa melihat akan apa jua yang kamu lakukan.” al-Baqarah 233

Percayalah, susu ibu adalah makanan terbaik bayi anda sehingga berumur 2 tahun. Jangan terlalu terpedaya dengan iklan di pasaran tentang kebaikan susu-susu formula di pasaran berbanding susu ibu. Di samping mengandungi antibodi dan kesan imunisasi untuk menghalang jangkitan kuman, komposisi SUSU IBU boleh berubah-ubah bergantung kepada keperluan bayi. Bagaimana?

Kandungan susu ibu berubah dengan usia bayi: susu ibu untuk bayi pra-matang mempunyai kandungan protein yang tinggi manakala susu ibu untuk bayi 8 bulan adalah tinggi kandungan kalorinya berbanding bagi bayi 1 bulan.

Susu ibu berubah dengan cuaca: susu ibu mempunyai lebih banyak kandungan air apabila cuaca panas dan tinggi kandungan lemak apabila cuaca sejuk.

Rasa susu ibu berubah-ubah bergantung kepada makanan yang dimakan ibu: anak anda didedahkan kepada rasa yang berbeza-beza pada peringkat awal usianya lagi.


Begitulah Allah menjadikan susu ibu sebagai sebaik-baik makanan untuk anak-anak yang baru lahir sehinggalah berumur 2 tahun. Itu hanya sebahagian daripada keistimewaan susu ibu. Selebihnya, lihatlah sendiri dengan menyusukan bayi anda sehingga 2 tahun. Walaupun hanya berbentuk keHARUSan, namun ia mempunyai kelebihan yang sukar untuk diungkapkan.


Free Template Blogger collection template Hot Deals BERITA_wongANteng SEO

2 ulasan:

♥ Izzah Marzuki berkata...

lamanya tak jengah ke sini..
sibuk sangat kebelakangan ni..
rindu nak baca tulisan wadah..

pasal susu ibu sampai 2 tahun, alhamdulillah dulu izzah dapat susu ibu sepenuhnya 2 tahun.. hehe..patutla sihat & bulat ye sampai skang.. hehe..alhamdulillah...

Mama Lubna berkata...

Terima kasih sudi menjengah ke sini. :) Alhamdulillah.. patutlah izzah pandai. Baby yg dapat penyusuan penuh, ada kelebuhan tersendiri.

Catat Ulasan