Ahad, 27 Disember 2009

Pelaburan Masa Hadapan


Anak-anak Solehah impian setiap ibu bapa

Menjelang sesi persekolahan 2010, ibu bapalah orang yang paling sibuk menyediakan kelengkapan anak-anak. Bagi yang mempunyai anak yang ramai yang masih bersekolah, sudah tentu di saat inilah mereka sedang menggaru-garu kepala yang tidak gatal itu. Seluk poket kanan kosong. Kiri juga kosong. Bank? Orang lain punya wang adalah! :) Pakaian, kelengkapan alat tulis, yuran dan pelbagai jenis pembayaran perlu dijelaskan. Namun, bagi yang sudah menabung dari awal, pasti terasa ringan sedikit beban di awal tahun ini. Ketika ini jugalah ibu bapa mencari sekolah yang terbaik untuk menjana pendidikan anak-anak. Majoritinya mendaftarkan anak-anak mereka ke sekolah aliran kebangsaan. Bagi yang agak berada atau dengan kata lain mempunyai poket yang agak tebal, sekolah-sekolah swasta menjadi pilihan mengikut citarasa masing-masing. Ada yang memilih sekolah swasta aliran Inggeris, Cina, dan Agama.

Di sebalik suasana kesibukan masing-masing memilih aliran pendidikan anak-anak, saya ingin melahirkan sedikit rasa agak pelik dengan senario ibu bapa Muslim yang memilih Non-Muslim Kindergarten sebagai arena pendidikan awal anak-anak mereka. Saya yakin, impian ibu bapa adalah menggunung tinggi agar anak-anak berupaya menguasai bahasa. Namun, sedarkah kita bahawa sistem pendidikan mereka bukan sahaja berteraskan bahasa, tetapi juga bersandarkan nilai-nilai agama dan aspek ketuhanan yang dianuti. Ini terbukti apabila sesetengah kindergarten ini dibina bersebelahan church yang tersergam megah di sesebuah kota. Persoalan-persoalan yang saya timbulkan di fikiran, adakah di Malaysia tidak mempunyai sekolah-sekolah pilihan bagi anak-anak Melayu Muslim bagi mendapatkan pendidikan terbaik menurut acuan Islam? (Hakikatnya sudah banyak Islamic Kindergarten antaranya PASTI, Iqra' Kindergarten, Dzul Iman Islamic Kindergarten, Tadika Atfal Kindergarten, Muslim Kindergarten dan banyak lagi) Atau sekadar mahu mencuba? Saya secara peribadi melihat situasi ini adalah sesuatu yang serius dan bukan saatnya untuk mencuba. Tiada istilah CUBA. Sedih juga apabila melihat fenomena ini tidak lagi menjadi isu sensitive di kalangan ibu bapa bahkan menjadi satu kebanggaan apabila anak-anak mendapat pendidikan awal di situ.

Menerapkan nilai-nilai Islam dalam pendidikan anak-anak. Gambar Hiasan.

Setiap pagi, anak-anak kecil Muslim bersama-sama menyanyikan lagu-lagu gereja yang berunsurkan ketuhanan. Hakikatnya tidak salah kerana taman-taman asuhan itu dibina untuk bangsa mereka yang beragama kristian. Tetapi, kenapakan ibu bapa Melayu Muslim yang berminat dan menyokong pendidikan mereka? Adakah kerana mereka menawarkan pakage love for learning, loving and caring telah mengaburkan mata ibu bapa Muslim? Sedarkah ibu bapa, apakah nilai-nilai yang diterapkan terhadap akhlak dan i’tikad anak-anak mereka? Saya merayu kepada ibu bapa agar melakukan kajian dan penelitian terlebih dahulu tentang silibus pendidikan sebelum menghantar anak-anak ke mana-mana tempat yang diingini. Walaupun tujuan utama anak-anak dihantar adalah atas asas penguasaan bahasa namun bimbangkan juga akan asas aqidah yang akan menjadi pendinding dan tunjang masa depan mereka. Persaingan ekonomi di zaman akan datang sememangnya semakin hebat dan sengit. Penguasaan bahasa sedikit sebanyak akan membantu mereka dalam persaingan itu. Namun, jangan sampai menggadaikan aqidah dan tauhid mereka.

Ibu bapa perlu merenung lebih jauh kehadapan akan masa depan anak-anak. Masa depan bukan hanya di dunia semata-mata, malah masa depan akhirat yang utama. Inilah pelaburan kita yang perlu diambil kira. Seharusnya anak-anak kecil ini dihantar ke taman asuhan/ kindergarten yang menerapkan nilai-nilai kehidupan sebagai Muslim. Ketika inilah pentingnya ibu bapa Muslim membentuk anak-anak kecil melalui biah solehah. Semoga anak-anak terdidik dalam suasana yang mendorong mereka menjadi Muslim pintar yang diredhai Allah s.w.t. Inilah pelaburan masa hadapan kita.

*Bagi kindergarten yang berteraskan nilai-nilai Islam, lakukan sesuatu yang lebih advance untuk membuktikan pendidikan Islam adalah yang terbaik.


Free Template Blogger collection template Hot Deals BERITA_wongANteng SEO

2 ulasan:

ummi ida berkata...

Salam ukhuwah.itulah yg terjd jika ibubp hanya mmndg ilmu dunia itu lbh brhrga dr pmbntukn peribadi muslim.Ummi dpt merasai kekesalan mama sbb di sini pun brlaku prkra yg sama.Mereka megah jika anak mereka mmbesar ikut acuan barat dgn alasan moden konon!

Tanpa Nama berkata...

kita selalu terlepas pandang bab pembentukan sakhsiah anak2.... nauzubillah

Catat Ulasan