Saya bingkas bangun. Darah masih belum kering. Sepanjang malam saya tidak dapat tidur dengan nyenyak kerana sakit yang datang sekejap-sekejap mengganggu saya. Namun, perlahan-lahan saya menuju ke bilik air membersihkan diri. Usai Solat Subuh, nurse datang menjenguk untuk memeriksa tahap tekanan darah dan denyutan baby dalam kandungan. Alhamdulillah, kandungan saya sihat.
Di sini, barulah saya percaya bahawa pembelajaran secara teori semata-mata masih belum dikira benar-benar menguasai. Lupa dan 'tidak nampak'. Ketika di alam pengajian, saya pernah menghabiskan beberapa kitab fiqh termasuk kitab fiqh “Fiqh ‘Ala Mazaahibil Arba’ah” dan “Fiqh Manhaji” dalam “Kitaabul Haidh” dalam beberapa siri daurah dan kuliah di jamiah. Tetapi di saat-saat yang memerlukan saya mengaplikasikan hukum yang dipelajari, ternyata saya masih ragu-ragu. Terbukti bahawa ilmu dan amal adalah sesuatu yang saling berkait. Setelah bertahun-tahun lamanya, ketika ianya terpaksa laluinya, barulah saya kembali mengadakan muraajaah.
Saya juga sering mendengar dan membaca kisah-kisah ibu yang berada di wad menanti kelahiran bayi yang dikandung. Saya juga pernah melalui kisah yang sama. Di saat-saat kesakitan yang datang berselang seli dan darah yang tidak berhenti turun, semua ibu akan berasa tidak selesa. Namun, sebagai ibu yang bakal melahirkan generasi pewaris kemuliaan Islam, seharusnya cekal dan tabah mengharungi saat-saat yang getir itu terutamanya dalam urusan melaksanakan ibadah sebagai wanita mu’minah yang taat dan patuh kepadaNya. Jika kita mengimpikan anak yang soleh dan solehah, seharusnya kita juga perlu memastikan diri kita sebagai ibu yang solehah. Mentaati perintah Allah walau di mana berada..bila-bila masa.
Sebenarnya, wanita-wanita yang sedang menanti saat-saat melahirkan anak, akan mengalami pendarahan sebelum kelahiran. Itu adalah lumrah yang akan dialami oleh kebanyakan ibu-ibu. Pendarahan ini akan kadang-kadang bercampur lendir. Apakah hukum darah yang keluar sebelum bersalin? Sebenarnya, pendarahan ini tidak termasuk dalam darah nifas. Ini bermakna, belum tergugur kewajipan ibadah terutamanya solat fardhu.
Ini kerana nifas menurut ta’rifan jumhur Ulama’ adalah sebagaimana yang saya nukilkan daripada kitab fiqh seperti berikut:
"الدم الخارج عقب الولادة…"
“Darah yang keluar (dari rahim perempuan) akibat melahirkan anak”
Sedikit huraian: Hukum Darah Sebelum Kelahiran
Memandangkan darah yang keluar itu bukanlah disebabkan oleh kelahiran, maka ia termasuk dalam kategori darah istihadhah (penyakit) ataupun darah fasad (rosak). Dalam hal ini, ini bermakna belum tergugur kewajipan solat kepada ibu-ibu yang masih belum bersalin. Walaupun Ulama’ Syafi’iyyah mengatakan ia adalah termasuk dalam kategori darah haid tetapi jumhur ulama’ berpendapat bahawa ia bukanlah darah haid tetapi ia adalah darah istihadhah (penyakit) atau darah fasad (rosak).
Ini amat bertepatan dengan kajian saintifik yang menunjukkan bahawa proses haid tidak akan berlaku ketika seseorang wanita itu mengandung kerana telah berlakunya persenyawaan dan kehamilan. Maka dalam hal ini, pendapat jumhur paling tepat diguna pakai iaitu darah berkenaan adalah darah istihadhah atau darah fasad.
Dalam hal berlaku perselisihan pendapat di kalangan fuqaha', Imam Syafiie sendiri pernah berkata:
“Apabila kamu menemui dalam kitabku sesuatu yang berlainan atau berlawanan dengan hadis Rasulullah SAW, peganglah hadis baginda dan tinggalkan pendapatku itu..”
Maka dapatlah disimpulkan bahawa seandainya darah keluar akibat kelahiran, barulah darah itu dikira sebagai darah nifas dan wiladah.
Kesimpulannya:
Jelas bahawa jumhur ulama’ (majoriti) bersepakat mengatakan bahawa darah nifas adalah darah yang keluar atas sebab kelahiran. Maka darah yang keluar sebelum kelahiran itu bukanlah darah nifas. Diharapkan semoga ibu-ibu yang mengalami pendarahan di saat-saat menantikan kelahiran bayi agar tetap menunaikan solat tanpa ragu-ragu kerana ia adalah kewajipan yang belum lagi tergugur.
Sila rujuk Kitab:
روضة الطالبين وعمدة المفتين
(Jilid 1 muka surat 64)-mewakili kitab Ulama’ Syafi’iyyah
بدائع الصنائع في ترتيب الشرائع (Jilid 1 muka surat 189)-mewakili kitab Ulama’ Hanafiyyah
المغني (Jilid 1 muka surat 352)-mewakili kitab Ulama’ Hanabilah
الفواكه الدواني على رسالة ابن أبي زيد القيرواني (Jilid 1 muka surat 471)-mewakili kitab Ulama’ Malikiyyah
عون المعبود (Jilid 1 muka surat 359-)-Kitab Hadith Imam Abu Daud
Free Template Blogger collection template Hot Deals BERITA_wongANteng SEO
0 ulasan:
Catat Ulasan