Rabu, 16 Disember 2009

Bantu Mama Jemur Baju :)



Gambar Hiasan

Barangkali ada hikmahnya apabila hasrat saya menyambung pengajian belum diluluskan oleh majikan. Katanya masa belum mengizinkan lagi. Saya pada mulanya merasa tidak adil kerana betapa ramainya rakan-rakan seangkatan yang lain sudah pun memulakan pengajian lanjutan mereka. Bahkan ada yang sudah menamatkannya dan menyambung ke peringkat yang lebih tinggi. Walaubagaimanapun, Insya Allah, bila tiba masanya nanti, saya akan menghulurkan borang permohonan untuk diluluskan. Mengapa impian dan cita-cita saya harus saya hentikan dan lupakan kerana factor yang sekecil ini?

Kini baru saya yakin bahawa Allah Maha Mengetahui kebaikan untuk hambaNya. Sekurang-kurangnya saya mempunyai ruang masa yang banyak menguruskan rumah tangga yang baru setahun jagung dan anak pertama kami yang masih kecil sekaligus memberi laluan kepada suami terlebih dahulu menyambung pengajiannya. Alhamdulillah sudah menamatkan pengajian hadithnya. Mudah-mudahan ada ruang untuk saya pula selepas ini. Amin :)

Kini cuti sekolah. Saya mempunyai 24hours bersama anak kesayangan. Jika saya sudah memulakan pengajian, barangkali ketika ini saya terpaksa menghantar Lubna ke kampung suami di Kota Kuala Muda Kedah kerana terpaksa menghadiri kuliah atau bertemu supervisor. Suami pula berkursus di UUM. Lubna semakin aktif dan semakin nakal. Dia memerlukan perhatian dan belaian kasih sayang daripada mama dan baba. Kadang kala, memerlukan teguran agar ragamnya tidak menjadi-jadi. Pengalaman menjadi ibu ini mengingatkan saya kepada ummi dan abah di kampung. Alangkah besarnya pengorbanan mereka membesar dan mendidik kami. Pelbagai ragam daripada kami 6 beradik. Terima kasih ummi dan abah. Jasamu kukenang sampai bila-bila. :)

Hari ini, saya bersama Lubna di Perlis. Baba Lubna sudah ke UUM menghabiskan hari-hari terakhirnya berkursus di UUM. Kelmarin ada Cu dan Cik Ah (adik ipar saya). Dapatlah menjadi teman bermain Lubna. Tetapi, pagi ini Lubna hanya ada mama. Apa lagi, asyik merengeklah mahu itu dan mahu ini. Jika tidak dapat, mulalah tergolek-golek atas lantai. Alahai anakku sayang…

Pagi ni Lubna menolong mama jemur baju di ampaian. Baru 1 tahun 8 bulan, dah boleh ringankan kerja mama.. Nak tahu bagaimana? Di rumah kakak ipar saya ni (saya berada di sini sepanjang cuti sekolah kali ini), mesin basuhnya manual. Spinnya pula tidak dapat beroperasi. (Hehe..nanti Kak Mihah suh Abang Asri belikan yang baru dan besar gitu yer) Mahu tidak mahu, kain baju yang dibasuh perlu diperah dengan sepenuh tenaga untuk memudahkan ia cepat kering bila dijemur nanti. Dan itulah yang saya lakukan. Lubna rupanya memerhatinya dengan penuh minat.

Lubna pada awalnya berada di dalam rumah. Kemudian keluar. Saya arahkan Lubna memakai selipar. Lubna turuti. Jadi saya terus memerah dan menjemur kain baju yang baru dibasuh tadi. Saya terlupa dengan Lubna. Tahu apa yang dia lakukan? Dia mengambil baju di dalam bakul, lalu diperah sebagaimana yang saya lakukan. Erm, kalau itu sahaja, tidak mengapa. Dia kemudia mengibas baju itu, dan mahu menjemurnya. Tak sampai ke tali penyidai pun. Lantas, Lubna membuangnya ke tanah. Alahai..habislah kotor baju tu!

Bila saya mengalihkan bakul kain, Lubna merengek. Terjelepuk di atas tanah. Ok, ok.. mama berikan. Saya mengajar Lubna sesuatu.

“Sayang ambil baju tu.” Saya mengarahkan Lubna mengambil baju di dalam bakul. Lubna memahami arahan saya.

“Ok, haati li..” Saya memberikan arahan yang seterusnya. Lubna memberikan baju itu kepada saya. Risau juga takut terjatuh lagi ke tanah.

Kemudian, saya mengambil baju itu dan menjemurnya. Lubna mengulang-ngulang kelakuan yang sama. Mengambil baju di dalam bakul, lalu diberikan kepada saya. Saya mengambilnya daripada Lubna dan menjemurnya. Memang memakan masa yang lama menjemur kain baju dengan cara begitu. Tetapi, biarlah. Sekurang-kurangnya saya dapat mengajar Lubna satu lagi nilai-nilai yang murni dalam kehidupan. Menolong mama menjemur baju :) Terima kasih sayang… Saayangg Lubna!


