Sejak dari awal perkahwinan saya, saya memegang prinsip agar tugasan di tempat kerja tidak dibawa pulang ke rumah. Bagi saya, waktu di rumah adalah waktu yang amat berharga bersama keluarga. Setiap detik berlalu, adalah kebahagiaan dan ketenangan.
Fikiran juga begitu. Di tempat kerja, memikirkan pelbagai cara dan uslub terbaik mendidik generasi Islam di masa hadapan. Tetapi, sebaik sahaja kaki melangkah pulang, saya perlu meminggirkan seketika semuanya untuk memberi laluan kepada urusan rumah tangga. Membina Villa Jannah dalam rumah tangga bukan sesuatu yang mudah. Suami Isteri perlu bergandingan mengekalkan kebahagian yang dikecapi.
Pengajaran
Ntah mengapa hari itu emosi saya kurang stabil. Kecelaruan fikiran ketika di tempat kerja terbawa-bawa hingga ke rumah. Otak ligat berpusing memikirkan pelbagai cara menyelesaikan masalah yang timbul dalam pengurusan di sekolah. Macam-macam yang berlaku.
Hari itu juga, Lubna semakin aktif. Saya terlupa bahawa perkembangan seorang kanak-kanak 1 tahun 7 bulan sememangnya mempunyai sikap ingin tahu yang tinggi . Setiap hari Lubna sentiasa mencuba perkara yang baru. Satu lagi sikap anak-anak di usia ini, mereka semakin berdikari. Semuanya mahu dilakukan sendiri. Bermula daripada makan, minum, pakai kasut, memberus gigi, memakai baju dan sebagainya. Sebut sahaja makan sendiri, sebagai ibu-ibu pasti terbayang bagaimanakah keadaan itu. Makanan yang dimakan banyak bertaburan daripada yang masuk ke dalam mulut. Begitu juga dengan minum di dalam cawan orang dewasa, banyak yang tumpah daripada yang diminum. Hari itu, akibat emosi yang tidak dikawal, saya memarahi Lubna hanya kerana dia menangis ketika dimandikan.
"Mama, cejuk. Takut ayaq!" Kata Lubna sambil meronta-ronta tidak mahu dimandikan.
Bila tiba masa memakai pampers, Lubna sekali lagi tidak mahu dipakaikan. Dia meronta-ronta agar dilepaskan. Kemudian, Lubna mengambil satu persatu pampers lalu dikeluarkan dari tempatnya. Tanpa sedar, saya hilang kesabaran sehingga meninggikan suara memarahi Lubna. Lubna terpaku. "Baba..." Katanya dalam keadaan keliru. Lubna terus berlari ke arah babanya.
Baru saya sedar, Lubna terkejut sebenarnya. Cepat-cepat saya mendapatkannya dan mendakap Lubna lalu memujuknya. Lubna seperti biasa akan memasukkan ibu jari tangannya ke dalam mulutnya. Kesian betul anak mama hari ini. Saya menciumnya.
"Mama sayangkan Lubna." Bisik hati kecil ini.
Insident itu berlalu tanpa saya menyedari kesilapan yang telah saya lakukan sehinggalah suami tersayang membuka kembali kisahnya. Nasihatnya agar banyakkan bersabar. Marahkan anak tidak salah. Tetapi, jangan sampai menjadikan mereka keliru. Antara marah dan sayang, jangan sampai tercalit rasa takut sekaligus menanamkan rasa inferiority complex dalam hidup mereka. Lebih mendukacitakan lagi seandainya selepas ini, Lubna akan memarahi mama dan babanya dengan nada yang sama kerana padanya itu adalah perkara yang tidak salah.
Bila bermain, Lubna akan keluarkan semua 'kawan-kawan' yang di susun di atas rak. Berselerak semuanya. Lubna tahu tak, penat mama kemas sebelum Lubna bangun pagi tadi.
Sayang nak buat apa pulak ni? Ooo..nak tolong mama lipat baju yea.
Aik, ni nak buat apa pulak?
Berehat sebentar setelah penat bermain. Seperti biasa, macam nilah Lubna. Kesimpulannya
Selepas insident itu, saya ada melakukan sedikit kajian ringkas tentang cara yang baik membentuk dan mendidik anak-anak ketika menghadapi situasi yang saya alami dua tiga hari yang lepas. Antara kesimpulan yang dapat saya lakukan adalah sebagaimana berikut:
1. Sebagai ibu bapa, hulurkan bantuan kepada anak-anak yang sedang berusaha untuk 'berdikari'. Bantulah anak-anak kerana itulah antara cara ibu bapa boleh menunjukkan kasih sayang kepada anak-anak.
2. Puji juga usaha anak-anak yang melakukan sesuatu secara berdikari, walaupun hakikatnya mereka tidak dapat menyempurnakan 'tugas' itu dengan sempurna. Pujian akan meningkatkan motivasi anak-anak untuk menghadapi hari-hari kehidupannya.
3. Semakin anak-anak dapat menguruskan sesuatu perkara dengan baik, mereka akan merasakan harga diri mereka semakin bertambah, dan menjadikan mereka sebagai anak-anak yang ceria dan gembira.
4. Berdoalah agar Allah sering memelihara dan melindungi anak-anak kita.
*Anak-anak adalah anugerah dan amanah. :)
1 ulasan:
Wahai anakku!
kau telah lahir
menghiasi kehidupan kami berdua
sebagai anugerah terbesar
yang pernah kami terima
dalam hidup kami seluruhnya….
akan kami dedikasikan
untuk kebahagiaanmu
untuk ceriamu
untuk dirimu dan mamamu
Wahai buah hatiku
apapun akan kulakukan
untuk melindungimu
untuk menjagamu
untuk membimbingmu
bersama bondamu yang cantik jelita
dan anggun mempesona
Wahai anugerah terbesarku!
aku akan selalu berdoa
di siang dan malam hari
agar kamu,
mama dan babamu ini
kelak selalu bersama
di surga Allah SWT yang kekal
abadi...
Catat Ulasan