Rabu, 16 Disember 2009

Through The Rubbish Into The Dustbin :)


Anak-anak kecil memang belajar daripada persekitaran. Kaedah yang boleh mereka lakukan antaranya adalah dengan meniru. Meniru segala perbuatan yang dilakukan oleh orang yang berada di persekitaran mereka. Awas! Ibu bapa perlu berhati-hati kerana anda sedang diperhatikan. :)

Maka di sinilah relevannya ibu bapa menunjukkan teladan yang baik untuk anak-anak. Jika ibu bapa beramal soleh, maka anak-anak akan melazimi apa yang dilakukan oleh ibu bapa mereka. Jika sebaliknya, maka amat rugilah kerana anak-anak akan mewarisi apa yang kita lakukan. Kerana itulah Nabi s.a.w bersabda:


''كل مولود يولد على الفطرة فأبواه يهودانه أو ينصرانه أو يمجسانه''
“Setiap anak dilahirkan dalam keadaan fitrah (tidak mempersekutukan Allah) tetapi orang tuanya lah yang menjadikan dia seorang yahudi atau nasrani atau majusi”

Dalam kaedah meniru ini, ada yang baik ada yang kurang baik. Meniru ibu bapa solat adalah perkara yang baik. Doakan semoga anak-anak rajin menunaikan solat apabila dewasa kelak. Begitu juga meniru ibu bapa mengaji al-Quran. Mereka mungkin akan merengek mahukan al-Quran yang dibaca oleh ibu bapa kerana mahu meniru apa yang dilakukan oleh ibu dan bapa mereka. Lantas, ibu bapa mungkin boleh menggantikannya dengan buku-buku agama (bertulisan jawi atau arab) untuk menggantikannya. Tetapi bagi anak-anak yang agak advance, pasti dia tidak mahu buku itu. Yang dia mahukan hanyalah al-Quran. Bagi mereka yang baru menimang anak pertama, pasti ini ujian yang baru dalam proses pertarbiyahan anak-anak. Namun kita tetap berasa bertuah kerana anak kita sudah mula belajar mahu mengaji al-Quran.

Menyentuh berkenaan anak-anak belajar dengan cara meniru, saya pasti semua bersetuju jika saya katakana ibu bapa masih boleh bersabar dalam meniru perkara ibadah. “Anakku anak yang soleh…” “Anakku mewarisi kebaikan ummi dan abah..” “Anakku anak yang rajin..” Pasti inilah kalimah yang terucap. Kalau bukan di bibir, pasti akan terucap di hati. Alhamdulillah.

Tapi bagaimana menghadapi situasi anak meniru dalam perkara yang lain? Setiap hari, bermain dengan penyapu? Sapu sana..sapu sini. Habuk-habuk mula berterbangan. Dia mahu meniru ibunya menyapu sampah. Bagaimana pula jika anak setiap hari bermain air di sinki? Memandangkan sinki tinggi daripada ketinggiannya, maka dia mencari alternative untuk mencapai apa yang dia mahukan. Bangku kecil, periuk, besen, tong sampah..semuanya menjadi mangsa si kecil. Tanpa disedari, air mencurah-curah. Lantai di bawah mula basah. Ibu bapa mula risau kerana ia bukan sahaja satu pembaziran, malah ia membahayakan!
Saya secara peribadi berpendapat dalam hal ini, ibu bapa jangan menghalang dengan keras. Jika demikian, anak-anak akan mula belajar untuk memprotes. Atau untuk kesan jangka masa panjang, mereka akan hilang keyakinan dalam diri sedikit demi sedikit. Maka di sinilah senjata kebijaksanaan ibu bapa harus digunakan. Atau biarkan anak-anak mencuba tetapi masih di bawah pengawasan ibu bapa. Atau, alihkan perhatian mereka kepada sesuatu yang lebih menarik. Bercakap-cakap dengan nada yang memujuk juga kadang-kadang sesuai untuk digunakan dalam situai tertentu.

Saya ingin berkongsi apa yang terjadi kepada anak saya Lubna hari ini. Pagi tadi, ketika saya membawanya berjalan-jalan di kawasan rumah, Lubna berlari-lari mengambil sesuatu di atas tanah. Saya memerhati dari jauh. Oh, rupanya Lubna mengambil selembar kertas di porch kereta. Lalu dia berlari-lari pula ke arah saya. Saya sangkakan Lubna mahu memberikan kertas itu kepada saya. Firasat saya salah. Lubna menuju ke arah tong sampah dan terus membuka penutupnya. Kertas dibuang di dalam tong sampah! Alhamdulillah, anakku sudah mula belajar nilai-nilai murni dalam masyarakat. :) "Good Girl!" Saya memberikan pujian galakan kepada Lubna. Semoga Lubna melaziminya selepas ini.

Petang ini, suamiku pula membawa Lubna keluar ke tempat yang sama. Bersiar-siar sambil menikmati angin bendang yang bertiup nyaman. Lubna seperti biasa berlari-lari riang dengan mulutnya berkata-kata tanpa henti dengan bahasanya yang tersendiri. “Ni cucu aki (datuk) lah ni..” Semua orang akan berkata demikian jika kenal aki Lubna :). Petah berkata-kata, banyak idea, dan banyak akai (kata orang Utara). Mulut Lubna tidak pernah berhenti bercakap melainkan bila dia tidur. Jika Lubna tidur, barulah aman rumah kami.

Baiklah, kembali kepada kisah Lubna bersiar-siar dengan babanya tadi. Tiba-tiba Lubna menjenguk ke arah tong sampah di tepi jalan. Tong sampah tidak bertutup. Tanpa diduga Lubna meludah ke dalam tong sampah. Suamiku agak terkejut dengan tindakan Lubna. Lubna hanya tersengih tanpa memahami apa-apa. Lagi terkejut bila Lubna tiba-tiba berkata: “Baba lak..” sambil tangannya menunjuk ke arah tong sampah yang sama. Lubna mahukan babanya meludah sebagaimana yang Lubna lakukan tadi. Dari mana pula dia belajar ni? Alahai anakku sayang…

Kesimpulan
Inilah proses pembelajaran anak-anak. Dan inilah proses pentarbiyahan Allah kepada ibu bapa dalam mendidik anak-anak generasi Islam. Persiapkan diri dengan ilmu, iman dan pengalaman. Kesabaran dalam membesarkan anak-anak adalah kunci kejayaan ibu bapa kita membesarkan diri kita sehingga kita berjaya mengecapi kejayaan hari ini. Semoga anak-anak kita juga mengecapi apa yang kita kecapi hari ini. Insya Allah. :)


Abislah kali ni.. bil air melambunglah bulan ni ;) Si kecil ni selalu curi-curi main air


Aha.. bangku merah ni jadi mangsa..

Nota: Gambar peristiwa Lubna dan tong sampah, tak sempat dirakam. Sebab tu lah ganti gambar main air ni.


Free Template Blogger collection template Hot Deals BERITA_wongANteng SEO

0 ulasan:

Catat Ulasan