Free Template Blogger collection template Hot Deals BERITA_wongANteng SEO

2 ulasan:

Abu Mus'ab berkata...

Assalamualaikum wbrth!

Saya ingin membuat sedikit ulasan berkenaan posting ini dan posting sebelum ini (Through The Rubbish Into The Dustbin). Kedua-dua posting ini saling berkaitan iaitu peniruan kanak-kanak terhadap persekitaran dan apa yang dilihatnya serta bakal mempengaruhi kehidupannya kelak.

Dalam erti kata lain, ianya merupakan proses sosialisasi kanak-kanak untuk dunianya. Kali ini saya ingin menggunakan pendekatan atau sudut pandang sosiologi barat.

Kanak-kanak seawal usianya akan bersosialisasi dengan insan yang paling rapat dengannya. Bermula dengan ibu, bapa, datuk, nenek, bapa serta mak saudara dan seterusnya. Proses sosialisasi ini disebut sosialisasi primer.

Peter L. Berger dan Luckmann mendefinisikan sosialisasi primer sebagai sosialisasi pertama yang dijalani individu semasa kecil dengan belajar menjadi anggota masyarakat (keluarga). Sosialisasi primer berlaku waktu kanak-kanak berusia 1-5 tahun atau ketika kanak-kanak belum menjejak kaki ke sekolah. Ketika ini kanak-kanak mula mengenali anggota keluarga dan lingkungan keluarga terdekatnya. Secara bertahap dia mulai mampu membezakan dirinya dengan orang lain di sekitar keluarganya.

Dalam tahap ini, peranan mereka yang berada paling dekat dengan kanak-kanak menjadi sangat penting kerana seorang kanak-kanak itu melakukan pola interaksi secara terbatas di dalamnya. Warna keperibadian anak akan ditentukan oleh warna keperibadian dan interaksi yang terjadi di antara kanak-kanak dengan anggota keluarga terdekatnya. Dalam erti kata lain, ia akan meniru sepenuhnya apa yang dilakukan oleh keluarga terdekatnya, sama ada baik atau buruk, positif atau negatif.

Manakala George Herbert Mead seorang sosiolog pendidikan pula membahagikan proses sosialisasi seorang insan itu kepada 4 tahap, iaitu:
Tahap persiapan (Preparatory Stage);
Tahap meniru (Play Stage);
Tahap siap bertindak (Game Stage);
Tahap penerimaan norma kolektif (Generalized Stage/Generalized other).

Bagi kanak-kanak, 2 tahap pertama merupakan tahap yang sangat penting dan bakal mempengaruhi 2 tahap seterusnya. 2 tahap pertama inilah yang perlu diberikan perhatian serius oleh ibu bapa dalam mendidik anak-anak mereka. Proses peniruan akan berlangsung dengan sepenuhnya dalam 2 tahap ini.

1. Tahap persiapan
Tahap ini dialami sejak manusia dilahirkan, tika seorang kanak-kanak mempersiapkan diri untuk mengenali dunia sosialnya, termasuk untuk memperolehi pemahaman tentang diri. Pada tahap ini juga kanak-kanak mula melakukan kegiatan meniru meski tidak sempurna.
Contoh: Kata "makan" yang diajarkan ibu kepada anaknya yang masih bayi diucapkan "mam". Makna kata tersebut juga belum difahami secara tepat oleh anaknya. Lama-kelamaan kanak-kanak akan memahami secara tepat makna kata makan tersebut dengan kenyataan yang dialaminya.

2. Tahap meniru
Tahap ini ditandai dengan semakin sempurnanya seorang kanak-kanak meniru tindakan-tindakan yang dilakukan oleh orang dewasa. Pada tahap ini mula terbentuk kesedaran tentang nama diri dan siapa nama orang ibu bapanya, saudaranya, dan sebagainya. Kanak-kanak mula menyedari tentang apa yang dilakukan oleh seorang ibu dan apa yang diharapkan seorang ibu dari darinya. Dengan kata lain, kemampuan untuk menempatkan diri pada posisi orang lain juga mula terbentuk pada tahap ini; kesedaran bahawa dunia sosial manusia berisikan orang yang ramai telah mula terbentuk. Sebahagian daripada orang ramai tersebut merupakan orang-orang yang dianggap penting bagi pembentukan dan pertahanan dirinya, yakni sumber kanak-kanak menyerap norma dan nilai. Bagi kanak-kanak, orang-orang ini disebut orang-orang yang amat bererti (Significant other). Mereka ini yang akan ditiru oleh mereka.

Oleh itu, peranan terpenting ibu bapa ialah mewujudkan suasana kondusif atau bi’ah solehah untuk proses peniruan tersebut. Adakah kita sebagai ibu bapa telah menguruskan peranan kita sebaik mungkin? Tepuk dada tanya iman kita!

Mama Lubna berkata...

TQ Abu Mus'ab (baba Lubna) atas ta'lik yg berinformasi (maklumlah, ada org sedang ikuti kuliah sosiologi pendidikan ). Mg kita boleh praktikkan untuk Lubna :)

Catat Ulasan