Setiap kali pulang ke kampung di Gong Badak Terengganu, saya pasti akan meluangkan masa ke rumah sahabat ini di Manir. Masih tergambar bagaimana riang dan gembiranya Abdul Rahman bila melihat Lubna. Dia tersenyum bila Lubna datang menghampiri. Lubna menyentuhnya dan menciumnya. “Baby..” Kata Lubna. Lubna tidak tahu bahawa mereka sebaya. Abdul Rahman pula seolah-olah mahu menguatkan diri agar boleh bangun. Jika dia berupaya, pasti mereka berdua akan bermain dan berkejaran ke sana ke mari. Alangkah indahnya saat itu.
Walaupun anak kedua sahabat saya ini mengalami pendarahan otak ketika dilahirkan pada Jun 2008 (sekarang menyebabkan kepalanya membesar akibat cecair dalam kepala, dan tidak dapat bangun/berjalan) sahabat saya ini tetap tabah. Begitu kental semangat dan kesabaran yang Allah s.w.t berikan kepadanya. Tidak pernah walau sekali saya melihat air matanya berlinang di matanya, apalagi mengalir bercucuran menangisi nasib yang menimpa diri. Malah, saya pula yang berasa sebak.
Lebih syahdu dan pilu apabila semuanya terpaksa ditanggung bersendirian bertemankan anak sulungnya Najibatun Naimah yang baru sahaja mula mengenal erti kehidupan. Walaupun baru berusia 3 tahun, dia sudah memahami keadaan umminya. Sekali pandang, air muka Najibatun Naimah lebih matang daripada kanak-kanak yang lain. Betapa Allah s.w.t Maha Adil.
Umminya bertanya, “Najibah.. abi mana? “
Najibah, “Abi tak dok. Dah mati. Najibah nak jaga adik.”
Umminya bertanya lagi: “Najibah sayang adik tak?”
Najibah: “Sayanglah.. Adik sakit. Ummi..” Panggil Najibah manja.
Saya menggosok-gosok kepala Najibah. Saya tahu, Najibah akan bantu umminya. Najibah anak yang pandai, anak yang tabah seperti umminya.
Alangkah bertuahnya kita semua kerana mempunyai suami yang mengasihi dan sentiasa di samping mengemudi rumah tangga yang dibina. Alangkah beruntungnya kita kerana dikurniakan anak-anak yang sihat dan pandai menjadi penyeri kehidupan. Sahabat saya ini, baru beberapa tahun mendirikan rumah tangga, ketika melahirkan anak kedua, suaminya disahkan mengidap penyakit kanser paru-paru. Dia sendiri terkesima. Tanda-tanda awal batuk berlanjutan dan sukar pulih tidak disangka begitu jadinya. Suaminya diberikan rawatan di Hospital Nur Zahirah dan Hospital Kubang Kerian untuk rawatan pakar. Terlalu pantas segala yang terjadi. Tidak sampai 2 bulan, dia dijemput Ilahi. Innalillahi wa inna ilaihi raajiunnn. Saya sendiri tidak kenal arwah, tetapi pernah melihatnya dari jauh ketika sahabat saya itu datang berziarah ke rumah ketika saya melahirkan Lubna pada Mac 2008. Wajahnya bercahaya, petunjuk sebagai orang yang soleh. Merupakan graduasi dari Mahaad at-Tahfiz wa al-Qiraah di Shubra, Mesir. Satu bonus yang cukup besar buatnya. Mudah-mudahan, arwah berada di kalangan para solihiin dan muttaqiin. Amin.
Begitulah saya menceritakan kisah sedih di sebalik kebahagiaan kita semua. Bersyukurlah dengan apa yang Allah kurniakan kepada kita semua. Mudah-mudahan Allah limpahkan lagi rahmat dan kasih sayangNya buat kita kerana kesyukuran itu.
وَإِذۡ تَأَذَّنَ رَبُّكُمۡ لَٮِٕن شَڪَرۡتُمۡ لَأَزِيدَنَّكُمۡۖ وَلَٮِٕن ڪَفَرۡتُمۡ إِنَّ عَذَابِى لَشَدِيدٌ۬
“Dan (ingatlah) ketika Tuhan kamu memberitahu: Demi sesungguhnya! Jika kamu bersyukur nescaya Aku akan tambahi nikmatKu kepada kamu dan demi sesungguhnya, jika kamu kufur ingkar sesungguhnya azabKu amatlah keras.”
(Surah Ibrahim : 7)
Kepada sahabat saya Ustazah Nur Izyan Nadiah, tabahkah hati meneruskan kehidupan. Kami semua akan mendoakan kesejahteraan buat ustazah dan anak-anak.
Free Template Blogger collection template Hot Deals BERITA_wongANteng SEO
1 ulasan:
Salam,
Mama Lubna, Sampaikan salam saya buat Ust . Nur Izyan Nadyah. Dah lama betul tak bertemu Izyan. Dari awal cerita mamaLubna tu saya tertanya-tanya siapakah sahabat kita itu. InsyaALLAH kami di sini doakan Izyan & anak-anaknya.
Catat Ulasan